Translate

Thursday, September 3, 2026

442 kg minyak masak seleweng dijumpai dalam Grand Livina terbabas

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna, Nissan Grand Livina yang terbabas selepas dikejar kereta peronda polis membongkar aktiviti penyelewengan minyak masak peket bersubsidi di Calok, di sini semalam.

Pemeriksaan di dalam kenderaan dipandu seorang lelaki berusia 50-an itu menemukan 442 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, pada mulanya, kenderaan Nissan Grand Livina dipandu suspek tersebut dikesan berada dalam kenderaan mencurigakan oleh sepasukan polis yang sedang membuat rondaan di lokasi kejadian.

“Suspek yang menyedari kenderaannya sedang diekori kereta peronda polis telah bertindak memecut laju bagi melepaskan diri.

“Kenderaan yang dikejar kereta peronda polis itu akhirnya hilang kawalam lalu terbabas di Chalok, di sini,” katanya di sini hari ini.

Ia kejayaan kedua dalam tempoh dua hari selepas KPDN berjaya mematahkan aktiviti menyelewengan minyak masak paket bersubsidi di Bukit Diman, Ajil, Hulu Terengganu dekat sini pada Ahad lalu.

Dalam serbuan 9.30 pagi itu, sebanyak 3.04 tan barang kawalan tersebut ditemukan di dalam sebuah lori kontena yang diletakkan di pekarangan sebuah rumah di lokasi kejadian.

Mohd. Mufsi berkata, Polis Diraja Malaysia kemudiannya menyerahkan sebanyak 442 kg minyak masak paket bersubsidi disyaki diseleweng itu dijumpai di dalam kenderaan itu kepada Pejabat KPDN Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Istiqamah amal sunnah Rasulullah – Tengku Muhammad Ismail

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Umat Islam diseru agar menghayati amalan sunnah secara berterusan dan berakhlak mulia sebagai menzahirkan rasa cinta terhadap Nabi Muhammad.

Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, kecintaan terhadap Rasulullah perlu diterjemah menerusi amalan sunnah biarpun dalam hal kecil secara berterusan.

“Meneladani Rasulullah tidak mencukupi dengan hanya pengakuan kecintaan semata-mata.

​”Baginda mengajar nilai sesuatu amalan bukan semata-mata banyaknya perbuatan tetapi pada keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah dalam melaksanakannya,” titah baginda di Stadium Negeri di sini hari ini.

Baginda bertitah demikian pada sambutan Maulidur Rasul peringkat Terengganu.

Tengku Muhammad Ismail bertitah, Nabi Muhammad juga mengajar amalan yang berterusan walaupun sedikit paling dicintai Allah.

Sehubungan itu, baginda menyeru umat Islam melakukan amalan yang dapat mendekatkan diri dengan Allah.

“Dekatkan diri kepada Allah dengan memelihara perkara wajib, memperbanyak kebajikan, menabur jasa serta memberi manfaat sesama insan,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Empat pelajar lelaki ceroboh asrama puteri ditahan polis

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Perbuatan nakal empat pelajar lelaki menceroboh masuk asrama perempuan sebuah sekolah berasrama di daerah ini memakan diri apabila mereka ditahan pada Sabtu lalu.

Mereka dipercayai melakukan perbuatan itu pada pukul 2 hingga 3 pagi ketika rata-rata penghuni asrama terbabit sedang tidur.

Perbuatan empat remaja lelaki itu terbongkar apabila kelibat mereka dikesan pengurusan sekolah sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan penangkapan itu yang dibuat pada pukul 1.13 tengah hari, Sabtu lalu.

Beliau berkata, kesemua pelajar lelaki terbabit bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan tidak lama kemudian.

“Keluarga mereka dipanggil dalam perjumpaan yang turut melibatkan pengetua sekolah, warden asrama dan wakil Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu. Tindakan lanjut terhadap mereka akan diputuskan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE