Translate

Sunday, February 19, 2023

Sindiket nikah palsu juga ada di Setiu, Pasir Puteh

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Selain Siam, sindiket nikah palsu yang menipu pasangan kemaruk hendak bernikah turut bergiat di Setiu dan Pasir Puteh, Kelantan. 

Ketua Pendakwa Syarie Te­rengganu, Wan Abd. Malik Wan Sidek berkata, maklumat diperoleh selepas pihaknya melakukan risikan mengenainya. 

“Kita pernah menyerbu dan menahan anggota sindiket terbabit yang turut didalangi orang tempatan di Kampung Air Sejuk, Setiu beberapa tahun lalu tetapi mereka masih tidak serik. 

“Selain kampung itu, ada sindiket yang membuat kerja serupa di Pasir Puteh, Kelantan,” katanya. 

Menurut Wan Abd. Malik, risikan mendapati, kawasan Sungai Padi di Narathiwat, Thailand merupakan lubuk ulat sindiket yang menawarkan pernikahan mudah tanpa perlu menyelidiki keperluan nikah termasuk status wali.

 “Kebanyakan kes tipu berlaku apabila si wanita mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh si lelaki tanpa ditemani wali dan tiada ilmu berkaitan perkahwinan menggunakan sindiket.

 Pernikahan juga tidak mengikut rukun yang ditetapkan dalam Islam,” katanya. 

Menurut Wan Abd. Malik, sindiket mengenakan bayaran antara RM3,000 hingga RM10,000 bagi setiap pasangan. 

“Ada sindiket semakin rakus dengan menghantar kadi Siam tidak bertauliah untuk bernikah berdekatan sempadan dan ada yang tidak diberikan sijil nikah. Jika diberi pun ia palsu,” katanya.

Saturday, February 18, 2023

EPIC labur RM20j bina jajaran ECRL

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KEMAMAN – Projek pembinaan landasan sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Pelabuhan Kemaman dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun depan. 

Ketua Pegawai Operasi Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), Muhtar Suhaili berkata, ini merupakan sebahagian daripada fasa pertama pengembangan Pelabuhan Kemaman dengan pembinaan jajaran ECRL dijangka melibatkan pelaburan sehingga RM20 juta. 

Beliau berkata, buat masa ini, perundingan sedang dilakukan bagi melantik konsultan dan pasukan pengurusan projek yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

 “Kewujudan landasan sambungan ECRL amat penting bagi pelan pengembangan Pelabuhan Kemaman yang menyasarkan pengendalian 33 juta tan kargo menjelang tahun 2030. 

“Ia akan menjadi faktor utama untuk menarik lebih banyak pelabur memasuki pelabuhan ini seiring dengan projek ECRL yang akan beroperasi pada tahun 2027,” katanya pada lawatan media di Pelabuhan Kemaman di sini semalam. 

Muhtar menjelaskan, kerja pembinaan landasan sambungan itu bakal melibatkan masa kira-kira 13 bulan dan bermula pada suku ketiga tahun ini.

 Tambah beliau, selain landasan sambungan ECRL, fasa pertama pelan pengembangan terbabit akan turut melibatkan pembesaran Dermaga Timur sepanjang 650 meter. 

“Kita juga merancang untuk membesarkan juga Dermaga Barat dan membina benteng pemecah ombak baharu di kawasan pelabuhan ini pada fasa seterusnya pada tahun 2030. 

“Pelan pengembangan Pelabuhan Kemaman ini diunjur menelan belanja kira-kira RM3 bilion,” katanya. 

Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn. Bhd. dan Sukma Samudra Sdn. Bhd.adalah anak syarikat EPIC yang juga pengendali pelabuhan utama di Terengganu. 

Pelabuhan Kemaman adalah antara pelabuhan ter dalam secara semulajadi di negara ini dengan boleh dimasuki kapal kargo seberat 150,000 tan. 

Ia menjadi tumpuan kapal kargo membawa muatan minyak mentah, besi keluli dan sumber mineral.

Friday, February 17, 2023

Peniaga sahut cabaran turunkan harga sayur

KUALA TERENGGANU – Peniaga di negeri mula menyahut cabaran pihak kerajaan untuk menurunkan harga sayur-sa­yuran dengan masih mendapat keuntungan.

Penurunan harga itu bagi me­nyahut idea kerajaan berkenaan program Menu Rahmah.

Seorang peniaga sayur di Pasar Chabang Tiga, Mamat Embong, 70, berkata, kesemua 40 jenis sayur yang dijual di gerainya dijual pada harga sehingga RM1 lebih murah daripada pasaran.

“Kobis RM3.50 sekilogram, saya turun­kan sebanyak RM1 kepada RM2.50 sahaja mulai hari ini (semalam).

“Sawi pula kini RM5 sekilogram berbanding harga pasara­nnya RM6,” katanya ketika ditemui di Pasar Chabang Tiga di sini semalam.

Mamat berkata, dia me­nyedari ramai pelanggannya terkesan dengan kenaikan harga sayur di negeri ini yang mencecah 100 peratus sejak dua bulan lalu.

Tambahnya yang sudah berniaga sayur sejak 35 tahun, dia cuba mengurangkan beban pe­langgannya tersebut dengan mengambil inspirasi daripada Menu Rahmah yang diperkenal kerajaan baru-baru ini.

“Tidak boleh terlalu murah kerana kos modal pun sudah semakin tinggi pada masa ini. Pendekatan saya ialah memberi diskaun RM1 setiap kilogram,” ujarnya.