Translate

Saturday, May 28, 2022

Keputusan JISA nahas Terowong Menora diketahui minggu depan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Keputusan audit keselamatan kenderaan perdagangan (JISA) melibatkan treler yang terlibat dalam nahas negeri mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) pada dua minggu lalu akan diketahui dalam minggu depan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, keputusan JISA itu merupakan siasatan lebih terperinci berhubung kemalangan berkenaan dan ia penting bagi memastikan kenderaan benar-benar mematuhi spesifikasi dan peraturan ditetapkan.

“JPJ telah melakukan penugasan pengumpulan maklumat dan keputusan (tindakan undang-undang) akan dibuat selepas laporan JISA disiapkan.

“Kita juga akan memeriksa sama ada kenderaan terlibat menjalani pemeriksaan Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) atau tidak,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri JPJ Terengganu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kemalangan maut yang mengorbankan lima pelajar USAS di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora, Kuala Kangsar pada 12 Mei lalu.

Dalam kejadian pada pukul 12.52 tengah malam itu, kereta Honda City dinaiki kesemua mangsa berusia 19 hingga 23 tahun dirempuh sebuah treler menyebabkannya terbakar.

Pemandu treler berkenaan, Aznizam Razali, 28, membuat pengakuan tidak bersalah memandu secara berbahaya sewaktu dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada 17 Mei lalu.

Jelas Zailani lagi, tumpuan JISA bagi memastikan kenderaan berat yang terlibat dalam kemalangan ngeri itu benar-benar mematuhi spesifikasi ditetapkan dalam kejuruteraan automobil JPJ. – KOSMO! ONLINE

Pelancong asing mula banjiri pulau Terengganu

KUALA TERENGGANU – Rangkaian pulau-pulau peranginan terkenal di Terengganu akan kembali meriah mulai awal bulan depan dengan kehadiran semula puluhan ribu pelancong asing terutama dari Eropah dan Asia Timur.

Perkembangan itu sangat mengujakan pengusaha resort di pulau peranginan tersebut terutama Pulau Perhentian, Besut dan Pulau Redang, Kuala Nerus setelah dua tahun sepi tanpa kunjungan pelancong antarabangsa ekoran pandemik Co­vid-19.

Pengurus Operasi Pelangi Redang Resort, Foo Ee Lin berkata, pihaknya mula menerima tempahan daripada ramai pelancong asing bermula awal bulan ini.

“Pengumuman peralihan negara ke fasa endemik bermula 1 Mei lalu telah menarik minat dan keyakinan pelancong asing untuk kembali berkunjung ke Pulau Redang.

“Secara kebetulan, nilai Ringgit yang rendah sejak akhir-akhir ini telah memberi kelebihan kepada sebahagian pelancong luar negara kerana kuasa beli mereka semakin tinggi,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ee Lin berkata, mereka sangat teruja apabila mula menerima tempahan penginapan daripada pelancong Eropah terutama dari Jerman, Itali dan Slovakia selain China.

Menurutnya, berdasarkan maklum balas, waktu puncak kehadiran pelancong asing itu khususnya dari Eropah pada Julai ini.

“Mereka akan mengambil peluang bercuti musim panas sepanjang Jun hingga Ogos ini seperti dilakukan sebelum penularan Covid-19.

“Pulau-pulau peranginan Terengganu termasuk Pulau Redang pasti dirindui pelancong ­asing setelah dua tahun sempadan antarabangsa ditutup,” ujarnya.

Seorang pengusaha resort di Pulau Perhentian, Mohd. Sabri Hamdan pula menjangkakan pulau-pulau peranginan Terengganu akan didominasi pengunjung asing sehingga Ogos depan.

Jelas pemilik Crocodile Rock Villas dan Bistro itu, kunjungan pelancong domestik yang memenuhi pulau peranginan Terengganu sejak musim perayaan Aidilfitri pula akan berkurangan selepas ini.

“Kenaikan kos sara hidup mungkin memberi kesan kepada pengunjung tempatan, tetapi sebaliknya kuasa beli pelancong luar negara pula meningkat.

“Pengusaha resort di pulau-pulau peranginan Terengganu telah membuat persiapan untuk menyambut kehadiran pelancong asing terbabit,” ujarnya.

Pelancong Asia Timur, Eropah tunggu masuk Terengganu

KUALA NERUS – Pemain industri pelancongan Terengganu tidak sabar menunggu pembukaan semula sempadan antarabangsa berikutan peralihan fasa endemik mulai Jumaat ini.

Rata-ratanya sedang rancak membuat persediaan bagi me­nyambut pelancong setelah le­bih dua tahun mengalami kerugian ekoran pandemik Covid-19.

Pengusaha hotel terutama di tujuh rangkaian pulau peranginan di seluruh Terengganu tidak sabar menyambut keha­diran pelancong asing yang kali terakhir diterima mereka sebelum monsun Timur Laut Oktober 2019.

Seramai 62 pemandu teksi juga mengharapkan rezeki mereka kembali melimpah ruah apabila Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini kembali meriah kelak.

Pengurus Redang Pelangi Resort, Foo Ee Lin berkata, ke­semua lapan resort yang terdapat di Pulau Redang sudah mula beroperasi secara berperingkat selepas berakhirnya musim tengkujuh mulai 1 Mac lalu.

Beliau berkata, setakat ini, purata kadar penginapan bilik mencecah 60 peratus dalam kalangan pengunjung domestik terutama dari Lembah Klang.

“Kadar tempahan bilik penginapan dalam pelancong asing mula diterima dan dijangka akan terus meningkat berikutan pembukaan sempadan negara mulai 1 April ini.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, selain dari negara-negara jiran di Asia Tenggara, pelancong Asia Timur seperti China, Korea Selatan dan Jepun gemar mengunjungi Pulau Redang antara bulan April hingga Jun,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Ee Lin berkata, pelancong Eropah pula biasanya akan tiba ke Terengganu apabila mereka mula bercuti musim panas mulai Mei depan.

Jelasnya, kesemua pengusaha resort di rangkaian pulau peranginan di Terengganu termasuk Pulau Redang telah membuat persiapan rapi bagi menyambut kehadiran lebih ramai pelancong sekali gus bero­perasi secara penuh.