Translate

Saturday, October 16, 2010

Ibu hiba terima ijazah arwah anak

TANJUNG MALIM - Suasana hiba menyelubungi Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini apabila Selamah Ismail, 56, mengambil skrol ijazah mewakili anaknya, Norazmi Abdul Karim, 24, yang terbunuh dalam nahas Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka pada Ahad lalu.

Tambah menyentuh hati, akibat terlalu sedih, Selamah yang tidak dapat menahan kesedihan tiba-tiba jatuh terduduk sejurus menerima skrol ijazah terbabit daripada Pro-Canselor UPSI, Tan Sri Dr. Yahaya Ibrahim.

Dia kemudiannya terpaksa dipapah turun dari pentas oleh anak bongsunya, Norsuliza, 22, dan suami, Abdul Karim Jamaludin, 63, yang turut kelihatan bergenang air mata menyaksikan peristiwa itu.

Selamah yang menghidap masalah rabun kronik berkata, walaupun reda dengan pemergian Nor azmi namun dia terkilan kerana anak keenam daripada tujuh beradik itu merupakan harapan keluarga dan satu-satunya yang berjaya melangkah ke menara gading.

“Saya bertambah pilu apabila diberitahu beberapa kawan arwah, Norazmi berhajat untuk memulihkan penglihatan saya yang rosak teruk akibat masalah saraf setelah bergelar guru kelak," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Norazmi memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Seni) Kepujian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.06.

Abdul Karim pula berkata, beberapa hari sebelum nahas, Norazmi agak pelik apabila mendesak ibu mewakilinya mengambil skrol ijazah pada majlis konvokesyen.

“Tetapi tak sangka, hajat dia di penuhi) hari ini (semalam). Mungkin itu antara tanda-tanda ganjil arwah akan pergi tetapi kami tak perasan pada masa itu,” katanya.

Kosmo! Selasa lalu melaporkan Norazmi yang merupakan penumpang bas ekspres Delima adalah antara 12 orang yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah pada 10 Oktober lalu.

Dalam tragedi pada pukul 6.40 petang itu, bas ekspres terbabit yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur terbabas lalu merempuh pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah van, tiga buah kereta serta sebuah bas lain.

Tuesday, October 12, 2010

MB Perak berjalan kaki bersama pelajar Kinta

BERSEMANGAT. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berjalan kaki sejauh dua kilometer (km) bersama lebih 1,000 pelajar sekolah di daerah Kinta sempena kempen 'Berjalan Keselamatan Jalan Raya' baru-baru ini.

Kempen anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) itu bermula dari kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di Jalan Raja Dihilir hingga ke Taman Sultan Abdul Aziz Shah, Ipoh.

Turut serta ialah Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh dan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Perak, Datuk Ramly Zahari.

Pada majlis yang sama, Zambry turut mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi kempen kesedaran dan keselamatan jalan raya di negeri tersebut.

Sunday, October 10, 2010

Tiga lagi mayat nelayan ditemui

IPOH - Baki tiga mayat nelayan yang hilang setelah terlibat dalam insiden bot nelayan terbalik akibat dilanggar sebuah kapal dagang di Selat Melaka dekat Sabak Bernam, Selangor pada Khamis lalu dijumpai semalam.

Mayat Kee Teck Huat, 47,Lim Lian Sy, 28, dan Kee Cheng Chong, 59, ditemui terapung di tiga kawasan berbeza ki ra-kira tiga batu nautika dari lokasi kejadian.

Pada Khamis lalu, dua mayat nelayan ditemui iaitu seorang lelaki warga Thailand yang dikenali sebagai Mohamad, 40, dan Tan Siu Giong, 36, seorang penduduk tempatan ma nakala mayat Tan Chang Peng, 45, pula dijumpai pukul 10.45 pagi kelmarin.

Dengan penemuan mayat Teck Huat, Lian Sy dan Cheng Chong menjadikan korban bot nelayan yang dilanggar kapal tangki minyak meningkat kepada enam orang.

Komander Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayan Satu, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan berkata, mayat Teck Huat yang juga tekong bot nelayan tersebut dijumpai kira-kira 12.2 batu nautika dari Kuala Bagan Nakhoda Omar, pada 7.20 pagi.

“Mayat Lian Sy pula ditemui terapung lebih kurang 0.3 batu nautika dari lokasi Teck Huat dijumpai pada 8.40 pagi manakala mayat Cheng Chong dikesan kira-kira 13.95 batu nautika dari Kuala Bagan Nakhoda pada 9.55 pagi.

“Ketiga-tiga mayat nelayan tersebut kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini se malam.

Kosmo! 8 Oktober lalu melaporkan sebuah bot nelayan tempatan yang berpengkalan di Hutan Melintang dekat sini terbalik akibat dilanggar sebuah kapal tangki minyak di Selat Melaka iaitu kira-kira 10 batu nautika dari Kuala Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam.

Dalam kejadian pada pukul 3.40 pagi itu, enam nelayan terkorban manakala empat lagi nelayan termasuk seorang warga Thailand cedera ringan.

Sepuluh nelayan termasuk lapan warga Thailand yang terselamat dalam insiden tersebut terpaksa berpaut pada bot terbabit selama kira-kira tujuh jam sebelum diselamatkan.