Translate

Thursday, October 17, 2013

'Saya sangka bunyi mercun'


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


IPOH - Seorang budak lelaki yang cedera terkena tembakan di leher dekat Kampung Belanja Kiri, Parit di sini pada Isnin lalu menyangka bunyi yang terlepas daripada pistol seorang anggota polis adalah letupan mercun.
Mohd. Amar Mohd. Azizi, 10, berkata, ketika kejadian pukul 4.30 petang itu, dia sedang bermain bersama beberapa rakan di atas jalan tar mini kira-kira 40 meter dari lokasi sarjan itu sedang mengosongkan peluru.
"Kami nampak percikan api dan bunyi letupan kuat. Selepas itu, saya berasa hidung saya panas dan berdarah.
"Pada mulanya, saya sangka ia bunyi mercun," cerita mangsa ketika ditemui oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan Perak, Nolee Ashilin Mohammed Radzi di Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB) di sini semalam.

Turut hadir, Pakar Perunding Neurosergeri  HRPB, Dr. Cheang Chee Keong.

Menurut mangsa, dia yang rebah selepas kejadian itu hanya menyedari menjadi mangsa tembak selepas dimaklumkan oleh doktor yang merawatnya di HRPB/.

"Doktor beritahu, saya terkena tembakan. Ada sebutir peluru di dalam kerongkong saya," katanya.

Akhbar semalam melaporkan, seorang anggota polis yang sedang mengosongkan peluru daripada senjata api jeni PP99 di hadapan rumah mertuanya di Parit terlepas tembakan menyebabkan seorang budak lelaki cedera parah.

Susulan kejadian itu, polis menahan anggota polis tersebut yang bertuhas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping selepas dia menyerah diri. Turut dirampas ialah sepucuk pistol beserta 14 butir peluru.

Sementara itu, Nolee Ashilin memberitahu, pemeriksaan awal mendapati peluru itu mengenai hidung mangsa dan tersekat di kerongkong selepas melalui rongga hidung.

Katanya, Mohd. Amar bernasib baik kerana peluru tersebut tidak mengenai saraf tunjang yang boleh menyebabkan kanak-kanak itu mengalami lumpuh atau maut.

"Saya difahamkan, peluru itu berada lima milimeter dari saraf tunjang dan tersangkut antara tulang kepala dan tulang leher.

"Keadaan mangsa setakat ini stabil, dia boleh bercakap dan makan," katanya.

Dalam pada itu, Chee Keong memberitahu, pembedahan untuk mengeluarkan peluru di kerongkong Mohd. Amar yangdijadualkan semalam terpaksa ditangguhkan ke hari ini atau esok kerana ia berisiko tinggi.

"Ia harus dilakukan dengan teliti bagi mengelak sebarang komplikasi pada saraf tunjang dan salur darah mangsa," katanya.

Menurut Che Keong, sekiranya tidak melakukan pembedahan, pihaknya bimbang peluru tersebut akan bergerak memasuki saraf tunjang mangsa.

"Ini kali pertama pembedahan mengeluarkan peluru dari kerongkong dilakukan di negara ini. Kami sedang mendapatkan pandangan daripada pakar-pakar perubatan di seluruh negara untuk menjayakan misi ini," katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau didenda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

No comments:

Post a Comment