Translate

Thursday, February 3, 2022

KPDNHEP arah segerakan agihan minyak masak paket bersubsidi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengarahkan syarikat pengeluar agar menyegerakan pengagihan minyak masak paket di pasaran.

Pengarah Penguatkuasaan KPDNHEP, Azman Adam berkata, ia bertujuan mengatasi isu kekurangan minyak masak paket bersubsidi yang sedang berlaku di sebahagian tempat pada masa ini.

“Syarikat pengeluar yang menyertai Skim Penstabilan Minyak Masak telah diarahkan agar melakukan segera pembungkusan dan pengagihan minyak masak di pasaran.

“Bekalan minyak masak paket bersubsidi sebenarnya mencukupi kerana kerajaan masih mengekalkan kuota 60,000 metrik tan setiap bulan,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Wakaf Tapai di sini hari ini.

Terdahulu beliau melakukan pemeriksaan harga barang sempena Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina.

Begitupun, Azman mengakui berlaku kekurangan minyak masak paket bersubsidi di beberapa tempat di seluruh negara.

Beliau berkata, faktor utama kekurangan itu disebabkan permintaan tinggi minyak masak paket bersubsidi ekoran kenaikan harga minyak masak botol yang kini sudah mencapai tahap maksimum pada masa ini.

“Ramai pengguna kini beralih kepada minyak masak paket yang lebih murah. Selain itu pembukaan penuh sektor ekonomi juga telah meningkatkan permintaan,” katanya. – K! ONLINE

Seekor lagi penyu mati di Pantai Kijal

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Seorang pemajak telur penyu menjumpai seekor lagi bangkai penyu di pesisir Pantai Kijal di sini hari ini.

Bangkai penyu agar jantan dewasa itu ditemui terdampar di pantai berkenaan pada pukul 8.15 pagi.

Penemuan terbaharu tersebut menjadikan sebanyak 14 ekor penyu telah ditemui mati di seluruh pesisir pantai Terengganu sepanjang bulan ini.

Pemajak telur penyu terbabit, Roslan Mohamad, 54, berkata, beliau terserempak dengan bangkai penyu jantan dewasa itu sewaktu melakukan pemeriksaan di pantai berkenaan.

“Keadaan bangkai penyu itu amat memilukan dan saya percaya punca kematiannya akibat terkena pukat.

“Tambah menyedihkan saya, ini penyu kedua ditemui mati di kawasan pendaratan penyu di bawah seliaan saya dalam tempoh 24 jam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Roslan berkata, penemuan bangkai penyu dewasa tersebut telah dimaklumkan kepada Jabatan Perikanan bagi tindakan lanjut.

Kosmo! hari ini melaporkan sekumpulan pemajak telur penyu sebak apabila menjumpai bangkai seekor anak penyu agar di Pantai Kijal di sini. – K! ONLINE

Dua bot bertembung, 10 pelancong Pulau Perhentian cedera

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 10 individu cedera termasuk enam daripada mereka parah dalam insiden sebuah bot pelancong dengan sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut berhampiran Jeti Kuala Besut semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, mereka merupakan sebahagian 29 pelancong Pulau Perhentian yang dalam perjalanan pulang ke Jeti Kuala Besut.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, kesemua tujuh mangsa termasuk empat kanak-kanak yang parah kini ditempatkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.

“Empat mangsa kanak-kanak ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) hospital itu manakala seorang mangsa dewasa pula berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

“Seorang lagi mangsa dewasa pula kini dirawat di wad biasa HSNZ,” katanya di sini hari ini.

Kasemani berkata, dua daripada mangsa kanak-kanak memerlukan bantuan mesin pernafasan manakala dua lagi diberikan bantuan oksigen.

Tambah beliau, keadaan kesemua mangsa yang berusia empat hingga 70 tahun dilaporkan semakin stabil.

Difahamkan kesemua mereka mengambil pakej lawatan harian dan bertolak ke Pulau Perhentian pada pukul 9 pagi sebelum bertolak pulang pada pukul 2.30 petang. – K! ONLINE