Translate

Monday, August 1, 2022

Penyatuan 3 parti terbesar Melayu kunci kemenangan PRU-15

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Pas masih mengharapkan UMNO berlembut membentuk pakatan politik bersama parti tersebut dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, penyatuan tiga parti Melayu terbesar negara merupakan kunci bagi mengekalkan kekuasaan di Putrajaya pada PRU-15 kelak.

“UMNO mahu Pas bersama UMNO sahaja (membentuk pakatan politik) tetapi kita tidak boleh menang (PRU-15), kena ada Bersatu.

“Saya mengajak rakan-rakan UMNO agar sama-sama menyelamatkan negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada pelancaran Perikatan Nasional (PN) yang disempurnakan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Rusila di sini malam tadi.

Abdul Hadi berkata, sebelum ini, Pas telah berusaha untuk menyatukan tiga parti Melayu terbesar berkenaan menerusi PN tetapi tidak berjaya.

Jelas Timbalan Pengerusi PN tersebut, kegagalan itu disebabkan segelintir kepimpinan UMNO tidak bersetuju bersama Bersatu dengan melengah-lengahkan pelancaran PN dan berura-ura membentuk jajaran politik baharu.

“Kita telah berbesar hati mencadangkan Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan dan menerima (pemimpin) UMNO sebagai Perdana Menteri (baharu),” katanya. – KOSMO! ONLINE

TDM lupus operasi ladang kelapa sawit di Indonesia

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM Berhad yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu melupuskan kesemua kepentingan ekuiti dalam dua syarikat peladangan kelapa sawit di Indonesia iaitu PT Rafi Kamajaya Abadi (RKA) dan PT Sawit Rezki Abadi (SRA).

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, pemilikan masing-masing 93.8 dan 95 peratus daripada ekuiti RKA dan SRA akan dilepaskan kepada syarikat Ikhasas Sawit Sdn. Bhd. (Ikhasas Sawit) dengan pertimbangan cadangan pelupusan tunai bernilai RM115 juta.

Beliau berkata, RKA telah mengalami kerugian sejak diperbadankan sehingga tahun kewangan berakhir Disember 2020 manakala SRA pula tidak pernah mencatat keuntungan sejak awal penubuhannya.

“Selepas ini, TDM akan menumpukan sumber dan operasi syarikat di dalam negara menerusi penjimatan kos besar dan modal dijana daripada pelupusan tersebut,.

“Ia termasuk inisiatif mengoptimumkan pengeluaran hasil tanah milik syarikat di Pantai Timur dengan mempelbagaikan tanaman selain ladang kelapa sawit,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian jualan dan pembelian bersyarat dengan Pengarah Urusan Kumpulan Ikhasas, Tan Chee Kian.

Pada majlis sama, TDM turut menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Pengurusan bersama PT Ikhasas Indo Makmur bagi pengambilalihan kawalan operasi ke atas aset-aset RKA dan SRA yang sedang dilupuskan.

Najman memberitahu, proses pelupusan aset-aset terbabit dijangka selesai sepenuhnya pada suku pertama tahun 2025. – KOSMO! ONLINE

Pastri gamit pelanggan ke kafe

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MENEPATI namanya, Kafe Sakor mempertaruhkan kek, biskut, pastri dan kuih-muih tradisional yang manis sebagai sajian utama bagi menambat hati pelanggan. 

Kafe terletak di Kampung Wakaf Tembusu, Kuala Nerus, Terengganu tersebut hanya menyajikan kudapan tersebut yang dinikmati bersama kopi pelbagai aroma. 

Pemiliknya, Rohani Jusoh, 46, berkata, kafe itu dibuka hasil dorongan suaminya, Marzuki Samsudin, 50, yang melihat potensi kemahirannya membuat pelbagai jenis kek, biskut, pastri dan kuih tradisional.

 “Sebelum ini, saya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat penerbitan sentiasa mengambil  tempahan membuat kek, pastri dan kuih tradisional secara sambilan.

“Air tangan saya mendapat sambutan ramai. Oleh itu, sebaik berhenti kerja, suami mencadangkan agar membuka kafe bagi membolehkannya menjadi cabang rezeki baharu keluarga kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Rohani berkata, beliau menamakan kafenya itu sebagai Sakor yang bermaksud gula dalam bahasa tradisional Terengganu.


Katanya, hasratnya agar pelanggan yang mengunjungi kafenya dapat merasai kemanisan menikmati kudapan sambil menghirup air kopi menyegarkan.

“Setiap hari, kami menyajikan pelbagai jenis kek, pastri dan biskut yang dihasilkan secara panas-panas dari ketukar.

“Sebagai pilihan, kuih tradisional terutamanya talam keladi dan kole kacang juga ditawarkan kepada pelanggan,” katanya.

Rohani berkata, Kafe Sakor turut menampilkan empat variasi kopi iaitu Brazil, Java, Guatemala dan Aceh Gayo.

Jelas beliau. setiap air kopi itu menggunakan biji kopi terpilih diimport dari luar negara.

“Kopi Brazil sesuai untuk penggemarnya yang suka aroma lembut, Java dan Acheh Gayo (keras), manakala Guatemala pula rasanya masam-masam manis.

“Semua kopi ini dibancuh menggunakan biji kopi yang dikisar terus menggunakan mesin secara manual di depan pelanggan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rohani berkata, selain kuih, kek dan pastri, Kafe Sakor juga menawarkan sajian istimewa iaitu stu daging.

Cerita beliau, resepi stu daging itu dipelajari daripada ibu mertua yang pernah berkhidmat sebagai tukang masak di Istana Terengganu.


“Saya difahamkan, ia antara menu kegemaran Sultan Terengganu ke-16, Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

“Sehubungan itu, saya menyediakan menu ini untuk mengembalikan nostalgia, selain membolehkan lebih ramai merasai keenakannya,” katanya lagi.

Rohani berkata, stu daging itu juga kudapan ringan yang sedap dicicah dengan roti.

Kata beliau, rekaan dalaman kafe berkenaan juga berkonsepkan klasik vintaj bagi memberi ketenangan kepada pelanggan.

“Setiap menu juga berharga mampu milik iaitu antara RM2.50 hingga RM9 bagi setiap hidangan,” katanya.