Oleh MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com
IPOH - Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Ghazali mengumumkan tidak akan
mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Hulu pada
Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.
Bekas Menteri Besar Perak kesembilan itu berkata, sudah tiba masanya
beliau bersara setelah sekian lama menjadi wakil rakyat sejak memenangi
DUN Kendering pada tahun 1977.
"Lagipun saya kini hanya ahli UMNO biasa selepas melepaskan jawatan
Pengerusi BN Perak pada 29 Januari 2009 dan Ketua UMNO Bahagian Gerik
pada 29 Mac tahun sama.
"Ini adalah sidang DUN terakhir buat saya," katanya selepas
membahaskan Bajet 2013 Perak pada Sidang DUN Perak ke-12 di sini semalam.
Serentak dengan itu, Mohamad Tajol Rosli mengambil kesempatan memohon maaf atas kekurangan diri dan perilaku sepanjang kariernya sebagai ahli politik.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah kerana berkenan melantik beliau sebagai Menteri Besar selama dua penggal dari 1999 hingga 2004.
"Selepas ini, saya akan menumpukan perhatian kepada tugas baharu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO," tambahnya.
Sementara itu, katanya, kegagalan mempertahankan mandat BN untuk terus memerintah kerajaan negeri Perak pada PRU ke-12 lalu merupakan pengalaman paling pahit dalam karier politiknya.
Selain menjadi Menteri Besar, Mohamad Tajol Rosli pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Menteri di beberapa kementerian seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos.
No comments:
Post a Comment