Translate

Tuesday, November 5, 2024

Buntu suami terlantar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Seorang jururawat kini menjadi ketua keluarga selepas suaminya terlantar akibat penyakit paru-paru berparut sejak lebih setahun lalu.

 Penjawat awam, Nurul Ain Mohd. Yacob, 35, berkata, suaminya, Helmie Dasukie Suhaimi, 37, terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan sejak menderita penyakit progressive brotic lung disease pada September tahun lalu. 

 Katanya, ekoran itu suaminya hanya mampu terlantar di atas katil kerana tidak boleh bergerak dengan sendiri. 

“Berdasarkan pakar perubatan, penyakit suami saya amat kronik dan hanya boleh diubati dengan pemindahan paru-paru penderma,” katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Losong Atap Zin di sini baru-baru ini. 

 Menurut Nurul Ain, keadaan kesihatan suaminya kurang memuaskan itu menyebabkan dia kerap pengsan dan perlu dikejarkan ke hospital untuk rawatan. 

 Ibu kepada dua anak itu berkata, anak sulungnya, Dhuha Aina, 7, banyak membantu menjaga bapanya walaupun merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) kategori mild autism. 

 “Kos perubatan suami merangkumi peralatan rawatan, susu khas dan makanan tambahan mencecah RM5,000 sebulan. 

 “Saya juga sedang bekerja keras mengumpul dana RM100,000 bagi membiayai pemindahan paru-paru penderma buat suaminya suatu hari nanti,” katanya. 

 Sehubungan itu, Nurul Ain yang berpendapatan kira-kira RM2,000 sebulan mengakui terpaksa mengikat perut berjimat cermat selain sewa rumah yang kini didiami mereka telah tertunggak lebih tiga bulan. 

 Walaupun mereka sering makan berlaukkan telur goreng dengan kicap, dia tetap bersyukur menerima bantuan bulanan RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. 

 Orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang menerusi akaun bank CIMB milik Helmie Dasukie di 7610797196 atau menghubungi Nurul Ain di talian 011-1126 7086.

Monday, November 4, 2024

‘Jangan sisih kami, RM12,000 belum lagi maha kaya’

 

Oleh AIMUNI TUAN LAH, ABDUL RAZAK IDRIS dan MOHD AZLI ADLAN

PETALING JAYA – Kumpulan yang berpendapatan antara RM12,000 hingga RM13,000 sebulan atau golongan T15 menyatakan mereka bukanlah golongan yang hidup mewah kerana turut berdepan kos sara hidup tinggi. 

Rata-rata mereka menegaskan kehidupan mereka lebih terbeban apabila mempunyai keluarga besar selain tinggal di kawasan bandar-bandar besar berbanding pinggir bandar.

Di Kuala Terengganu, kontraktor, Zawawi Md. Salleh, 55, berkata, banyak faktor harus dilihat dan tidak boleh melabelkan golongan tertentu sebagai ‘maha kaya’ hanya berdasarkan pendapatan kasar ­bulanan. 

Menurutnya, penyasaran subsidi petrol dan kenaikan yuran pendidikan sememangnya amat membebankan. 

“Walaupun pendapatan terkumpul bulanan saya dan isteri mencecah RM13,000, namun ia tidak bermakna kehidupan kami terlalu selesa.

“Kami juga bergelut dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan bukanlah ‘maha kaya’ seperti didakwa,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Zawawi berkata, beberapa langkah yang dinyatakan dalam Belanjawan 2025 bakal menekan golongan tersebut.

 “Tidak adil sedangkan kami golongan paling banyak menyumbang hasil cukai negara. Memang patut dahulukan golongan B40, tetapi takkan lah kami tidak dapat satu manfaat pun daripada cukai dibayar,” ujarnya. 

Di Shah Alam, seorang kontraktor, Razif Nazri, 47, berkata, perlu ada pengelasan yang jelas dan saksama memandangkan taraf hidup berbeza terutama yang tinggal di kawasan bandar atau pinggir bandar. 

“Pada mata kasar gaji berjumlah RM12,000 ke atas bagi isi rumah dilihat tinggi. Namun, untuk meneruskan kelangsungan hidup di bandar dalam kenaikan kos dari segala aspek adalah suatu yang tidak dapat diterima,” ujarnya. 

Menurutnya, perbelanjaan petrol suami isteri yang bekerja secara relatifnya tidak sama sekiranya seorang bekerja di Kuala Lumpur dan bandar lain. 

“Begitu juga kos isi rumah jika pasangan suami isteri tersebut bekerja dan perlu mengaji pembantu rumah selain bil-bil termasuk elektrik,” jelasnya. 

Di Gua Musang, Chee Chan Keong, 51, berkata, langkah kerajaan yang mengurangkan bantuan kepada golongan berpendapatan lima angka dilihat kurang adil kepada mereka yang turut menghadapi beberapa cabaran tersendiri. 

Katanya, seperti juga rakyat lain, salah satu cabaran utama dia yang berpendapatan RM11,800 sebulan adalah kos sara hidup yang tinggi ketika ini terutamanya yang tinggal di kawasan bandar.

 “Golongan T15 tidak terkecuali apabila perlu berdepan dengan kos tambahan setiap bulan seperti bayaran perumahan, hutang kenderaan, yuran pendidikan anak-anak serta keperluan untuk mengekalkan gaya hidup tertentu. 

“Kerajaan sepatutnya memberi keadilan kepada semua rakyat kerana golongan T15 memainkan peranan penting dalam ekonomi dan masyarakat termasuk kuasa beli dan sumbangan besar kepada pembangunan negara,” ujarnya. 

Chan Keong berkata, dia berharap kerajaan dapat mengkaji semula penarafan T15 kepada golongan gaji yang lebih tinggi mencecah RM20, 000 sebulan. 

Sebalum ini Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan menegaskan, penentuan 15 peratus golongan yang tidak layak menerima subsidi bahan api RON95 atau T15 akan merujuk kepada taburan yang lebih adil, bukannya berdasarkan pendapatan kasar semata-mata. 

Beliau berkata, kos sara hidup ini tidak boleh diukur berdasarkan pendapatan kasar semata-mata kerana banyak faktor lain yang mempengaruhinya, termasuklah saiz isi rumah, lokasi dan tanggungan.

Sunday, November 3, 2024

Mekanik tamak suka tipu harga skru camber

 

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN dan MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang eksekutif agensi pelancongan, Teh Suhaida Zulkifli, 24, mengakui pernah beberapa kali tertipu dengan mekanik bengkel membaiki kenderaan apabila perlu menukar skru camber de­ngan alasan tidak munasabah. 

Katanya, sebelum ini dia yang tidak berapa mahir dengan penyelenggaraan kereta akan mengikut saranan mekanik ter­babit. 

“Biasanya kalau saya menghantar kereta Perodua Myvi untuk melakukan penjajaran atau menukar tayar di sebuah bengkel membaiki kereta, selalu dikenakan caj tambahan.

 “Macam-macam caj dikenakan. Kebiasaannya mekanik itu mendakwa skru camber perlu ditukar. Saya ikut sahaja walaupun kena bayar tambahan RM60,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini. 

 Teh Suhaida berkata, dia mula ragu dakwaan mekanik terbabit apabila diminta sekali lagi untuk menukar skru camber sewaktu menukar tayar keretanya pada awal tahun ini. 

Dia berasa pelik kerana skru camber tersebut baru ditukar di bengkel sama beberapa bulan sebelum itu.

Dia mengambil keputusan untuk tidak menukarnya. 

Sementara itu, di Temerloh, Pahang, seorang pengguna, Azwin Abu Bakar,38, berkata, dia berasa pelik apabila setiap kali menukar tayar atau melakukan penjajaran (alignment), mekanik sering mengatakan perlu menukar skru camber. 

Katanya, dia yang kurang arif dengan perkara itu hanya mengikut nasihat mekanik bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pemanduan. 

“Saya tidak tahu sama ada dia (mekanik) menipu atau tidak tetapi apa boleh buat, saya tidak arif mengenai kereta dan saya hanya berharap tidak ditipu dan mekanik ikhlas dalam berniaga,” katanya.

 Dalam perkembangan lain, harga yang tinggi dan berbeza-beza bagi penjajaran tayar dan juga pelarasan camber di Lembah Klang membuatkan pengguna berasa terbeban. 

Keadaan itu membuatkan pengguna mempersoalkan harga sebenar yang sepatutnya ditawarkan, seolah-olah sikap peniaga bengkel yang sengaja mengaut keuntungan tinggi. 

Seorang pengguna, Izat Zamri,38, berkata, dia pelik dengan harga yang ditawarkan di Lembah Klang yang baginya tidak masuk akal berbanding harga di tempat lain. 

Justeru katanya, dia yang bekerja di Cheras mengambil keputusan pulang ke kampungnya di Temerloh setiap kali ingin menukar tayar atau melakukan penjajaran. 

“Saya akan memandu pulang ke Temerloh untuk membuat ‘alignment’ kerana di sini harganya hanya RM20, tetapi di Kuala Lumpur paling rendah RM40,” katanya.

Saturday, November 2, 2024

384 pelajar sekolah sertai Ihtifal Lughawi KPM

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) komited membentuk generasi muda yang ber­adab, berakhlak, berintegriti serta progresif selaras dengan Nilai Teras Malaysia MADANI.

Konsep Karamah Insaniah telah dipraktikkan KPM di bawah kepimpinan Menterinya, Fadhlina Sidek bagi memacu murid dan pelajar yang kukuh jati diri, bersahsiah dan memiliki kompetensi.

Ia mendukung prinsip Rukun Negara khususnya Kepercayaan kepada Tuhan serta Kesopanan dan Kesusilaan bagi melahirkan warga negara yang kukuh asas agama, berempati dan penyayang.

Sehubungan itu, program Ihtifal Lughawi Sekolah-Sekolah (ILSS) telah dianjurkan bagi mencapai misi tersebut terutama dalam kalangan murid dan pelajar beragama Islam.

Pengarah Bahagian Pendidi­kan Islam, KPM, Omar Sal­leh berkata, ILSS merupakan pertandi­ngan pengucapan awam, bicara berirama dan kuiz berkaitan pengetahuan Islam dalam bahasa Melayu dan Arab.

Beliau berkata, program kurikulum tersebut bertujuan mengukuh pemahaman syiar Islam dan pe­nguasaan bahasa Arab dalam kala­ngan murid sekolah.

“ILSS platform terbaik untuk me­ngembangkan bakat dan potensi murid terutama yang melibatkan pe­ngucapan awam dalam bahasa Arab.

“Ia mampu menyumbang kepada kemenjadian murid secara holistik selaras visi dan misi KPM dalam melestarikan sistem pendidikan berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara,” katanya ketika merasmikan penutup ILSS KPM peringkat kebangsaan di Kuala Nerus, kelmarin.

Program ILSS KPM peringkat kebangsaan diadakan selama empat hari bermula 24 Oktober yang disertai oleh 384 murid sekolah rendah dan menengah mewakili 16 kontinjen seluruh negara.

Omar berkata, sebanyak enam acara merangkumi 10 kategori dipertandingkan iaitu Daie Cilik dan Kalam Arabiy bagi kategori lelaki dan perempuan, serta kalam jamaie terbuka untuk peserta sekolah rendah.


Tambah beliau, peserta sekolah menengah pula bertanding dalam acara mimbar daie kategori lelaki dan perempuan, serta Kalimatussobah menengah rendah (tingkatan satu hingga tiga) dan atas (tingkatan empat dan lima).

“Acara kuiz pula terbuka dan ia menguji penguasaan pelajar dalam bahasa Arab merangkumi sukatan pelajaran dari tingkatan satu hingga lima,” katanya.

Omar menjelaskan, Daie Cilik dan Mimbar Daie merupakan pertandingan pengucapan awam individu berformat tazkirah santai dalam bahasa Melayu.

Sementara itu, Kalam Arabiy dan Kalimatussobah pula adalah pengucapan awam individu dalam bahasa Arab, manakala Ka­lam Jamaie ialah bicara berirama dalam bahasa Arab.


Dalam program berkenaan, kontinjen Selangor dan Perak membuktikan keunggulan ma­sing-masing setelah muncul juara keseluruhan bagi kategori sekolah rendah dan menengah.

Nur Syafiqah Amani Mohd. Raza, 16, yang mewakili Kuala Lumpur pula muncul johan acara Mimbar Daie kategori perempuan, sekali gus mengulangi kejayaan merangkul tempat pertama Daie Cilik dalam pertandingan sama pada empat tahun lalu.


Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Amiruddin Baki, yang me­nyampaikan tazkirah bertajuk Puasa itu sempat menzahirkan rasa gembira selepas pengorbanannya berjam-jam berlatih sele­pas waktu sekolah berbalas.

Dalam pada itu, Muhammad Irfan Azhar, 12, mewakili Selangor yang menyampaikan tazkirah bertajuk Cintai Negara dalam bahasa Arab diumum johan acara Kalam Arabiy kategori murid lelaki.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, Klang itu berkata, dia berlatih pe­ngucapan awam dalam bahasa Arab selama enam bulan dengan bimbingan Ustazah Norazlisa Che Ahmad dan Nur Nhazzla Abdul Wahab.


“Harapnya kemenangan ini da­pat menjadi ‘tiket’ kepada saya memasuki Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang di tingkatan satu nanti,” katanya.


Friday, November 1, 2024

‘Mahu baik tapi siapa sudi derma paru-paru?’


 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang jururawat kini menjadi ketua keluarga selepas suaminya terlantar akibat penyakit paru-paru berparut sejak lebih setahun lalu.

Penjawat awam, Nurul Ain Mohd. Yacob, 35, berkata, suaminya, Helmie Dasukie Suhaimi, 37, terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan sejak menderita penyakit progressive fibrotic lung disease pada September tahun lalu.

Katanya, ekoran itu suaminya hanya mampu terlantar di atas katil kerana tidak boleh bergerak dengan sendiri.

“Berdasarkan pakar perubatan, penyakit suami saya amat kronik dan hanya boleh diubati dengan pemindahan paru-paru penderma,” katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Losong Atap Zin di sini baru-baru ini.

Menurut Nurul Ain, keadaan kesihatan suaminya kurang memuaskan itu menyebabkan dia kerap pengsan dan perlu dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Ibu kepada dua anak itu berkata, anak sulungnya, Dhuha Aina, 7, banyak membantu menjaga bapanya walaupun merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) kategori mild autism.

“Kos perubatan suami me­rangkumi peralatan rawatan, susu khas dan makanan tambahan mencecah RM5,000 sebulan.

“Saya juga sedang be­kerja keras mengumpul dana RM100,000 bagi membiayai pemindahan paru-paru penderma buat suaminya suatu hari nanti,” katanya.

Sehubungan itu, Nurul Ain yang berpendapatan kira-kira RM2,000 sebulan mengakui terpaksa mengikat perut berjimat cermat selain sewa rumah yang kini didiami mereka telah tertunggak lebih tiga bulan.

Walaupun mereka sering makan berlaukkan telur goreng de­ngan kicap, dia tetap ber­syukur menerima bantuan bulanan RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang menerusi akaun bank CIMB milik Helmie Dasukie di 7610797196 atau menghubungi Nurul Ain di talian 011-1126 7086.