Translate

Monday, September 5, 2022

Gerai musnah, ibu tunggal tidak berupaya bangkit semula

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Perum­pamaan tepat buat ibu tunggal, Siti Zaliha Abdullah, 34, yang kehilangan mata pencarian akibat banjir besar pada Februari lalu.

Lebih menyedihkan rumah pusaka yang dihuni wanita itu bersama empat anaknya terma­suk seorang orang kelainan upaya (OKU) mengalami kerosakan te­ruk terutama dapur.

Siti Zaliha memberitahu, dia hilang sumber pendapatan buat keluarga selepas gerai makanan yang diusahakan berhampiran Sekolah Kebangsaan Lubuk Periuk, Ajil di sini musnah dihanyut banjir.

“Semua peralatan memasak, barang berniaga rosak.

“Saya tiada keupayaan untuk bangkit semula kerana kekura­ngan modal dan kini terpaksa bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan berhampiran,” katanya yang menerima bantuan bulanan jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250.

Luahnya, dengan pendapatan purata RM25 sehari sebagai pembantu kedai tidak mencukupi bagi menyara empat anak termasuk bongsu, Nursay­yidatina Khadijah Abdullah, 7, yang menghidap celebral palsy.

“Kos membeli susu khas dan lampin pakai buang untuk anak OKU saya sangat besar selain memerlukan penjagaan khusus.

“Tiga anak lain berusia 11 hingga 14 tahun pula masih bersekolah dan mereka memerlukan belanja keseluruhan RM15 sehari,” luahnya.

Tambah Siti Zaliha, mereka sekeluarga kini menumpang sementara di rumah kakaknya yang terletak di kampung sebelah di­sebabkan tidak mampu membaiki kerosakan rumah pusaka.

Sehubungan itu, dia berharap agar ada pihak yang dapat membantu dirinya membuka kembali gerai makanan bagi mengubah nasib keluarga.

“Kalau ada yang sudi membantu membaiki kerosakan rumah pusaka, dapatlah kami berpindah masuk semula ke kediaman tinggalan keluarga saya ini,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional Siti Zaliha, 1150029000052833 atau menghubunginya di talian 019-917 0430.

No comments:

Post a Comment