Translate

Sunday, August 9, 2026

RXZ Members 8.0 terus cetus kontroversi

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

PROGRAM RXZ Members 8.0 pada hujung minggu lalu sepatutnya dikenang sebagai penganjuran paling berjaya kerana meraih kira-kira 200,000 peserta.

Jenama program itu semakin kukuh sehingga mampu menarik kesetiaan peserta dari Negeri Sembilan yang sanggup memecut jentera sejauh hampir 500 kilometer ke Pantai Timur selepas selesai mengundi dalam Pilihan Raya Negeri.

Program RXZ Members tidak terlepas daripada kontroversi apabila mendapat kritikan ramai walaupun sudah memasuki edisi kelapan.

Kebanyakanya berpunca daripada sikap segelintir peserta sehingga pemilihan Terengganu sebagai lokasi penganjuran dijadikan sebagai ‘kambing hitam’.

Walaupun penganjur menekankan budaya menunggang secara berhemah dengan menukar slogan ‘Yang Santai, Pasti Sampai’, masih ramai penunggang yang melanggar peraturan.

Ini terbukti apabila 222 buah motosikal peserta RXZ Members 8.0 disita pihak polis atas pelbagai kesalahan.

Kadar kemalangan melibatkan peserta meningkat kepada 46 kes, manakala kematian 11 orang adalah tertinggi dalam edisi penganjuran RXZ Members. Dua beranak turut menjadi mangsa apabila melecur teruk dalam nahas melibatkan peserta RXZ Members dalam kejadian di Kuala Nerus.

Selain itu, terdapat segelintir pihak disyaki menjual air ketum secara terbuka dengan menyasarkan peserta RXZ Members. Sikap segelintir peserta yang gemar membuang sampah merata-rata mencecah 130 tan turut menjadi rungutan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Pengarah RXZ Members, Mohd. Lukhman Hassan berkata, pihaknya sentiasa komited menjalin kerjasama dengan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) demi kelancaran program dan ketenteraman awam.

Menurutnya, segala saranan pihak berkuasa dipatuhi termasuk kempen pemanduan berhemah.

“Hal kematian agak sensitif, tetapi ingin saya jelaskan semua kemalangan maut yang direkodkan tiada satu pun atas faktor berlumba,” katanya kepada Kosmo!.

Mohd. Lukhman turut menghargai kecekapan pihak polis melakukan penguatkuasaan tanpa mengganggu perjalanan peserta dan kelancaran program.

Sementara itu, Pengarah JPJ negeri, Mohd. Zamri Samion berkata, isu berbangkit tersebut membuktikan penganjur program berskala besar seperti RXZ Members perlu mengukuhkan lagi budaya keselamatan melibatkan semua pemegang taruh terutama peserta dan agensi berkaitan pada masa hadapan.

“Peserta perlu terus dididik supaya memberi penekanan terhadap perancangan jadual perjalanan, pematuhan undang-undang dan mempunyai insurans perlindungan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris pula memberitahu, sudah tiba masanya kerajaan negeri dilibatkan dalam penganjuran RXZ Members.

“Selama ini, program RXZ Members diuruskan sendiri oleh penganjur. Lain kali (selepas ini), libatkan kerajaan negeri dalam usaha melicinkan lagi pengurusan dan perjalanan program.

“Bukan mahu mengambil mileage (kredit), tetapi apa sahaja yang berlaku terhadap program berskala besar seperti ini, imej negeri Terengganu sudah pasti terpalit,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Sunday, August 2, 2026

Cikna popularkan produk berasaskan nisan kerek

SEORANG usahawanita, Nur Nadirah Syuhadah Rahmat, 28, gigih mempromosikan produk makanan dan minuman berasaskan manisan atau nisan kerek yang menjadi identiti Pantai Timur termasuk Terengganu.

Dia dan suaminya, Muhammad Faris Syarafuddin Mohd. Kahni, 30, yang berlatar belakang keluarga pengusaha nisan kerek asli diperbuat daripada nira kelapa itu mengambil tanggungjawab tersebut sejak tahun 2020.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, semuanya bermula sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan kerjaya asalnya sebagai jurusolek profesional terbatas. 

“Kami yang kebosanan di rumah mula menghasilkan kopi menggunakan nisan asli sebagai pemanis yang menjadi resipi keluarga turun-temurun. 

“Pada mulanya, kami beri kawan terdekat rasa sebelum berani menjualnya secara kecil-kecilan selepas kerajaan membenarkan premis perniagaan kembali dibuka,” katanya ketika ditemui K-Wanita di Dataran Batu Putih, Marang, Terengganu baru-baru ini. 

Nur Nadirah Syuhadah yang mesra dipanggil Cikna berkata, dia tidak menyangka jenama Kopi Nisang buatannya menjadi tular sehingga mereka a tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan.

Katanya, Kopi Nisang bukan sahaja diminati oleh penduduk setempat, malah pengunjung luar dari Terengganu serta kerabat diraja. 

“Alhamdulillah, rezeki kami murah sehingga mampu mengembangkan perniagaan ini di tiga cawangan iaitu di Dataran Batu Putih dan Padang Mengkuang, Marang serta Pasarnita Kuala Terengganu. 

“Kini selain Kopi Nisang, kami turut memperkenalkan menu-menu lain berasaskan nisan kerek seperti colek pelam, kunafa, ayam goreng Korea dan wafer,” ujarnya. 

Sementara itu, Cikna mengakui, kualiti nira kelapa amat mempengaruhi rasa nisan kerek yang digunakan, sekali gus memberi kesan kepada produk makanan dijualnya.

Dia memaklumkan, ibu dan ibu mentuanya banyak membantu mengolah resipi harian agar produk makanan dan minuman berasaskan nisan kerek dapat menetapi selera pelanggan.

Dalam perkembangan sama, Cikna memberitahu, perniagaannya kini dibantu oleh 40 pekerja bagi menguruskan syarikat di bawah nama Nachik Empire.

Menurutnya, kepuasan sebenar bukan keuntungan semata-mata, sebaliknya kejayaan mengangkat martabat nisan kerek  yang merupakan manisan semula jadi Pantai Timur. 

“Sewaktu ramai pengusaha makanan lain menggunakan keju bagi melariskan perniagaan mereka, saya memilih pendekatan menjadikan nisan kerek sebagai ramuan utama. 

“Alhamdulillah, nisan kerek juga sesuai diadunkan dalam pelbagai produk makanan yang menjadi buruan ramai,” katanya.  

Dalam perkembangan sama, Cikna memberitahu, dia memberanikan diri melebarkan perniagaan dengan membuka 

Lembah Nisang di Kampung Batu Putih, Marang pada Ogos tahun lalu.

Dia sangat bersyukur kerana Lembah Nisang yang beroperasi pada pukul 11 pagi hingga 7 malam setiap hari kecuali Selasa itu mendapat sambut memberangsangkan termasuk dalam kalangan pelancong.

“Antara cabaran terbesar saya adalah melayani karenah pelanggan yang pelbagai.

“Selain itu, saya perlu pastikan kualiti rasa air nira yang menjadi bahan asas utama menghasilkan nisan kerek konsisten pada  setiap hari.

“Ada ketikanya, rasa terlalu kelat, masin, tawar atau manis. 

“Jadi, saya perlu olah semula agar rasa semua produk yang dijual ini sentiasa sama dan seragam di semua  cawangan kami,” katanya.


Saturday, August 1, 2026

Dua remaja disyaki ‘sentuh’ rakan perempuan 15 tahun diberkas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Dua remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan dakwaan merogol seorang remaja perempuan di Jerteh, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Rozaime Ab. Rahim berkata, penahanan itu berikutan aduan diterima mangsa yang berusia 15 tahun.

“Mangsa mendakwa telah diperkosa di sebuah rumah penginapan di Jerteh di sini pada pukul 6 petang, semalam. Dia kemudiannya telah dibawa ke Hospital Besut di sini untuk pemeriksaan,” katanya di sini, hari ini.

Mohd. Rozaime berkata, dua remaja lelaki terbabit kemudiannya telah diberkas tidak lama kemudian bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.

“Kesalahan jenayah seksual melibatkan golongan remaja amat dipandang serius. Golongan remaja dinasihatkan sentiasa utamakan keselamatan diri, jaga batas pergaulan dan elakkan diri daripada terlibat situasi yang mendedahkan diri dengan risiko jenayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE