Translate

Sunday, August 9, 2026

Jurujual rugi RM290,910 diperdaya skim pelaburan palsu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Keghairahan seorang jurujual sebuah butik pakaian berjenama menggadai barangan kemasnya untuk meraih keuntungan berganda membawa padah apabila dia kerugian RM290,910 akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud.

Wanita berusia 60 tahun yang menyedari tertipu itu telah membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.59 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, jurujual berkenaan telah tertarik dengan tawaran skim pelaburan yang dilihatnya menerusi laman Facebook pada bulan Mei lalu.

“Skim pelaburan tersebut bukan sahaja menawarkan modal murah malah kononnya menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh tiga jam sahaja. Mangsa yang rambang mata telah menyertai skim pelaburan itu sebelum diminta menambah modal kononnya sebagai syarat bagi menebus keuntungan diperolehi,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, begitupun janji pemberian keuntungan itu tidak ditunaikan sebelum wanita terbabit dihubungi pula individu tidak dikenali mengaku kononnya pegawai mengendalikan kes penipuan dalam talian.

Beliau berkata, ‘pegawai’ terbabit menawarkan bantuan kononnya untuk mendapatkan kembali modal pelaburan jurujual berkenaan.

“Mangsa yang percaya telah membuat pembayaran tambahan diarah suspek ke dalam 16 akaun bank diberikan sebanyak 57 kali antara 14 Jun hingga kelmarin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Lelaki lembam rentung terperangkap dalam rumah terbakar

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang ibu terkilan gagal menyelamatkan anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) kategori lembam dalam kebakaran memusnahkan rumah mereka di Kampung Gong Tok Nasek, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 10.50 malam tersebut, mayat mangsa, Abd. Latif Abd. Rashid, 41, ditemui rentung di dalam sebuah bilik tidur di dalam rumah mereka.

Sharipah Yusof, 59, berkata, dia dan suami, Abd. Rashid Md. Zain, 64, yang sedang tidur di tingkat bawah hanya menyedari rumah mereka terbakar apabila pintu rumahnya diketuk bertalu-talu oleh jiran-jirannya.

“Mereka yang nampak api kebakaran di tingkat atas rumah minta saya segera menyelamatkan diri sementara suami (Abd. Rashid) yang uzur juga dibantu keluar.

“Begitupun saya patah balik apabila menyedari anak sulung (Abd. Latif) sedang tidur di tingkat atas rumah,” katanya di lokasi kejadian di Kampung Gong Tok Nasek di sini hari ini.

Sharipah berkata, dia cuba mengetuk pintu bilik anaknya berkali-kali tetapi tiada respon sebelum terpaksa berpatah keluar rumah ekoran api semakin marak.

Katanya, pasukan bomba tidak lama kemudian untuk memadamkan kebakaran dan dia yang berada di luar rumah tidak henti-henti berdoa mengharapkan keajaiban agar anaknya, Abd. Latif dapat diselamatkan.

“Luluh hati saya apabila apabila mayatnya (Abd. Latif) diusung keluar oleh anggota bomba,” katanya. – KOSMO! ONLINE

RXZ Members perlu pelan pengurusan risiko lebih komprehensif

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Penganjur program RXZ Members disaran merangka pelan pengurusan risiko acara yang lebih berkesan bagi menjamin kelancaran dan keselamatan program pada edisi seterusnya.

Aktivis keselamatan jalan raya, Shamrim Tamrin berkata, pendekatan penguatkuasaan biasa diamalkan sekarang tidak lagi sesuai memandangkan RXZ Members semakin berkembang menjadi acara berskala besar yang mampu menarik ratusan ribu penyertaan setiap kali penganjuran.

“Pendekatan sedia ada tidak memadai memandangkan trend kematian (peserta RXZ Members) meningkat mendadak setiap tahun daripada dua orang pada tahun 2024 kepada 11 orang pada tahun ini.

“Pelan pengurusan risiko acara perlu dirangka sebagai sebahagian syarat kelulusan penganjuran, bukan sekadar pilihan atas budi bicara penganjur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shamrim berkata, pelan pengurusan risiko acara baharu tersebut perlu merangkumi laluan utama masuk dan keluar peserta, lokasi rehat dan ambulans dan pusat respons kecemasan.

Bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) itu berkata, ia turut membabitkan pelan komunikasi dan analisis risiko sebelum acara.

“Agensi penguat kuasa perlu mempunyai mekanisme memastikan hanya motosikal Yamaha RXZ tidak melepasi keselamatan teknikal dan piawaian dibenarkan menyertai RXZ Members.

“Ini kerana motosikal yang tidak mengikut spefisikasi meningkatkan risiko kemalangan malah tanpa geran sah, cukai jalan dan perlindungan insurans, masalah berbangkit pasti berlaku jika terjadi kemalangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE