Translate

Thursday, August 1, 2024

Pasangan kekasih maut kemalangan rancang nikah hujung tahun

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pasangan kekasih, Muhammad Haniff Idham Mohd. Azmi, 24, dan Nurshabirah Izzani Zulkarnain, 22, yang maut dalam kemalangan di Jalan Kemajuan di sini malam tadi merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun ini.

Bapa Nurshabirah Izzani, Zulkurnain Abdullah, 57, berkata, dia merancang untuk majlis perkahwinan Nurshabirah Izzani bersama anak kedua dan ketiganya.

“Arwah Nurshabirah Izzani merupakan anak keempat saya dan dia bersama arwah Muhammad Haniff Idham sejak di bangku sekolah.

“Mereka merancang untuk bernikah dan saya cadangkan agar majlis itu disekalikan bersama abang kedua (Zul Adri Amin, 26) dan kakak ketiganya (Nur Hadirah, 25) pada akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Zulkurnain berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Haniff Idham mengambil anaknya, Nurshabirah Izzani yang habis bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat membeli-belah di bandar raya ini.

Dia berkata, mereka dikatakan dalam perjalanan untuk makan malam di sebuah restoran di Pulau Duyong di sini sebelum Nurshabirah Izzani dihantar pulang di rumah sewanya di Flat Seri Kolam di sini.

Sebelum ini, pasangan kekasih tersebut terlibat dalam kemalangan selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan jenis Toyota Fortuner pada pukul 10.30 malam.

Muhammad Haniff Idham dan Nurshabirah Izzani meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Unit Kecemasan HSNZ. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment