azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH – Seorang pemandu treler kecewa dengan sikap orang ramai yang ghairah mengutip beras yang bertaburan dalam satu nahas daripada menyelamatkan dia dan rakannya yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 394.4, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Behrang-Tanjung Malim, Kuala Kubu Bharu kelmarin.
Ahmad Rozlin Ahmad Murad, 22, mendakwa sikap jelik pengguna jalan raya yang tidak menghiraukan rayuannya supaya menghubungi pihak berkuasa untuk menyelamatkan kelindan lori, Hanafi Mohd. Daud, 19, tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Dalam kejadian itu, Hanafi meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala Ahmad Rozlin cedera parah di tangan dan kaki kiri.
Lebih mengharukan apabila Ahmad Rozlin mendakwa dia dibiarkan terlantar selama lebih sejam di atas bahu jalan tanpa dipedulikan oleh orang ramai yang ghairah mengutip 43 tan beras tempatan pelbagai gred yang tumpah selepas kemalangan. Ketika itu dia dalam perjalanan ke Puchong, Selangor dari Perlis.
Ia berlaku selepas treler yang dipandunya merempuh sebuah lori muatan pasir di lorong kecemasan.Beg sandang miliknya yang mengandungi telefon bimbit turut dicuri.
"Bayangkan dalam keadaan sakit, saya lihat mereka begitu rakus mengaut dan mencuri beras di depan mata saya.
Hati saya bertambah sakit apabila rayuan saya meminta mereka menutup luka pada badan saya yang dihurung lalat tidak diendahkan.
"Saya harap mereka yang terlibat insaf dan fikirkanlah soal halal haram. Saya begitu kecewa lebih-lebih lagi rakan saya meninggal dunia akibat keengganan mereka menghulurkan bantuan," ceritanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.
Semalam Kosmo! melaporkan pengguna lebuh raya seakan-akan berpesta memungut beratus-ratus kilogram beras yang tumpah dari sebuah treler yang berlanggar dengan sebuah lori muatan pasir pada pukul 9.15 pagi.
Ekoran itu, kelindan treler, Hanafi mati manakala pemandu treler, Ahmad Rozlin cedera parah. Pasir yang dibawa lori yang dilanggar turut tumpah tetapi pemandunya tidak cedera.
Menurut Ahmad Rozlin , dia diselamatkan oleh anggota penyelamat yang sampai sebelum dikejarkan ke Hospital Slim River dengan ambulans kira-kira sejam kemudian.
Dia kemudian dipindahkan ke HRPB malam kelmarin.Mengimbau semula kejadian itu, Ahmad Rozlin memberitahu, sebelum kejadian dia sedang memandu perlahan di lorong kecemasan sebelum sebuah lori pasir meluru masuk ke laluan yang sama.
"Saya terus merempuhnya kerana lori yang berada di lorong kiri itu memintas saya dengan mengejut sebelum memperlahankan kenderaannya. Dia berbuat demikian setelah mengetahui ada sekatan Jabatan Pengangkutan Jalan di hadapan," ceritanya lagi.
Ujar Ahmad Rozlin, ekoran itu, Hanafi terperosok manakala dia terhumban ke hadapan melalui cermin treler.
kejam nye..
ReplyDeletedh la amek beras tanpa kebenaran pastu leh pelak bia mangsa tu cmtu.
x de perikemanusiaan betol...
pe nk jd la..pentingkn dri sndri..
Hana,
ReplyDelete"Saya harap mereka yang terlibat insaf dan fikirkanlah soal halal haram," - Ahmad Rozlin