Translate

Saturday, May 4, 2013

Pengangkutan awam Perak dipermodenkan


IPOH - Kesungguhan kerajaan negeri Perak diterajui Barisan Nasional (BN) diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir meningkatkan sistem pengangkutan awam untuk keselesaan rakyat mula menampakkan hasilnya.

Zambry berkata, transformasi pengangkutan awam negeri ini diperkasa dengan pembinaan terminal bas baharu di Bandar Meru Raya yang mula beroperasi akhir September tahun lalu.

“Terminal Amanjaya yang diuruskan The Combined Bus Services itu bercirikan moden dan seperti lapangan terbang kerana mempunyai balai pelepasan di aras satu manakala balai ketibaannya di aras dua.

“Ia juga dilengkapi pelbagai kemudahan seperti hotel bajet, 400 tempat letak kenderaan, kaunter e-Ticketing dan medan selera,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata, kesediaan semua 50 pengendali bas ekspres yang sebelum ini beroperasi di Terminal Medan Gopeng untuk berpindah di terminal bas baharu terbabit mulai 7 April lalu amat dihargai.

Pada perkembangan sama, beliau memberitahu perkhidmatan bas henti-henti di negeri tersebut yang sebelum ini sering menjadi rungutan rakyat juga telah dipertingkatkan.

Menurut beliau, pelan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih sistematik dan berkesan kepada rakyat, termasuk di luar bandar telah dimulakan secara berperingkat-peringkat mulai Jun 2011.

“Ia sebagai penyelesaian kepada rungutan terutama daripada penduduk luar bandar mengenai perkhidmatan bas henti-henti yang banyak diterima sebelum ini.

“Setakat ini tiga daerah telah mendapat manfaat iaitu Manjung, Larut, Matang dan Selama serta Kuala Kangsar dan akan diperluas ke daerah-daerah lain dalam masa terdekat,” katanya.

Air percuma bukti kecekapan kerajaan negeri Perak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Tidak seperti kontroversi demi kontroversi di Selangor, program pemberian air percuma di Perak berjalan lancar berikutan kecekapan pentabdiran kerajaan negeri diterajui Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pemberian 20 meter padu air menerusi Lembaga  Air Perak (LAP) itu  tidak dilakukan secara semberono semata-mata untuk memenangi sokongan rakyat.

Beliau berkata, sebagai kerajaan yang mendahulukan kesejahteraan rakyat, bantuan air percuma itu disasar kepada golongan memerlukan iaitu keluarga miskin dan ibu tunggal bagi menjamin keberkesanan dan mengelak ketirisan.

“Lebih 8,000 keluarga di negeri ini telah menerima manfaat program pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan ini sejak ia dilancarkan lebih 4 tahun lalu.

“Selepas ini, kita akan perluaskan skim subsidi air ini kepada semua masjid, tokong, kuil dan rumah ibadat berdaftar di negeri ini seperti termaktub dalam Aku Janji BN Perak yang diumumkan baru-baru ini,” katanya di sini baru-baru ini.

Zambry berkata, biarpun skim subsidi air itu cuma bersamaan RM10 sebulan namun ia memberi nilai yang cukup besar kepada golongan kurang berkemampuan.

Ujarnya, pada awal program berkenaan dilaksanakan, LAP telah menyalurkan air percuma itu kepada 900 keluarga miskin yang menetap di Program Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) sebelum ia diperluas kepada golongan ibu tunggal kira-kira setahun kemudian.

Zambry menjelaskan selain penduduk PPMS yang secara automatik layak menerima subsidi air tersebut, permohonan untuk skim bantuan berkenaan boleh dilakukan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) yang diberi kuasa oleh kerajaan negeri.

Pembangunan pesat, rakyat Perak terbela


OIeh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kesempatan memerintah kerajaan negeri sepanjang tempoh empat tahun digunakan sebaiknya oleh Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan kembali Perak ke landasan yang tepat.

Di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang juga lulusan ekonomi, Perak bukan sahaja mencatat pembangunan mampan malah kebajikan rakyat kini lebih terbela.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Peladangan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, limpahan ekonomi boleh dirasai menerusi kemasukan beberapa pelaburan asing berimpak tinggi beberapa tahun kebelakangan ini.

“Antaranya pembukaan hab pengedaran produk bijih besi oleh firma Brazil, Vale yang bernilai RM8.5 bilion di Teluk Rubiah, Lumut,” katanya di sini semalam.

Saarani berkata, bandar-bandar utama seperti Ipoh, Manjung dan Taiping juga pesat membangun sejak BN mengambil alih kerajaan negeri pada 6 Mac 2009.

“Begitupun selaras dengan pegangan kami, 'Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir' kawasan luar bandar tidak pernah dibiarkan mundur.

“Sebanyak 14 pekan-pekan kecil di seluruh Perak seperti Tapah Road, Lawin, Manjoi, Trong dan Sauk telah dibangunkan semula sejak 2010 bagi memastikan agihan pembangunan yang seimbang dan serata,” katanya.

Bagi menunjukkan keseriusan kerajaan negeri memantapkan modal insan, Saarani menjelaskan sebanyak RM4.5 juta telah dibelanjakan untuk sektor tersebut menerusi Yayasan Perak.

Ujarnya, ia merangkumi pemberian biasiswa, dermasiswa, simpanan pendidikan dan program tuisyen percuma sejak 2009.

“Kita juga telah mengurniakan tanah seluas hampir 3,803 hektar tanah untuk dibangunkan sebagai ladang sawit kepada pengurusan sekolah persendirian Cina (Suwa), sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah agama rakyat dan mubaligh.

“Hasilnya sebanyak RM2.2 juta telah berjaya dijana setiap tahun yang kemudiannya diagih-agihkan bagi mengisi dana pendidikan sekolah-sekolah berkenaan,” katanya.

Saarani berkata, sebagai strategi mengeluarkan segelintir rakyat negeri ini daripada kemiskinan tegar, pinjaman mikro kredit melalui Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) telah diperkenalkan.

Beliau memberitahu, sebanyak RM10.3 juta pinjaman melibatkan 1,362 individu berkelayakan telah dikeluarkan bagi menggalakkan golongan tersebut menceburi perniagaan kecilan-kecilan.

Perak merupakan negeri kedua yang mempunyai populasi Orang Asli teramai. Sehubungan itu, komuniti itu tidak dipinggirkan dengan penyediaan perumahan, kemudahan asas, penyediaan bekalan air bersih, kesihatan dan pembangunan ekonomi melibatkan peruntukan RM200 juta.