Translate

Tuesday, July 26, 2022

Penternak lega, lembu laku keras

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Permintaan terhadap lembu untuk ibadah korban di daerah ini tetap bertambah walaupun harga ternakan itu meningkat. 

Tinjauan Kosmo! Ahad di beberapa ladang di sini semalam mendapati, harga seekor lembu cukup umur dengan berat antara 17 ke 18 kilogram dijual pada harga RM6,000.

 Menurut seorang penternak, Mohd. Saiful Hafiz Alias, 42, harga itu meningkat berbanding Hari Raya Aidiladha tahun lalu iaitu antara RM4,500 sehingga RM5,000 seekor lembu.

 Katanya, dijangkakan 200 ekor lembu yang diternak di kandangnya akan terjual…

Bazar Padang Hiliran musnah terbakar pada malam Aidiladha

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Ujian berat menimpa seorang pengusaha kedai basikal apabila premisnya musnah dalam kebakaran pada malam Aidiladha di Bazar Padang Hiliran di sini malam tadi.

Kebakaran pada pukul 10.30 malam itu turut menjejaskan tujuh premis perniagaan lain bersebelahan dengan kerugian keseluruhan dianggarkan kira-kira RM500,000 .

Pengusaha kedai basikal tersebut, Nik Zamri Abu Bakar berkata, sewaktu kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Tong, Setiu.

“Saya menutup kedai pada pukul 10 malam kerana sudah berjanji untuk membantu isteri menyiapkan persiapan raya (Aidiladha).

“Sewaktu dalam perjalanan pulang (ke rumah), saya menerima dimaklumkan kedai basikal saya sedang terbakar menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya di lokasi kejadian di sini awal pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Md. Hilman Abd Rashid berkata, seramai anggota bomba dengan kekuatan empat jentera telah dikejarkan ke lokasi kebakaran sebaik menerima maklumat pada pukul 10.43 malam.

Beliau berkata, kebakaran yang memusnahkan lapan lot premis termasuk kedai basikal, butik busana muslimah, kedai permainan dan aksesori wanita berkenaan berjaya dikawal dalam tempoh 38 minit. – KOSMO! ONLINE

Monday, July 25, 2022

Ketengah mahu tubuh anak syarikat perlombongan bijih besi

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) berhasrat untuk kembali bergiat aktif dalam perlombongan bijih besi di kawasan wilayahnya terutama Bukit Besi di sini.

Pengerusi Ketengah, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sebuah anak syarikat berhubung perlombongan bijih besi bakal ditubuhkan agensi itu dalam masa terdekat.

“Saya telah mengarahkan Ketengah Holding mengemukakan kertas kerja berhubung penubuhan anak syarikat baharu terbabit dalam mesyuarat lembaga pengarah pada bulan depan.

“Sebelum ini, perlombongan bijih besi di wilayah Ketengah diserahkan kepada syarikat konsesi dengan pulangan diterima Ketengah hanya kira-kira RM27 juta setahun,” katanya selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Ketengah di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Ahmad berkata, berdasarkan laporan diberi syarikat konsesi, dianggarkan 400 metrik tan bijih besi telah dikeluarkan dari wilayah Ketengah setiap tahun dengan janaan perolehan mencecah kira-kira RM300 juta.

Sehubungan itu, beliau berhasrat agar Ketengah selepas ini terlibat secara langsung dalam aktiviti perlombongan bijih besi di wilayah kendaliannya.

Bukit Besi yang terletak di wilayah Ketengah merupakan kawasan perlombongan bijih besi antara terbesar di Asia Terenggara sebelum mengalami zaman malap pada tahun 1970-an. – KOSMO! ONLINE