Translate

Monday, November 2, 2026

‘Dulu dia pegawai tentera tegap, cergas’

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seorang wanita tidak menyangka suami yang dahulunya tegap dan cergas sebagai pegawai tentera kini terlantar lumpuh akibat jangkitan kuman pada selaput otak sejak enam tahun lalu.

Rosliza Wahid, 43, berkata, sejak itu, suaminya, Tawaka Ab. Ghani, 43, terpaksa bergantung sepenuhnya dengan mesin penafasan.

“Waktu itu, suami saya (Tawaka) sedang bertugas sebagai Pegawai Waran II di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, Kelantan.

“Pada mulanya, dia mengadu demam dan pening kepala sebelum tiba-tiba rebah di rumah sewa kami di Selising, Pasir Puteh, Kelantan. Dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tengku Anis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Jeruk, di sini, semalam.

Rosliza berkata, pemeriksaan doktor kemudiannya mendapati suaminya disahkan mengalami jangkitan kuman pada selaput otak.

“Jangkitan kuman tersebut me­rebak ke saraf tunjang dan saluran pernafasan suami menyebabkan dia lumpuh dan tidak mampu bernafas secara semula jadi.

“Prosedur tebuk leher bagi bolehkan dia bernafas dengan bantuan mesin pernafasan dibuat pada April 2020,” katanya.

Ujarnya, suami hanya sedar daripada koma dan dibenarkan keluar dari Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II pada Mac 2021.

Katanya, suaminya yang sudah hilang upaya kemudiannya bersara daripada perkhidmatan tentera pada 23 Jun 2023.

“Jabatan Hal Ehwal ­Veteran dan Jabatan Kebajikan Masyarakat banyak memberi bantuan, tetapi beban kami jauh lebih besar termasuk bil elektrik kerana menggunakan alat pernafasan,” ujarnya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang menerusi akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 1110829826754413 atas nama Rosliza atau menghubungi talian 019-7611448.

Sunday, November 1, 2026

Musim tengkujuh kali ini tiada banjir besar

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Monsun Timur Laut (MTL) yang akan bermula hari ini dijangka berlangsung dengan ‘lebih aman’ tanpa berlakunya banjir besar luar biasa.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, risiko berlakunya banjir besar pada musim tengkujuh kali ini amat rendah ekoran taburan hujan yang bakal turun diramal tidak selebat berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Biarpun tiga hingga lima episod hujan diramal berlaku pada fasa awal MTL sehingga Januari tahun depan, taburan hujan yang turun dijangka tidak terlalu lebat disebabkan cuaca ekstrem.

“Keberlangsungan fenomena Super El Nino terutama mulai Disember depan akan mengurangkan kelembapan Lautan Pasifik sekali gus menyebabkan hujan lebat berterusan kurang berlaku pada musim tengkujuh kali ini.

“Ketiadaan hujan terlalu lebat tersebut sekali gus mengurangkan risiko banjir besar luar biasa terutama di Pantai Timur seperti berlaku pada tahun 2013, 2014 dan 2022,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Terdahulu Jabatan Meteo­rologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan MTL akan bermula hari ini sehingga Mac tahun depan.

Terdahulu Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip mendedahkan sebelum ini sepanjang tempoh tersebut, tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan diramal berlaku sehingga Januari tahun depan.

Beliau menyatakan begitupun selepas itu sehingga penghujung MTL pada Mac hadapan, taburan hujan dijangka berkurangan.

Dalam pada itu Jiang Xiang berkata, walaubagaimanapun, kejadian banjir dalam skala kecil dijangka masih berlaku di kawasan rendah dan berhampiran pesisir pantai dan tebing sungai.

Beliau juga menasihatkan penduduk setempat dan pihak berkuasa tidak terlalu selesa sebalik masih perlu peka dengan kemungkinan berlakunya kacauan atmosfera luar jangka se­perti lekukan Borneo dan luruan sejuk.

“Fenomena kacauan atmosfera berkenaan sekiranya terjadi masih boleh mencetuskan hujan yang sangat lebat terutama di Pantai Timur.

“Sekiranya ia berlaku, risiko berlakunya banjir besar akan kembali meningkat,” tambah beliau.

Saturday, October 31, 2026

Lelong sembilan tan tembikai sebelum bah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Sepasang suami isteri gigih menjual sembilan tan tembikai yang diusahakan mereka pada harga murah bagi memastikan ia dapat dihabiskan sepenuhnya sebelum ketibaan musim tengkujuh tidak lama lagi.

Norfazira Jafri, 32, berkata, dia dan suaminya, Zamarul Effendi Jusoh, 39, menjual tembikai dari kebun mereka seluas 0.81 hektar pada harga borong 50 sen hingga RM1.30 sekilogram mengikut gred.

“Alhamdulillah sebanyak sembilan tan tembikai sudah mulai matang dan dijual awal bulan ini.

“Kami cuba memastikan semuanya dapat habis dijual sebelum musim tengkujuh tiba pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui di kebunnya di Kampung Nyatuh, di sini semalam.

Norfazira berkata, dia dan suami sudah serik selepas pernah kerugian ribuan ringgit selepas kebun tembikai yang mereka usahakan ditenggelami banjir ketika Monsun Timur Laut (MTL) pada 2023.

“Pengalaman perit itu memberi pengajaran besar kepada kami agar sentiasa memantau perkembangan cuaca semasa.

“Kualiti tuaian tembikai pada musim ini tidaklah terlalu baik ekoran cuaca tidak me­nentu.

“Faktor cuaca menyebabkan kebanyakan tembikai dihasilkan bergred B dan C, manakala gred A pula sedikit,” katanya.

Katanya, dia dan suami menjual tembikai gred A pada harga RM1.30, B RM1 dan C 50 sen bagi setiap kilogram.

Tambahnya, mereka juga giat mempromosikan hasil tembikai menerusi media sosial.