DR. D. SABAPATHY menjelaskan masih banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan keupayaan haiwan berkenaan lebih-lebih lagi untuk melepaskannya ke habitat asal.
"Kajian mendapati peluang Orang Utan yang dipelihara di sini hidup berdikari apabila dilepas bebas di dalam hutan cuma sekitar 30 hingga 50 peratus sahaja," katanya.
Justeru, bagi memastikan Orang Utan tersebut benar-benar bersedia dilepaskan ke habitat asalnya, pihaknya kini sedang berusaha untuk meningkatkan tahap berdikari haiwan primat itu kepada sekurang-kurangnya 70 peratus.
"Kita perlu sedar kebanyakan Orang Utan yang dipelihara di sini diambil ketika masih kecil dan tidak pernah mencari makanan di habitat asalnya.
"Jadi, kita tidak berharap haiwan ini boleh mencapai 100 peratus tahap mampu berdikari. Mungkin 70 peratus sudah mencukupi," katanya.
Sabapathy berkata, beliau secara peribadi percaya sasaran untuk meningkatkan daya berdikari Orang Utan kepada sekurang-kurangnya 70 peratus berdasarkan modul latihan insentif yang disusun sebelum ini boleh dicapai.
Bagaimanapun, katanya, beberapa cabaran besar terpaksa dihadapi pihaknya dalam merealisasikan hasrat berkenaan termasuk sikap dan perilaku sesetengah Orang Utan yang agak degil dan malas.
"Sikapnya seperti manusia iaitu ada yang rajin, ada yang malas, manja dan terlalu bergantung. Itu cabaran yang perlu kami hadapi," katanya.
Pulau Orang Utan yang sebelumnya dikenali sebagai Pulau Panjang ini merupakan tarikan utama ke Bukit Merah Laketown Resort (BMLR).
Meliputi kawasan seluas 9.2 hektar, pulau itu telah pun memiliki 23 ekor Orang Utan termasuk 10 ekor yang dilahirkan di situ.
Bagi memudahkan pengunjung, BMLR menyediakan pakej lawatan ke pulau tersebut. Dengan kekerapan kunjungan setiap setengah jam pada hujung minggu, pengunjung akan dibawa menaiki bot selama 10 minit ke pulau tersebut.
No comments:
Post a Comment