IPOH - Persatuan Karyawan Perak akan mengadakan persembahan teater monolog Nur Isandra karya J. Jamal di Auditorium Taman Budaya, Kuala Lumpur pada esok dan Ahad ini.
J. Jamal atau nama sebenarnya Jamaludin Ahmad berkata, teater lakonan solo aktivis teater berbakat, Noorsaielin Sailillah itu dipentaskan sempena Manifestasi Teater Malaysia 2010.
"Teater selama 42 minit itu pernah memenangi Pesta Teater Perak 2009 dan terpilih antara lima pementasan teater monolog terbaik tahun lalu," katanya selepas pementasan pertunjukan teater itu di Taman Budaya Perak di sini kelmarin.
J. Jamal berkata, teater monolog itu mengisahkan keluh-kesah watak Jaslina Jasmin atau Lina yang kehilangan hak penjagaan anak tunggal, Nur Isandra setelah mengalami keruntuhan rumah tangga.
Beliau berkata, Lina amat kecewa kerana diceraikan bekas suami ketika dia disahkan menghidap barah peringkat akhir dan dijangka mampu hidup hanya dalam tempoh sebulan.
"Idea karya Nur Isandra adalah berdasarkan kisah benar. Ia memberi mesej pertalian erat antara ibu dan anak tidak akan pernah terlerai," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap dapat berkongsi mesej di sebalik teater itu dan meminta orang ramai tidak melepaskan peluang menonton pementasannya.
No comments:
Post a Comment