Translate

Sunday, March 15, 2009

MBI arah roboh segera plak PR

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Tidak sampai 24 jam selepas plak peringatan yang dibina parti Pakatan Rakyat ( PR ) di bawah pokok Jemerlang yang menjadi lokasi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 3 Mac lalu dirosakkan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pula mengeluarkan arahan agar ia segera dirobohkan.

Menurut notis yang dikeluarkan Pegawai Undang-Undang MBI, Syahrul Azrin Ghazali, plak peringatan terbabit yang berada di rizab jalan di Persiaran Istana di sini itu telah didirikan tanpa kebenaran pihaknya.

Syahrul Azrin berkata, pembinaan plak berkenaan bercanggah dengan Seksyen 46 (1) (a) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan sehubungan itu pihak bertanggungjawab dikehendaki untuk meruntuhkan struktur terbabit dalam tempoh 24 jam.

"Sekiranya arahan ini tidak dipatuhi, struktur plak berkenaan akan diruntuhkan MBI dan segala kos dan belanja memusnahkannya akan ditanggung oleh pihak yang membinanya," katanya dalam notis beramaran yang dikeluarkan lewat petang kelmarin.

Akhbar semalam melaporkan plak peringatan terbabit dipecahkan pihak tertentu tidak sampai lima hari selepas dipacakkan.

Sebahagian besar plak yang dibina daripada batu marmar berwarna hitam itu pecah terutama bahagian tepi dan bertaburan di atas tanah.

Dalam pada itu, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming dalam reaksi balasnya bukan sahaja enggan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu malah masih mahu meneruskan hasrat untuk membina plak baru yang lebih besar dan cantik bagi menggantikan tugu yang dipecahkan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis itu berkata, plak terbabit akan mengandungi empat bahasa iaitu bahasa Inggeris, Tamil, Cina dan Melayu.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis berhampiran mendapati plak itu dimusnahkan oleh seorang individu dengan benda keras dipercayai tukul besi pada kira-kira 1.30 pagi semalam (kelmarin).

"Bagaimanapun, imej individu tersebut kabur kerana agak jauh dengan CCTV dan lokasi itu pula agak gelap. Begitupun kami tetap akan membuat laporan polis mengenai kes itu pada Isnin ini," katanya pada sidang media di Wisma DAP Perak di sini semalam.

Tinjauan Kosmo! Ahad semalam pula mendapati keadaan plak peringatan semakin teruk apabila ia disimbah pula dengan cecair tar.

No comments:

Post a Comment