Translate

Friday, June 4, 2010

Kecoh kilang kicap diserbu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Operasi bersepadu membanteras penyalahgunaan sijil halal di sebuah kilang memproses kicap di Menglembu di sini semalam kecoh apabila anggota penguat kuasa dihalang daripada menyita barangan rampasan.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu, anggota penguat kuasa pada mulanya dilarang daripada merampas barangan rampasan seperti botol kicap, botol kosong dan label yang dianggarkan bernilai RM1,000 oleh seorang wanita yang merupakan pemilik kilang tersebut.

"Jangan rampas barang kami, ini masalah logo halal sahaja. Bukan kami tak mohon sijil halal tapi sudah kena tipu dengan orang tengah, tunggu peguam kami sampai dulu," dakwa wanita itu.

Wanita itu kemudian berjaya ditenteramkan apabila Penolong Pengarah (Bahagian Penyelidikan) Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Fakhrul Zaman Abu Mansor memberitahu akan meminta bantuan polis sekiranya tugas mereka terus dihalang.

Fakhrul Zaman berkata, pemeriksaan mendapati produk kicap keluaran kilang tersebut menggunakan logo pengesahan halal yang telah tamat tempoh sejak Jun 2009.

Beliau berkata, permohonan pengusaha kicap berkenaan untuk memperbaharui sijil pengesahan halal sebelum ini juga ditolak berikutan pemeriksaan susulan panel JAIP mendapati premis memproses kicap itu gagal dalam aspek kebersihan.

“Kegagalan pengusaha mengemukakan ramuan kicap buatan mereka juga salah satu faktor sijil pengesahan halal tidak diperbaharui.

"Namun JAIP mendapati label produk kicap buatan kilang tersebut masih mempamerkan logo pengesahan halal walaupun telah tamat tempoh," katanya.

Beberapa surat pengingatan juga telah dihantar kepada pemilik kilang terbabit sebelum ini tapi gagal dipatuhi.

Kilang kicap berusia 65 tahun itu merupakan salah satu daripada empat premis di sekitar Menglembu dan Silibin di sini yang diserbu dalam operasi bersepadu melibatkan JAIP, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak, Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semalam.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perak, Mokhtar Sulaiman berkata, jika sabit kesalahan, denda minimum RM250,000 boleh dikenakan dan pihaknya dengan kerjasama agensi kerajaan lain terutamanya JAIP akan terus mengiatkan operasi bersepadu tersebut yang julung kali diadakan di Perak pada tahun ini.

1 comment:

  1. hello... hapi blogging... have a nice day! just visiting here....

    ReplyDelete