Translate

Wednesday, September 16, 2015

GLIC labur keuntungan di Malaysia

Oleh TURMADZI MADUN, SUHANA MD. YUSOP, MOHD. AZLI ADLAN dan NOR SYARIZA MUHD. TAHIR


PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membawa pulang keuntungan daripada pelaburan mereka berjumlah RM522 bilion di luar negara dengan me­labur semula di Malaysia.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sejak negara pulih daripada krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dan 1998 banyak GLC dan swasta telah berjaya mengembangkan perniagaan serta mempertingkatkan pelaburan mereka ke luar negara sehingga jumlahnya kini lebih besar daripada pelaburan langsung asing di Malaysia.
“Setakat Jun lalu, Malaysia merupakan pengeksport bersih modal dengan pelaburan langsung di luar negara adalah berjumlah RM522 bilion, berbanding pelaburan langsung asing berjumlah RM477 bilion.
“Kebanyakan syarikat tersebut telah memperoleh keuntungan daripada pelaburan yang dibuat dan inilah masa untuk mereka membawanya pulang ke dalam negara,” katanya pada sidang akhbar khas Langkah-langkah Proaktif Ekonomi di sini semalam.


Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Ekonomi, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Kata Najib, saranan membawa pulang keuntungan ke dalam negara sebagai salah satu langkah kerajaan bagi menstabilkan pasaran kewangan, menyokong aktiviti perniagaan dan mengurangkan impak ketidaktentuan ekonomi global.

“Bagi menstabilkan pasaran kewangan, GLC dan GLIC adalah digalakkan untuk menzahirkan keuntungan pelaburan di luar negara dengan melabur dalam projek yang mempunyai nilai pengganda tinggi di dalam negara.

“Syarikat swasta juga digesa untuk mengambil langkah serupa,” katanya.

Najib memberitahu, kerajaan turut memperkenalkan beberapa langkah proaktif lain sebagai inisiatif awal jangka pendek dan sederhana untuk melindungi serta merangsang pertumbuhan ekonomi.

Katanya, antara langkah tersebut adalah dengan mengaktifkan semula ValueCap yang ditubuhkan pada 2002.

Katanya, ValueCap diaktifkan dengan dana sebanyak RM20 bilion berikutan kejayaan entiti tersebut dalam menstabilkan pasaran ekuiti sebelum ini.

“ValueCap telah memberi pulangan yang tinggi kepada pemegang sahamnya seperti Permodalan Nasional Bhd., Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan dan Khazanah Nasional Bhd.,” jelasnya.

Dalam pada itu, kerajaan juga akan memberikan pengecualian duti import ke atas 90 baris tarif yang terdiri daripada alat ganti, bahan guna habis dan peralatan penyelidikan yang tidak dikeluarkan dalam negara sehingga ekonomi global pulih.

Katanya, jumlah tersebut adalah tambahan kepada 319 baris tarif yang telah pun diberikan pengecualian duti import.

“Kerajaan sedar penurunan mata wang ringgit akan meningkatkan kos input yang diimport dan keperluan modal kerja.

“Sehubungan itu, adalah dianggarkan lebih 900 buah syarikat pengilang akan menikmati penjimatan kos operasi tahunan antara RM100,000 hingga RM500,000 lanjutan daripada kemudahan ini,” katanya.

Najib berkata, Skim Jaminan Modal Kerja akan dipertingkatkan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana, selain daripada RM5 bilion jaminan yang telah disediakan bagi sektor perkhidmatan, tambahan RM2 bilion akan disediakan bagi sektor lain.

No comments:

Post a Comment