Translate

Friday, March 21, 2025

Lelaki sedang lombong bitcoin diberkas di Kuala Nerus

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki diberkas bagi membantu siasatan melakukan penyambungan bekalan elektrik secara haram untuk melakukan perlombongan bitcoin di sebuah premis di Taman Sejati, Kampung Wakaf Baru, Kuala Nerus dekat sini semalam.

Serbuan pada pukul 10.45 malam itu berjaya menangkap suspek berusia 53 tahun berkenaan bersama pelbagai peralatan melombong bitcoin yang bernilai keseluruhan RM15,600.

Ketua Polis Daerah Terengganu, Asisten Komosioner Azli Mohd. Noor berkata, serbuan dilakukan bersama pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) tersebut berikutan maklumat berlakunya aktiviti mencuri arus elektrik di premis tersebut.

“Hasil pemeriksaan dengan bantuan juruteknik TNB mengesahkan berlakunya aktiviti penyambungan bekalan elektrik bagi pemasangan mesin bitcoin.

“Soal siasat awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam aktiviti perlombongan bitcoin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, serbuan tersebut berjaya merampas mesin bertulis avalonminer dan alat penyejuk mesin bitcoin yang masing-masing berjumlah 12 unit serta
sebuah telefon bimbit.

Beliau berkata, kesemua peralatan melombong bitcoin yang dirampas berkenaan dianggarkan bernilai RM15,600.

“Suspek telah direman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta sama serta Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment