IPOH - Seorang jururawat menafikan tuduhan yang dibuat suaminya mengatakan dia seorang yang panas baran hingga sanggup melibas pisau dan mengurung lelaki itu selama setengah jam di dalam rumah sendiri Jumaat lalu.
Bagaimanapun, wanita yang dikenali sebagai Hanum , 24, itu enggan memberitahu kejadian sebenar dan mendakwa cerita yang dibuat suaminya, Ahmad Kushairi Abdul Rahim, 31, sengaja diada-adakan.
"Hanya saya dan dia tahu kisah sebenar. Biarlah apa yang dia nak kata, Allah tahu.
"Saya mohon tidak diganggu kerana mahu tenangkan diri. Namun saya janji akan tampil bersihkan nama (daripada dakwaan suami) beberapa hari lagi," katanya ketika dihubungi semalam sebelum memutuskan talian.
Semalam Kosmo! melaporkan, Ahmad Kushairi, seorang juruteknik Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak mendakwa dia diserang isterinya sehingga menyebabkan lengannya cedera dilibas pisau sebelum dikurung selama setengah jam di Taman Pinji Ria, Pengkalan di sini.
Lelaki itu menuduh isterinya terlalu cemburu dan sering menaruh syak wasangka terhadap dirinya dan dia sering dimaki hamun dan disepak terajang sejak menikah pada Mac tahun lalu.
Sementara itu Kosmo! difahamkan Hanum telah diberi cuti oleh majikannya selama seminggu sehingga Ahad ini untuk menenangkan diri di lokasi rahsia.
Seorang jururawat yang ditemui tidak percaya Hanum melakukan perbuatan tersebut kerana fizikal wanita itu lebih kecil berbanding suaminya.
"Dia pernah datang kerja dengan kesan lebam pada lengannya.
Namun, dia tidak pernah cerita apa puncanya," kata beliau.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias memberitahu, kes itu masih disiasat dan polis belum membuat sebarang tangkapan.
No comments:
Post a Comment