Translate

Thursday, January 14, 2021

Usaha sama TDM, E&Y lahirkan akauntan profesional

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM Bhd. (TDM) menjalin usaha sama dengan organisasi perkhidmatan professional, Ernst & Young PLT (E&Y) dalam memperkasa modal insan anak Terengganu khususnya dalam bidang perakaunan dan pengauditan.

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, kerjasama antara anak syarikat kerajaan negeri Terengganu dan E&Y melibatkan dua program latihan seperti perakaunan profesional dan peminjaman kakitangan.

“Kedua-dua program pembangunan modal insan itu bertujuan menyediakan platform bagi menyerlahkan potensi gra­duan perakaunan negeri ini selain memperkasa lagi tenaga kerja perakaunan profesional TDM.

“Mereka yang terpilih terma­suk kakitangan TDM akan menjalani pembelajaran sambil be kerja dengan E&Y yang terkenal dengan kepakaran dalam bidang pengauditan dan percukaian,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, Najman mewakili TDM menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Rakan Kongsi E&Y, Datuk Megat Shah Iskandar Mohamad Nor dalam majlis disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd. Zahari Md. Azahar.

Najman berkata, kakitangan TDM yang bakal terlibat dalam program Peminjaman Kakita­ngan akan dilatih selama enam bulan di E&Y.

Tambah beliau, pelatih program Kelayakan Perakaunan Profesional dalam graduan perakaunan terpilih Terengganu pula akan menjalani latihan selama dua tahun bersama organisasi sama.

“Pelatih program Kelayakan Perakaunan Profesional itu berpeluang menerima tawara kerja bersama E&Y selepas itu mengikut terma kontrak ditetapkan.

“Semoga kerjasama ini menjadi platform mengasah bakat kemahiran kakitangan TDM dan graduan perakaunan Terengganu merapatkan jurang kemahiran dan kekurangan tenaga kerja,” katanya.

Banjir Pahang dijangka berlarutan seminggu lagi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Banjir yang sedang melanda Pahang dijangka bakal berlarutan sekurang-kurangnya seminggu lagi ekoran Sungai Pahang masih berada pada paras bahaya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Norhafifi Ismail berkata, pemantauan udara mendapati Sungai Pahang yang merupakan saliran utama di negeri tersebut masih jauh daripada paras normal.

“Biasanya kalau banjir, air akan memasuki sungai seterusnya menuju ke laut sebelum surut namun ia tidak berlaku di Pahang buat masa ini.

“Sungai Pahang sendiri masih melimpah menyebabkan air yang terdapat di kawasan-kawasan banjir tidak dapat surut kecuali diserap secara perlahan-lahan,” katanya sewaktu melawat Bilik Gerakan Bencana Terengganu di sini hari ini.

Norhafifi berkata, hujan yang masih berterusan di sebahagian kawasan terjejas banjir di Pahang juga menyebabkan Sungai Pahang sukar kembali ke paras normal pada masa terdekat.

Ujar beliau, senario yang sedang berlaku di Pahang pada masa ini boleh dikatakan sebagai ‘banjir termenung’.

“Kita berharap agar hujan (di Pahang) kembali reda pada minggu ini agar tidak menyumbang kepada penambahan air di dalam sungai, (sekali gus) membolehkan paras sungai kembali normal,” katanya. – K! ONLINE

Wednesday, January 13, 2021

Maidam salur bantuan khas asnaf terjejas PKPB

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) meluluskan penyaluran bantuan khas kepada 24,000 asnaf negeri itu yang terkesan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pengistyharan Proklamasi Darurat.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, M. Rozi Bidin berkata, bantuan khas dengan peruntukan RM9.6 juta berkenaan telah diluluskan segera oleh Ahli majlis mesyuarat Maidam.

“Setiap isi rumah asnaf yang berkelayakan akan menerima bantuan khas berupa wang tunai antara RM300 hingga RM500 mengikut tanggungan masing-masing.

“Setiap isi rumah yang mempunyai lebih daripada tiga tanggungan akan menerima RM500 manakala mereka kurang daripada itu bakal mendapat RM300,” katanya di sini hari ini.

M. Rozi berkata, bantuan khas tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun bank ketua isi rumah asnaf berkelayakan terbabit selewat-lewatnya Rabu minggu depan.

Beliau berkata, bantuan khas tersebut adalah berasingan daripada bantuan sara hidup dan manfaat bulanan lain yang sedang diterima golongan asnaf berkenaan.

“Semoga bantuan khas ini dapat digunakan untuk meringankan beban golongan asnaf negeri ini yang sudah pastinya terkesan dengan pelaksanaan PKPB diumumkan kerajaan mulai hari ini.

“Apatah lagi sebahagian daripada terjejas dengan bencana banjir baru-baru ini dan perlu menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak,” katanya. – K! ONLINE