Translate

Thursday, February 27, 2014

Bicara tembak, bunuh pegawai bank Jun ini

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan perbicaraan kes pengawal keselamatan warga Indonesia, La Ode Ardi Rasila, 37, yang dituduh membunuh dan melepaskan tembakan terhadap seorang pegawai Ambank wanita di Subang Jaya dekat sini pada Oktober 2013 selama lima hari bermula 23 Jun depan.
Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Azari Harun memberitahu, seramai 20 hingga 25 individu akan dipanggil untuk menjadi saksi pendakwaan pada sesi pembicaraan tersebut.
Hakim Datuk Akhtar Tahir turut menetapkan pengurusan kes itu pada 7 Mei depan untuk penyerahan dokumen berkaitan sebelum bicara bermula.Bekas pengawal keselamatan tersebut menghadapi dua pertuduhan membunuh dan melepaskan tembakan terhadap Norazita Abu Talib, 37, (gambar kecil) di dalam premis Ambank cawangan USJ Sentral 2, Subang Jaya dekat sini antara pukul pukul 6 petang dan pukul 6.30 petang, 23 Oktober 2013.

Bagi pertuduhan membunuh mangsa, tertuduh yang berasal dari Sulawesi, Indonesia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dia juga menghadapi pertuduhan melakukan rompakan dan melepaskan tembakan menggunakan pump gun dengan niat untuk menyebabkan kematian mangsa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 yang juga memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam bela, S. Selvi mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Indonesia oleh jurubahasa mahkamah, Made Jaafar Abdullah.

Dalam kejadian pada 23 Oktober lalu, Norazita yang merupakan pegawai bank maut akibat kecederaan di kepala setelah ditembak seorang pengawal keselamatan ketika membuka peti besi di bilik kebal bank itu.

Selepas kejadian pengawal keselamatan itu melarikan diri bersama wang tunai berjumlah RM450,000 sebelum ditangkap polis di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor pada 10 November 2013 iaitu selepas 19 hari menjadi buruan.


Dua beradik ke tali gantung

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Dua beradik dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh seorang warga emas dalam satu kejadian samun di Bandar Baru Sungai Buaya, Bukit Sentosa, Hulu Selangor dekat sini kira-kira empat tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Shamsul Abdul Aziz@Abdul Azis, 46, dan adik perempuannya, Tuti Adayu, 34, dari Bandar Tasik Puteri, Ijok, Kuala Selangor dekat sini didapati dengan niat bersama menyebabkan kematian Nen Ariffin, 73, di rumah mangsa pada pukul 8.15 malam, 27 Februari 2010.
Mohd. Shamsul juga dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan manakala Tuti Adayu pula dipenjara lapan tahun atas kesalahan menyamun barangan kemas milik isteri mangsa, Siti Aminah Lateh, 73, sewaktu kejadian.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ghazali Cha menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati hujahan pembelaan kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam bela, V. Aravindhaksan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu sebaliknya pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
“Hujah pembelaan mendakwa terdapat dua individu lain menaiki sebuah kereta Proton Saga berwarna merah yang kebetulan sama dengan kenderaan dinaiki mereka (tertuduh) memasuki rumah mangsa selepas mereka beredar dianggap sebagai rekaan semata-mata.
"Kewujudan dua individu dengan kereta hampir sama dengan tertuduh tidak pernah ditimbulkan pada peringkat pendakwaan.

"Kedua-dua tertuduh juga mengaku berjumpa dengan mangsa dan isterinya untuk bertanyakan tentang sebuah rumah kosong berhampiran bagi tujuan untuk disewakan pada malam kejadian," kata Ghazali ketika membacakan penghakimannya di sini semalam.

Berdasarkan fakta kes, Mohd. Shamsul yang masih bujang dan adiknya,  Tuti   Adayu  mempunyai tiga anak berusia 12, 15 dan 17 tahun dituduh menyebabkan kematian Nen dengan menikam warga emas itu dengan sebilah pisau rambo pada kejadian samun itu.

Mereka juga turut menyamun dua utas rantai leher dan seutas gelang tangan emas milik Siti Aminah bernilai RM8,100.Bagi pertuduhan membunuh, dua beradik itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. 

Bagi pertuduhan menyamun pula, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 dan 397 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.Siti Aminah yang hadir di mahkamah semalam berkata, kehilangan suaminya memang tidak dapat ditukar ganti. 

Dia sekeluarga bagaimanapun bersyukur kematian Nen akhirnya terbela.

"Semasa kejadian, hanya saya dan suami sahaja berada di dalam rumah. Trauma mengenang kejadian yang berlaku di depan mata," katanya.

Penjenayah lari selepas jerit minta ibu panggil polis

SHAH ALAM  - Tindakan nekad seorang pemuda yang diikat penjenayah dengan menjerit meminta ibunya menghubungi polis berjaya 'menghalau' empat penyamun yang merompak rumahnya di  Seksyen   13  di sini semalam.

Semasa kejadian, ibu pemuda itu, adik-beradiknya, seorang sepupu dan seorang pembantu rumah nyenyak tidur.

Mengimbau kejadian itu, pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai  Nik   Amir , 24, berkata, dia yang tidur di sebuah bilik di tingkat bawah terjaga apabila dikejutkan seorang daripada empat lelaki bersenjata parang.

"Kedua-dua tangan saya kemudian diikat dengan wayar sebelum mereka menggeledah bilik saya dan mengambil barangan berharga," ceritanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di sini semalam.

Semasa diikat,  Nik   Amir  memberitahu, penjenayah itu bertindak kasar dengannya apabila memukul kedua-dua belah kakinya menggunakan pengumpil besi.

Selepas penjenayah itu habis menggeledah biliknya, kumpulan suspek itu memaksa dia membawa mereka ke bilik ibunya di tingkat atas.

"Sewaktu menghampiri bilik ibu, saya memberanikan diri menjerit meminta ibu menghubungi polis.

Tindakan saya rupa-rupanya menakutkan penjenayah itu menyebabkan mereka terus melarikan diri," ceritanya lagi.

Semasa kejadian, bapanya tiada di rumah kerana bertugas dengan sebuah syarikat penerbangan antarabangsa.