Translate

Thursday, September 3, 2026

Istiqamah amal sunnah Rasulullah – Tengku Muhammad Ismail

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Umat Islam diseru agar menghayati amalan sunnah secara berterusan dan berakhlak mulia sebagai menzahirkan rasa cinta terhadap Nabi Muhammad.

Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, kecintaan terhadap Rasulullah perlu diterjemah menerusi amalan sunnah biarpun dalam hal kecil secara berterusan.

“Meneladani Rasulullah tidak mencukupi dengan hanya pengakuan kecintaan semata-mata.

​”Baginda mengajar nilai sesuatu amalan bukan semata-mata banyaknya perbuatan tetapi pada keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah dalam melaksanakannya,” titah baginda di Stadium Negeri di sini hari ini.

Baginda bertitah demikian pada sambutan Maulidur Rasul peringkat Terengganu.

Tengku Muhammad Ismail bertitah, Nabi Muhammad juga mengajar amalan yang berterusan walaupun sedikit paling dicintai Allah.

Sehubungan itu, baginda menyeru umat Islam melakukan amalan yang dapat mendekatkan diri dengan Allah.

“Dekatkan diri kepada Allah dengan memelihara perkara wajib, memperbanyak kebajikan, menabur jasa serta memberi manfaat sesama insan,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Empat pelajar lelaki ceroboh asrama puteri ditahan polis

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Perbuatan nakal empat pelajar lelaki menceroboh masuk asrama perempuan sebuah sekolah berasrama di daerah ini memakan diri apabila mereka ditahan pada Sabtu lalu.

Mereka dipercayai melakukan perbuatan itu pada pukul 2 hingga 3 pagi ketika rata-rata penghuni asrama terbabit sedang tidur.

Perbuatan empat remaja lelaki itu terbongkar apabila kelibat mereka dikesan pengurusan sekolah sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan penangkapan itu yang dibuat pada pukul 1.13 tengah hari, Sabtu lalu.

Beliau berkata, kesemua pelajar lelaki terbabit bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan tidak lama kemudian.

“Keluarga mereka dipanggil dalam perjumpaan yang turut melibatkan pengetua sekolah, warden asrama dan wakil Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu. Tindakan lanjut terhadap mereka akan diputuskan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

‘Abang sayang ibu’, nota suara terakhir anak tunggal buat Nasuha

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Nota suara Rehan Yusuf, 9, menjadi kenangan terakhir buat ibunya, sebelum kanak-kanak tersebut maut dalam kebakaran bersama bapanya di Kampung Tok Jembal, di sini, awal pagi tadi.

Siti Nasuha Mohd., 32, berkata, dia yang menetap di Kuala Lumpur menerima nota suara tersebut yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp oleh anak tunggalnya pada pukul 7.28 malam tadi.

“Voice note (nota suara) itu berbunyi ‘abang (Rehan) sayang ibu (Siti Nasuha)’. Saya balas ‘ibu pun sayang abang’.

“Biasanya kami akan berhubung menerusi video call (panggilan video) setiap pukul 11 malam tetapi malam tadi, saya terlewat hanya menghubunginya pada pukul 12 tengah malam tetapi tidak berjawab, mungkin dia (Rehan) sudah tidur,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) di sini hari ini.

Dia yang sudah berpisah dengan Amirul Fahmi ditemui gagal mengawal sebak lalu menangis bersama-sama isteri bekas suaminya, Nur Izzah Ahmad, 36, meratapi kematian insan tersayang.

Terdahulu Rehan Yusof ditemui rentung bersama bapanya, Amirul Fahmi Wan Jusoh, 40, dalam kebakaran melibatkan rumah neneknya di Kampung Tok Jembal pada pukul 2.49 pagi, semalam.

Siti Nasuha berkata, dia mengetahui kebakaran meragut nyawa bekas suami dan anak tunggalnya itu menerusi panggilan telefon bekas ibu mentuanya, Maimunah Muda, 67, yang terselamat dalam kebakaran tersebut pada pukul 4 pagi.

Katanya, dia terus bergegas pulang dan tiba ke rumah bekas mentuanya pada pukul 8 pagi. – KOSMO! ONLINE