Translate

Sunday, August 11, 2024

Lelaki didakwa bunuh rakan tukar pengakuan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pengusaha barangan lusuh etnik Rohingya yang sepatutnya dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini menukar pengakuan bagi pertuduhan pilihan menyebabkan kematian rakannya tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Qarim Abdul Razak, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani.

Sebelum ini, tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan sewaktu prosiding pada 29 Julai lalu.

Tertuduh diwakili peguam Mazlan Md. Zain memohon dibicarakan semula untuk pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Kesesaan yang turut memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Qarim didakwa membunuh Abdul Khalid Abdul Hadir, 35, yang juga etnik Rohingya di Bukit Payung, Marang pada 11.20 malam, 18 Mac 2017.

Kosmo! 21 Mac 2017 melaporkan mayat Abdul Khalid ditemukan dalam keadaan mengerikan apabila tubuhnya dipercayai ditikam bertubi-tubi menggunakan gerudi, mesin pengisar, tukul, parang, pisau dan topi keledar.

Sebelum kejadian, mangsa yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian dikatakan bertengkar dengan tiga lelaki etnik Rohingya termasuk tertuduh di sebuah rumah. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment