Translate

Thursday, August 1, 2024

UniSZA laksana pendigitalan manuskrip lama ulama Kedah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diberi tanggungjawab untuk mendigitalkan manuskrip lama tinggalan ulama Kedah yang dihasilkan bermula kurun ke-17.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr Fadzli Adam berkata, manuskrip tersebut kini dalam simpanan Jabatan Mufti Kedah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah dan Lembaga Muzium Kedah.

“Setakat ini, kita telah selesai mendigitalkan 30 manuskrip lama itu yang kebanyakan ditulis oleh ulama-ulama Kedah pada sekitar tahun 1600 hingga 1800.

“Banyak lagi manuskrip lama simpanan empat agensi Kedah tersebut akan melalu proses pendigitalan yang dijangka boleh disiapkan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama wakil empat agensi itu dan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu berhubung pendigitalan manuskrip terbabit.

Fadzli berkata, proses pendigitalan manuskrip lama berkenaan bermula dengan proses menyalin, membuat deskripsi dan katalog sebelum dimuat naik ke laman portal Manuskrip Ulama Alam Melayu UniSZA.

Jelas beliau, semua manuskrip lama ulama Kedah itu dijangka boleh diakses menerusi portal tersebut selewat-lewatnya April tahun depan.

“Kerjasama ini merupakan sebahagian projek pendigitalan manuskrip ulama alam Melayu yang dirintis UniSZA menerusi Institut Penyelidikan Produk Dan Ketamadunan Melayu Islam (Inspire) bermula sejak tahun September 2019,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment