Translate

Friday, March 6, 2009

Sidang DUN pokok: Polis terima 31 laporan

IPOH - Polis Perak mengesahkan menerima 31 laporan mengenai perhimpunan haram yang terjadi berikutan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 'tergempar' di bawah pokok beringin berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada 3 Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, 14 laporan itu disiasat di bawah Kanun Keseksaan, lima di bawah Akta Hasutan dan 12 kerana mengedarkan risalah yang berunsur hasutan.

"Semuanya sedang disiasat namun pendirian pihak polis jelas, ia merupakan perhimpunan haram dan sesiapa yang menghadirinya bakal dikenakan tindakan undang-undang.

"Pihak polis juga telah mengenal pasti kebanyakan peserta perhimpunan haram itu. Sebagai permulaan pihak polis mengemukakan enam foto suspek yang disyaki terlibat," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.

Sebelum itu, beliau menyaksikan upacara serah tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak daripada pemangku jawatan itu, Asisten Komisioner Zulkifli Hassan dengan Pemangku Senior Asisten Komisioner II, Mohd. Dzuraidi Ibrahim Zulkifli.

Zulkifli meminta individu terbabit memberi keterangan di balai polis berhampiran dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Beliau juga mengesahkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Perak hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kelmarin untuk memberi keterangan pembabitan mereka dalam perhimpunan haram terbabit.

Sementara itu, semua anggota Dewan Undangan Negeri Perak daripada pakatan pembangkang yang menghadiri 'persidangan tergempar' dewan itu akan dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan.

No comments:

Post a Comment