MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
TAIPING - Seorang jurukimpal maut ditetak di luar rumah mentuanya di Taman Damai , Simpang ketika seluruh ahli keluarganya sedang leka menonton televisyen malam kelmarin.
Mangsa, K. Yogaraj (gambar), 30, dijumpai dalam keadaan terlentang dengan beberapa kesan tetakan pada anggota badan oleh bapa mentuanya, R. Ramakaliselvam, 54, setelah terdengar suara orang mengerang kesakitan di luar rumah.
"Ketika kejadian pukul 11.15 malam itu, saya sedang bersiap-siap untuk pergi kerja manakala ahli keluarga lain asyik menonton televisyen di ruang tamu.
"Tiba-tiba saya terdengar suara menantu saya yang sedang berehat di luar rumah mengerang kesakitan dan sebaik keluar, kami nampak tiga orang lelaki melarikan diri meninggalkannya dalam keadaan parah," kata Ramakaliselvam ketika ditemui di rumahnya semalam.
Katanya lagi, mangsa masih bernyawa ketika itu tetapi keadaannya terlalu lemah akibat kecederaan parah di kepala, kedua-dua belah kaki dan dua jari sebelah tangan kanannya juga putus.
"Kami sempat menghantarnya ke Hospital Taiping malangnya dia meninggal ketika sedang dirawat pada pukul 3.30 pagi.
"Penyerangnya mungkin menggunakan senjata tajam seperti parang berdasarkan kecederaan yang dialami menantu saya," katanya.
Ramakaliselvam bagaimanapun gagal mengecam wajah penyerang mangsa yang melarikan diri melalui pintu pagar belakang rumahnya dengan kereta Perodua Kelisa berwarna perak yang sedia menunggu di luar.
Sementara itu, isteri Yogaraj, R. Kogilawani, 27, berkata, beliau bingung dengan kejadian yang menimpa suaminya kerana sepanjang pengetahuannya, suaminya seorang yang mudah mesra dan tidak mempunyai musuh.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Raja Musa Raja Razak yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Beliau berkata, pihak polis masih menyiasat motif kejadian dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment