Translate

Monday, March 30, 2009

Tiga mati ditembak banyak kes jenayah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING - Polis Perak percaya tiga lelaki berusia 27 hingga 35 tahun yang mati ditembak di Bukit Merah kelmarin terlibat dalam kes rompakan sebuah kedai emas di sebuah pasar raya besar di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 18 Mac lalu.

Ketua Polis Perak , Datuk Zulkifli Abdullah berkata, ketiga-ketiga lelaki itu berasal dari Johor, Melaka dan Kedah dan mereka terlibat dalam sekurang-kurangnya 15 kes samun bersenjata api.

"Ia termasuk kes rompakan kedai emas di sebuah pasar raya besar di Seberang Jaya, Pulau Pinang yang turut mengorbankan pengurus pasar raya itu minggu lalu.

"Selain itu, kumpulan yang dikehendaki ini juga dipercayai terlibat dalam 14 kes samun bersenjata api lain di sekitar Perak , Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor," katanya kepada pemberita semalam.

Dalam kejadian pukul 3 petang kelmarin, polis menembak mati tiga lelaki manakala tiga anggota kumpulan sama yang lain turut di tahan di Bukit Merah .

Zulkifli berkata, turut dirampas dalam operasi itu ialah tiga pucuk pistol, dua kereta Toyota Camry, wang tunai berjumlah RM159,000, 154 butir peluru, nombor pendaftaran kereta palsu dan topeng muka.

Mengulas kejadian tersebut, beliau memberitahu, dua kereta peronda polis mengesan sebuah kereta yang mencurigakan di Plaza Tol Bukit Merah pada kira-kira pukul 1.40 petang berdasarkan maklumat awam.

"Bagaimanapun ketika pihak polis mahu menahan kereta berkenaan, kenderaan itu sengaja merempuh kedua-kedua kereta peronda polis hingga menyebabkan seorang anggota polis cedera di kaki dan tangan.

"Bagi mempertahankan diri, anggota polis telah melepaskan tembakan ke arah kereta terbabit. Akibat tembakan itu kenderaan yang dinaiki suspek terbabas dan merempuh tiang elektrik berhampiran," katanya.

Zulkifli berkata, sejurus kemudian tiga lelaki yang berada di dalam kereta Toyota Camry itu ditahan walaupun pada mulanya cuba melarikan diri.

Susulan daripada penangkapan itu, beliau berkata, anggota polis berjaya menjejak tiga lagi anggota kumpulan penjenayah itu yang sedang menaiki kereta lain di Bukit Merah Lake Town Resort (BMLR).

"Namun mereka enggan bekerjasama, sebaliknya melepaskan beberapa tembakan ke arah anggota polis. Tembakan balas daripada polis kemudiannya menyebabkan tiga suspek yang berada di dalam kereta itu mati," katanya.

No comments:

Post a Comment