Translate

Friday, October 22, 2021

Aliran LPT 2 masih terkawal, lebih banyak pergerakan keluar

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Pergerakan kenderaan yang memasuki Terengganu melalui Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) masih normal sehingga pukul 12 tengah hari tadi.

Sebaliknya tinjauan di Plaza Tol Kuala Terengganu di Gemuroh di sini mendapati lebih banyak kenderaan pengguna tempatan melakukan pergerakan keluar sehingga menimbulkan sedikit kesesakan di plaza tol.

Kebanyakan mereka yang berasal dari daerah ini, Setiu dan Besut serta sebahagian selatan Kelantan mengambil kesempatan cuti hujung minggu pada hari ini untuk bersiar-siar atau menziarahi saudara mara di selatan Terengganu atau merentas negeri ke Pahang dan Lembah Klang.

Begitupun, bilangan kenderaan yang memasuki Terengganu dijangka akan meningkat sedikit demi sedikit menjelang petang ini berikutan perantau dijangka akan memulakan perjalanan ke kampung halaman selepas waktu kerja.

Petugas LPT2 didapati sedang membuat persiapan menghadapi penambahan bilangan kenderaan termasuk meletakkan kon keselamatan berhampiran kawasan plaza tol. – K! ONLINE

Budak tiga tahun maut terjatuh di Tasik Kenyir

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Kegembiraan sebuah rombongan dari Kuala Nerus beriadah sambil memancing bertukar tragedi apabila anak lelaki seorang peserta berusia tiga tahun mati lemas di Tasik Kenyir, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, mangsa, Muhammad Al Fateh Muhammad Khairul Aiman telah terjatuh ke dalam tasik berkenaan ketika rumah bot dinaiki mereka sedang berlabuh berhampiran kawasan Air Terjun Langsir.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, sewaktu kejadian bapa mangsa, Muhammad Khairul Aiman Mohd. Ariffin, 30, yang merupakan seorang peniaga dikatakan sedang mengambil wuduk untuk menunaikan solat Isyak.

“Dia terkejut apabila dimaklumkan anak lelakinya terjatuh dari rumah bot dinaiki mereka sebelum tenggelam ke dalam tasik.

“Seorang kru rumah bot berkenaan mengambil tindakan pantas terjun ke dalam tasik tersebut bagi menyelamatkan mangsa,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Gawi di sini hari ini.

Rohaimi berkata, Muhammad Al Fateh berjaya ditemui dalam tempoh 10 minit dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum diberi bantuan penafasan.

Tambah beliau, kanak-kanak lelaki itu dikejarkan ke Jeti Pengkalan Gawi dengan bot laju sebelum dihantar ke Unit Kecemasan (ICU) Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Sebaik tiba di hospital pada pukul 10.48 malam, pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya. – K! ONLINE

Muzium Bukit Besi mula beroperasi

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Muzium Bukit Besi yang memaparkan sejarah perlombongan bijih besi terbesar di Asia Tenggara mula dibuka untuk awam.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, muzium terbabit menghimpunkan koleksi khazanah dan maklumat lengkap perlombongan bijih besi di kawasan tersebut yang pernah beroperasi hampir 60 tahun bermula tahun 1916.

“Kemasukan ke muzium ini adalah percuma bagi tempoh dua bulan ini hingga akhir tahun.

“Ia dibuka dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang setiap hari kecuali Jumaat,” katanya pada pra perasmian Muzium Bukit Besi di sini hari ini.

Razali berkata, selain lawatan galeri, pakej pelancongan tersebut turut merangkumi lawatan ke monumen perlombongan bijih besi yang terpelihara di Bukit Besi termasuk stesen simpanan bahan letupan, simpanan bijih besi, peleburan bijih besi dan kolam renang.

Tambah beliau, pengunjung akan dibawa ke mengunjungi monumen terbabit dengan menaiki bas dan penerangan daripada pegawai muzium.

“Kita harap pembukaan Muzium Bukit Besi ini dapat menyokong pakej pelancongan Bukit Besi selain memberi faedah ekonomi dan sosial kepada masyarakat setempat,” katanya.

Sewaktu zaman kegemilangannya, Bukit Besi muncul antara bandar paling maju di Terengganu dengan lengkap infrastruktur sebelum operasi perlombongan bijih besi ditutup sepenuhnya pada tahun 1971. – K! ONLINE