Translate

Wednesday, September 23, 2015

Harga tayar patut lebih murah


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Pengeluar dan pengimport didesak agar menurunkan harga tayar kenderaan berikutan kejatuhan harga komoditi getah dan petroleum yang merupakan bahan asasnya sejak setahun lalu.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi mendakwa, pihaknya percaya harga tayar kenderaan pelbagai jenis di negara ini dijual di pasaran tempatan pada masa ini sekurang-kurangnya 20 peratus lebih tinggi daripada sepatutnya.

"Tinjauan mendapati tayar kenderaan bagi semua variasi dan jenama kekal mahal walaupun kos pembuatannya semakin murah berikutan penurunan harga bahan mentahnya iaitu getah asli, getah tiruan, besi keluli dan karbon hitam sejak tahun lalu.

"Malah cukai yang dikenakan kerajaan ke atas tayar kenderaan sudah turun sejak pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) pada April lalu iaitu enam peratus berbanding 10 peratus mengikut Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST)," dakwanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Samsudin berkata, penurunan harga tayar memberi kesan besar kepada rakyat dalam meringankan beban kos sara hidup yang semakin tinggi pada masa ini.

Beliau mendakwa, ia bukan sahaja mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan persendirian malah mampu menjadi pemangkin kepada harga bahan keperluan dan makanan yang lebih murah berikutan kos pengangkutan yang lebih efektif.

"Persatuan pengeluar tayar tidak boleh memberi alasan penyusutan nilai ringgit untuk enggan menurunkan harga tayar kerana situasi itu baru sahaja berlaku dan bersifat sementara.

"PKPKL juga gesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memainkan peranan menstabilkan harga tayar," katanya.

No comments:

Post a Comment