Translate

Sunday, October 4, 2009

Cuai punca rumah kedai runtuh


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak menolak kemungkinan kejadian deretan rumah kedai lama runtuh di Fair Park, Jalan Kamaruddin Isa di sini sehingga menyebabkan dua nyawa terkorban kelmarin disebabkan faktor kecuaian.

Menterinya, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, timbul persoalan sama ada kontraktor terlibat mengikut prosedur dibenarkan ketika melaksanakan kerja-kerja meruntuhkan premis rumah kedai berkenaan.

“Mengikut laporan awal, deretan rumah kedai tujuh pintu ini dalam proses dirobohkan untuk pembangunan semula. Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah meluluskan pelan bangunan baru itu kira-kira tiga bulan lalu.

“Namun adakah langkah-langkah keselamatan diambil sepenuhnya? Sehubungan itu saya arahkan MBI hantar laporan penuh mengenai kejadian runtuhan deretan rumah kedai lama ini dalam masa terdekat,” katanya ketika melawat tempat kejadian di Fair Park, Jalan Kamaruddin Isa semalam.

Kosmo! semalam melaporkan Mohd. Firdaus Mat Norzila, 23, dan Mohd. Zairi Mohd. Sabri, 25, terbunuh manakala Abdil Kudus Ismail, 21, cedera apabila kenderaan yang mereka naiki ditimpa serpihan bangunan runtuh.

Cho Ha juga mengarahkan kerja-kerja merobohkan bangunan itu yang berusia lebih 40 tahun itu dihentikan serta-merta sehingga siasatan penuh selesai.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, pihak polis tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut berlaku akibat kecuaian dan sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, setakat ini pihak polis telah mengambil keterangan pengendali jentolak berkenaan dan saksi kejadian termasuk pemandu tiga kenderaan lain yang turut terlibat.

No comments:

Post a Comment