Oleh NORLIDA AKMAR IDROS dan MOHD. AZLI ADLAN
ALOR SETAR – Ramai pasangan bernikah di Thailand menjadi mangsa penipuan sindiket apabila perkahwinan yang dianggap selesai sebenarnya hanya dilakukan separuh jalan hingga mendatangkan masalah sekiranya hendak membuat pendaftaran di Malaysia.
Sindiket nikah Siam yang menerima bayaran antara RM3,000 hingga RM6,000 itu memerangkap pasangan pengantin dengan cara tidak membawa mereka ke pejabat Konsulat Malaysia untuk proses seterusnya sebaik ijab kabul dijalankan.
Natijahnya, pasangan terpaksa pergi semula ke Thailand untuk mendapatkan dokumen yang diperlukan untuk mendaftarkan pernikahan di Malaysia dan perlu membayar
kos tambahan.
Terdapat enam dokumen
yang diperlukan untuk
mendaftarkan perkahwinan
termasuk surat nikah,
pengesahan dan resit bayaran
dari Konsulat Malaysia, tauliah
jurunikah serta gambar bersama
tok kadi dan saksi.
Peguam syarie, Farah
Diyana Azhar mendedahkan,
bertambah malang apabila
ada pasangan dinikahkan di
satu lokasi dalam negara dekat
sempadan Malaysia-Thailand
menggunakan jurunikah Siam.
Katanya, pernikahan itu
dikhuatiri tidak sah kerana
menggunakan khidmat
jurunikah tidak bertauliah selain
lokasi pernikahan tidak diiktiraf
dan dokumennya diragui.
“Jika didapati pernikahan tak
sah, perkahwinan itu perlu dibubarkan seperti diperintahkan
oleh Mahkamah Syariah dan
bernikah semula.
“Kebanyakan sindiket mengiklankan khidmat mereka di media sosial dan mudah mempengaruhi pasangan cinta terlarang
yang kebanyakkannya terdedah
kepada risiko ditipu,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Farah Diyana, antara
modus operandi sindiket ialah
mengambil bayaran penuh tetapi
hanya bawa bernikah di Majlis
Agama Islam Songkhla tetapi
tidak pergi ke pejabat Konsulat
Malaysia untuk urusan seterusnya.
Tambahnya, ada juga pasangan yang bernikah dengan
warga asing dibawa ke Thailand
menggunakan lorong tikus dan ia
menyukarkan proses dokumentasi dengan imigresen.
“Ada pasangan terdesak hanya
dinikahkan oleh jurunikah Siam
berdekatan sempadan dengan
diberikan surat nikah palsu dan
ia banyak melibatkan mereka
yang berkahwin ketika Perintah
Kawalan Pergerakan,” katanya.
Ujar Farah Diyana, pernikahan
banyak dilakukan di dalam rumah dan ia berlaku di Kelantan
dan segelintir kes terjadi di Kedah serta Perlis,” katanya.
“Jika tidak keluar Malaysia,
dikhuatiri jarak tidak lebih dua
marhalah dan tidak boleh menggunakan wali hakim. Kebanyakan pasangan ditipu kerana tidak ada
ilmu mengenai syarat dan peraturan jika bernikah di Thailand
dan percaya bulat-bulat kepada
ejen,” katanya.
Menurut Farah Diyana, perkahwinan yang tidak didaftarkan
bakal berdepan masalah dan
kesukaran seperti dokumentasi
anak, faraid, nafkah dan wali
pernikahan zuriat kelak.
"Ada kes isteri ditindas apabila
dia sahaja yang daftar, manakala
suami enggan kononnya untuk
mengelakkan isteri pertama tahu
dan tidak mahu terikat dengan
tanggungjawab,” katanya.
Ujar Farah Diyana, ada juga
kes isteri memohon mendaftarkan pernikahan selepas suami
meninggal dunia dan anak sudah
berusia 24 tahun.
“Pernikahan tidak diiktiraf
akan menyebabkan anak tidak
dapat dinasabkan kepada bapa
kandung, manakala proses faraid
gagal dilakukan.
Ia juga menyukarkan proses permohonan cerai,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pasangan agar
berkahwin dalam negara dengan
mengikut saluran dan undang-undang yang betul bagi mengelak
masalah di kemudian hari.