Translate

Monday, October 12, 2009

Warga Indonesia kutuk Bendera


Oleh AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

CAMERON HIGHLANDS - Sekumpulan 500 pekebun sayur warga Indonesia mengutuk tindakan rakyat senegara mereka yang menubuhkan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) yang disifatkan sebagai melampau.

Wakil kumpulan pekebun terbabit, Ahmad Thoyib Matsum, 50, berkata, mereka kecewa dengan perbuatan provokasi Bendera terhadap Malaysia sejak akhir-akhir ini.

"Kami pekerja Indonesia di Cameron Highlands tidak setuju dengan kumpulan Bendera. Kami mahu aman di sini, kami mahu mencari rezeki untuk keluarga di Indonesia.

"Setiap salah faham yang timbul antara Indonesia dan Malaysia boleh diselesaikan dengan baik secara perbincangan, lagipun kita serumpun," katanya.

Beliau ditemui bersama-sama kira-kira 15 pekebun sayur Indonesia lain yang berhimpun dan mengadakan demonstrasi secara aman di pekarangan Masjid Kayangan, Brinchang di sini semalam.

Menurut Ahmad Thoyib, majoriti warga Indonesia yang mencari rezeki di pusat peranginan tersebut tidak bersetuju dengan pendekatan keganasan dan kekerasan yang dianjurkan oleh Bendera.

Beliau yang bekerja di sini sejak 20 tahun lalu berkata, tindakan Bendera yang mengisytihar perang terhadap Malaysia adalah melampau dan memohon rakyat Indonesia yang bekerja di negara ini agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan hasutan kumpulan tersebut.

Mereka yang berkumpul seawal pukul 10 pagi dilihat mem bawa beberapa sepanduk seperti ‘Kami Anti Perang’, ‘Terima Kasih Pahang Malaysia’, ‘Say No Ganyang, Say Yes Kenyang’, ‘Kami Aman di Malaysia dan ‘Yes Peace’.

Bagaimanapun perhimpunan tersebut bersurai kira-kira 15 minit kemudian setelah diarahkan beberapa anggota polis bertugas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cameron Hinghlands, Deputi Supritendan Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, perhimpunan sekumpulan pekebun sayur Indonesia tersebut disuraikan pihak polis setelah didapati ia dibuat tanpa permit.

"Tiada tindakan akan dikenakan kepada peserta demonstrasi ini kerana mereka memberi kerjasama baik bersurai dengan aman setelah diarahkan pihak polis.

Siasatan awal mendapati perhimpunan bantahan tersebut berlaku secara spontan bagi menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap kumpulan Bendera yang mahu me nyerang Malaysia," katanya.

Sunday, October 11, 2009

Kolej Islam Darul Ridzuan

Tawar pelbagai program Pengajian Islam bagi lepasan SPM

HASRAT Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang mahu kesinambungan sejarah kecemerlangan sistem pendidikan negeri tersebut yang telah melahirkan ramai ulamak dan cendiakawan Islam peringkat negara dan antarabangsa diteruskan membawa kepada penubuhan Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar).

Cetusan idea yang dikemukakan baginda pada 1986 itu kemudiannya telah dibincangkan secara serius di dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu kira-kira lapan tahun kemudian.

Seterusnya Jawatankuasa Pelaksana Penubuhan Kisdar telah diwujudkan pada 1997 yang kemudiannya kepada pembukaan kolej Islam berkenaan pada 16 Oktober 1999 di kampus sementaranya di Jalan Dato' Seri Shaari, Ipoh.

Semenjak itu Kisdar terus berkembang pesat dan ia mula berpindah ke kampus tetap yang bernilai kira-kira RM66 juta di Bukit Chandan, Kuala Kangsar mulai April 2008.

Kampus yang dibina di sebidang tanah yang diwakafkan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah seluas 20.25 hektar itu dirasmikan Sultan Azlan dalam upacara penuh kesyukuran pada 16 Julai lalu.

Ia merupakan kampus yang serba-moden dan dilengkapi pelbagai kemudahan pembelajaran yang selesa dan menekankan aspek akademik, kerohanian, sahsiah dan kesukanan.

Di bawah pimpinan Rektor, Prof. Datuk Dr. Muhammed Yusoff Hussain, Kisdar kni mempunyai barisan kakitangan akademik tempatan dan antarabangsa yang berdedikasi dan berkaliber bagi mencurahkan ilmu dan kepakaran kepada pelajarnya yang sudah berjumlah 820 orang.

Enam kursus berteraskan Islam ditawarkan iaitu Diploma Usuluddin, Diploma Syariah Islamiyyah, Diploma Bahasa dan Kesusasteraan Arab, Diploma Perbankan dan Kewangan Islam, Diploma Perakaunan dan Diploma Teknologi Maklumat.

Semua kursus sepenuh masa tersebuit telah mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA/LAN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) T terkemuka di Timur Tengah.

Sehubungan itu, lulusan Kisdar berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di beberapa buah universiti di Mesir, Syria dan Jordan seperti Universiti Al-Azhar, Universiti Jordan, Universiti Yarmouk, Universiti Mu’tah, Universiti Ahli Bait dan Universiti Hashimiyyah.

Berikutan itu, Kisdar disasar oleh Sultan Azlan untuk dinaiktaraf sebagai kolej universiti dan seterusnya universiti Islam dalam masa terdekat.

Bagi kemasukan sesi November, Kisdar menawarkan tempat untuk enam kursus terbabit kepada calon yang berminat dan berlayakan. Syarat kemasukan amat fleksibel iaitu lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan sekurang-kurangnya tiga Kepujian.

Bantuan kewangan seperti Dermasiswa Baitulmal dan pinjaman dari Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak juga ditawarkan kepada calon yang berjaya dan menetapi kriteria ditetapkan.

Tarikh tutup permohonan ialah 3 November 2009 dan untuk maklumat lanjut, sila hubungi 05-7700177.

Friday, October 9, 2009

KD Sri Inderapura terbakar


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

LUMUT - Kapal Diraja (KD) Sri Inderapura yang merupakan kapal pengangkut terbesar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbakar ketika berlabuh di Pangkalan TLDM di sini semalam.

Kebakaran pada pukul 6 pagi itu telah memusnahkan sebahagian kapal tersebut terutama bahagian pejabat dan bilik stor di dalam perut kapal itu.

Satu kenyataan dikeluarkan Unit Perhubungan Awam TLDM di sini semalam berkata, kapal tersebut mempunyai 77 anggota termasuk enam pegawai TLDM yang bertugas di dalam kapal tersebut.

"Lima jentera Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan dan Manjung dengan kekuatan lebih 100 anggota telah ditugaskan memadam kebakaran.

"Turut membantu pasukan bomba TLDM, Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM), Boustead Naval Shipyard dan bot tunda awam," jelas kenyataan itu.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dalam kejadian yang belum diketahui punca kebakaran itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kapal tersebut dijadualkan belayar ke Sabah untuk menghantar barang-barang logistik ke Markas Wilayah Dua, Kota, Kinabalu pada 12 Oktober ini.
Jelas kenyataan itu, kebakaran semalam merupakan kejadian kedua selepas kebakaran pertama kali berlaku pada 2002.

Tinjauan Kosmo! pada sebelah petang mendapati anggota bomba masih bertungkus-lumus untuk memadamkan kebakaran di atas kapal itu.

Kepulan asap dari kapal itu boleh dilihat dari bandar ini yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Pengkalan TLDM.

Antara misi besar yang pernah dilaksana KD Sri Inderapura ialah misi penghantaran bantuan kemanusiaan kepada mangsa tsunami di Acheh, Indonesia pada Januari 2005 dan mengiringi kapal dagang negara yang berhadapan ancaman lanun di Teluk Aden, Somalia pada tahun lalu.