Translate

Sunday, October 6, 2013

Ditipu syarikat francais

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Hasrat seorang bekas pelajar kolej komuniti untuk menjadi usahawan makanan segera tidak kesampaian selepas dia mendakwa dianiayai sebuah syarikat berkaitan perniagaan francais.

Mangsa, Farid Azdi Mohd. Adli Lee, 24, dari Taman Salak, Sungai Siput dekat sini mendakwa tidak menerima peralatan dan perkhidmatan yang dijanjikan syarikat tersebut biarpun sudah melunaskan pembayaran pembelian lesen francais dengan syarikat berkenaan pada awal tahun ini.

Dia yang berkelulusan dalam jurusan Hotel dan Katering dari Kolej Komuniti Kuala Kangsar mendakwa telah menandatangani perjanjian menjalankan perniagaan francais menjual makanan segera berasaskan roti dengan menggunakan van di sekitar Sungai Siput dan Kuala Kangsar dengan syarikat tersebut pada 7 Mac lalu.

“Terdahulu saya telah melunaskan pembayaran RM118,000 secara tunai secara berperingkat-peringkat sekitar Januari dan awal Februari sebagai pakej perniagaan menyertai program francais kendalian syarikat tersebut.

“Namun sehingga kini kelengkapan perniagaan seperti van dan peralatan memasak yang dijanjikan masih belum diserahkan oleh syarikat tersebut,” dakwa dia yang turut ditemani ibunya, Rozilawati Mohd. Ariff, 46, pada sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak di sini semalam.

Turut hadir Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd. Rawi Abdullah.

Farid Azdi mendakwa, mengikut perjanjian, van dan semua kelengkapan itu sepatutnya diterima dalam tempoh sebulan selepas perjanjian ditanda tangani.

Ekoran itu, dia mendakwa bukan sekadar hilang peluang perniagaan malah terpaksa menanggung beban hutang sebanyak RM118,000 yang dipinjam daripada sanak saudaranya.


Farid Azdi memberitahu dia telah membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar pada 5 April lalu.

Saturday, October 5, 2013

Peraturan susahkan calon berkempen

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI, MOHD. AZLI ADLAN dan SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI
berita@kosmo.com.my

SEREMBAN - Sebahagian peraturan pada Pemilihan UMNO 2013 dilihat kurang bijak hingga boleh membantutkan proses pemilihan parti.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, seorang calon yang bertanding sukar untuk memperkenalkan diri sekiranya wujud sekatan yang tidak bijak, lebih-lebih lagi muka baharu yang belum dikenali oleh perwakilan.

Kata beliau, antara peraturan yang disifatkan tidak begitu sesuai ialah calon tidak beleh berkempen secara besendirian untuk bertemu perwakilan.

"Kalau hendak menjadi calon tetapi tidak boleh berkempen, bagaimana hendak menang. Jadi ketua kelas pun, kita kena kempen, inikan pula hendak menjadi ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO," kata beliau selepas merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri Belia Negeri Sembilan di sini semalam.

Mohamad yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan calon MT berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi beberapa calon berhadapan kesulitan untuk berkempen dan menganggap syarat yang ditetapkan terlalu ketat.

"Saya bercakap tentang soal pemilihan dan jawatankuasa pemilihan kurang bijak. Kita faham dalam jawatankuasa berkenaan ada pemimpin tertinggi dan hal ini perlulah diberi perhatian," kata beliau.

Pada Pemilihan UMNO 2013 antara syarat kempen uang dikenakan ialah calon tidak boleh menggunakan mana-mana penerbitan atau media massa untuk berkempen atau menggunakan ejen, pelobi, pengurus kempen dan perayu.

Calon juga tidak dibenarkan berkempen secara bersendirian dan hanya boleh mempromosi diri melalui majlis yang diatur Badan Perhubungan UMNO setiap negeri.

Bagaimanapun, jawatankuasa pemilihan baru-baru ini memberi kebenaran kepada calon-calon bertanding untuk berkempen melalui laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO peringkat bahagian akan diadakan serentak pada 12 Oktober ini sementara Persidangan Perwakilan dan Pemilihan UMNO Bahagian serta jawatan MT dijadualkan pada 19 Oktober ini.

Sementara itu di Ipoh, Perak, seorang lagi calon MT, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, kaedah sesi memperkenalkan calon bertanding wajar dikaji semula sekali gus memberi lebih banyak ruang perwakilan mengenali pemimpin pilihan mereka.

Beliau yang menarik perhatian mengenai kehadiran kira-kira 2,000 perwakilan UMNO di Stadium Indera Mulia itu berkata, hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan perwakilan Perak yang hadir.

“Kalau sekadar duduk di atas (pentas) dan nama diperkenalkan sekali, saya rasa ini bukan kaedah sesuai dalam keadaan 145,000 pengundi dan tempat ini pun tidak memungkinkan seluruh 24 bahagian di Perak datang," katanya.

Calon MT, Datuk Shamsul Anuar Nasarah pula berkata, calon-calon perlu diberi sedikit kelonggaran berkempen kerana majlis memperkenalkan diri seperti itu tidak memadai untuk mendekati perwakilan.

Calon Puteri teruja diperkenalkan

IPOH - Calon-calon Pergerakan Puteri teruja dan tidak melepaskan peluang menyertai sesi perkenalan calon Pemilihan UMNO 2013 yang bermula di Perak semalam.

Lebih 90 peratus calon yang bertanding termasuk dua calon Ketua Puteri, Mas Ermieyati Samsudin dan Jamilah Hanim Othman hadir pada siri jelajah yang julung kali diadakan itu.

Calon Ketua Puteri, Jamilah Hanim Othman menghargai usaha Jawatankuasa Pemilihan UMNO yang memberi ruang kepada calon-calon bertanding memperkenalkan diri kepada perwakilan.

“Sesi perkenalan calon ini baik kerana memberi peluang kepada calon-calon untuk memperkenalkan diri kepada perwakilan di seluruh negara.

“Cuma saya berharap pada siri jelajah ke negeri-negeri lain selepas akan ada sedikit penambahbaikan dari segi cara calon diperkenalkan dan jumlah kehadiran perwakilan,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas selepas sesi perkenalan calon Pemilihan UMNO 2013 peringkat Perak di Stadium Indera Mulia di sini semalam.

Jamilah Hanim berkata, beliau optimis Badan Perhubungan UMNO negeri lain akan mengambil iktibar dan meningkatkan mutu sesi perkenalan calon tersebut yang akan menjelajah setiap negeri di seluruh negara kecuali Sarawak sehingga 9 Oktober ini.

Beliau juga mencadangkan agar keutamaan diberikan kepada calon-calon yang hadir pada sesi perkenalan berkenaan sebagai menghargai inisiatif mereka untuk turun padang menjayakan program dan menemui perwakilan.

Sementara itu, calon Ahli Jawatankuasa Puteri,  Isfarina Mohd. Bali berkata, sepanjang kali calon daripada MT dan kesemua sayap UMNO diperkenal, perwakilan telah memberi maklum balas yang baik.