Translate

Friday, September 30, 2022

KASA giat laksana persiapan hadapi banjir

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Persiapan menghadapi banjir pada musim tengkujuh bermula bulan November ini sedang giat dijalankan agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antara persiapan yang sedang dilakukan ialah penyelenggaraan pintu air, pemasangan pam air dan kerja-kerja mendalamkan kawasan takungan air di kawasan berisiko banjir di seluruh negara.

“Kesemua kerja-kerja persiapan terbabit dilakukan di ratusan kawasan-kawasan ‘hotspot’ (berisiko tinggi) banjir yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

“Ia bagi memastikan semua aset itu berfungsi dengan baik pada musim tengkujuh nanti,” katanya selepas melancarkan projek pemuliharaan muara Sungai Dungun di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim memberitahu, sebanyak 50 empangan sabo sedang dibina secara berperingkat di kawasan berisiko berlaku kejadian kepala air di seluruh negara.

Jelas beliau, empangan itu kelak akan berfungsi sebagai penahan puing termasuk bongkah batuan dan kayu selain melambatkan aliran air sekiranya berlaku fenomena kepala air di kawasan terlibat.

“Ia bertujuan untuk mengurangkan impak kepala air yang dikhuatiri bakal menjejaskan keselamatan pengunjung atau penduduk setempat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment