Translate

Saturday, October 4, 2025

APMM tahan bot tiada permit hantar petrol, diesel ke Pulau Perhentian

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Maritim Malaysia berjaya mematahkan cubaan sebuah bot kargo yang disyaki mahu membawa masuk bekalan petrol dan diesel secara haram ke Pulau Perhentian dekat sini semalam.

Bot kargo yang membawa 52 tong mengandungi petrol dan diesel itu ditahan di perairan Pulau Perhentian pada pukul 3 petang.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, pemeriksaan di dalam bot kargo tersebut menjumpai 49 tong mengandungi diesel, manakala empat lain pula berisi petrol.

“Siasatan awal mendapati bekalan petrol dan diesel itu mahu dibawa masuk ke Pulau Perhentian dari Kuala Besut di sini.

“Penghantaran bahan api itu tidak mendapat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi sama yang dijalankan di perairan Pulau Redang, Kuala Nerus hingga Pulau Perhentian selama dua hari berakhir kelmarin turut menahan lapan bot pelancong atas pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan dikesan ialah beroperasi tanpa lesen, membawa penumpang berlebihan dan melanggar kawasan operasi ditetapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment