Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang penyelia operasi pelantar minyak untuk meraih keuntungan dalam perniagaan pembekalan alat tulis lebur, malah dia turut kerugian RM154,291 akibat diperdaya sindiket penipuan atau scammer.
Lelaki berusia 40 tahun yang menyedari tertipu tersebut telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini pada pukul 4.37 petang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya penyelia terbabit tertarik untuk melabur dalam peniagaan pembekalan alat tulis secara pukal yang diiklankan di dalam aplikasi TikTok.
“Mangsa menekan pautan diberikan sebelum menyertai skim pelaburan terbabit.
“Dia telah membuat pindahan wang bagi pembayaran modal pelaburan ke dalam lima akaun bank berasingan yang diberikan suspek,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Azli berkata, lelaki tersebut mula menyedari sesuatu tidak kena apabila tidak mendapat pulangan keuntungan dijanjikan.
Beliau berkata, begitupun penyelia terbabit menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan modal dikeluarkan sekali gus menarik diri daripada skim pelaburan tersebut.
“Mangsa sebaliknya diarah untuk membayar denda RM63,191 dan kononnya bayaran pengurusan kedai di platform TikTok Shop berjumlah RM81,000.
“Dia yang kehilangan wang simpanan sebanyak RM154,291 enggan menurut kemahuan suspek sebaliknya membuat laporan polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment