Translate

Wednesday, December 22, 2021

KMI tawar kemudahan makmal kateterisasi jantung

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – KMI Kuala Terengganu meningkatkan perkhidmatan rawatan jantung dengan menjadi pusat perubatan swasta pertama di negeri Pantai Timur itu yang menyediakan kemudahan makmal kateterisasi jantung dengan pelaburan RM4 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan KMI, Dr. Rayney Azmi Ali berkata, kemudahan makmal tersebut menyediakan perkhidmatan mengesan masalah pembuluh darah dalam jantung dan rawatan intervensi menggunakan sinar-X berteknologi tinggi.

Beliau berkata, prosedur yang ditawarkan ialah angiografi kononari, agioplasti koronari, pemantauan elektrofisiologi dan pemasangan alat pacu jantung.

“Sebelum ini, kemudahan makmal kateterisasi jantung ini hanya dimiliki hospital kerajaan sehingga menyebabkan rakyat Terengganu terpaksa menunggu lapan bulan untuk mendapatkan rawatan.

“Ia juga menyebabkan ramai penghidap penyakit jantung di negeri ini terpaksa mendapatkan rawatan jantung ke negeri-negeri lain termasuk Lembah Klang,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan pelancaran makmal kateterisasi jantung di KMI Kuala Terengganu oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Rayney Azmi berkata, kemudahan makmal itu membolehkan tempoh menunggu rawatan jantung bagi pesakit di Pantai Timur dapat disingkatkan kepada sehari sahaja.

Tambah beliau, pasukan kardiologi KMI Kuala Terengganu diterajui Dr Ahmad Suhaimi Mustafa yang memiliki kepakaran khusus dalam bidang elekrofisiologi iaitu perkhidmatan pemasangan perentak jantung dan masalah rentak jantung tidak sekata.

“Buat masa ini, kita menawarkan promosi sesi konsultasi dan saringan kesihatan jantung pada kadar masing-masing RM100 dan RM450,” katanya. – K! ONLINE

Risiko banjir kembali meningkat di Terengganu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu memberi amaran episod kedua banjir musim tengkujuh berkemungkinan melanda negeri ini pada lusa.

Jurucakap sekretariat itu berkata, sebahagian kawasan di negeri Pantai Timur berdepan dengan risiko limpahan air laut dan hujan pada tempoh tersebut.

“Ramalan cuaca semasa menunjukkan cuaca tekanan rendah yang terbentuk di perairan barat Sarawak sedang menghampiri perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang mulai esok dan berakhir Jumaat ini.

“Senario itu berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan di kebanyakan tempat di negeri ini sekali gus meningkatkan risiko banjir,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, Stesen Cerapan Kemaman juga meramal paras air laut bakal mencecah 2 meter hingga meter sehingga lusa.

Tambah beliau, aras air laut di Kuala Terengganu pula dijangka mencapai 2.1 meter dan 2.3 meter dalam tempoh sama.

“Sehubungan itu, penduduk di pesisir pantai dan kawasan rendah di negeri ini dinasihat berwaspada dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir sepanjang tempoh berkenaan,” katanya. – K! ONLINE

Maut tertimbus ketika menggali emas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang penternak lembu maut tertimbus di dalam lubang yang digalinya dipercayai untuk melombong emas di Kampung Air Sejuk di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.10 petang itu, mangsa, Mohd. Johari Mohd Asri, 34, gagal menyelamatkan diri selepas tanah digalinya sedalam kira-kira 3.05 meter tiba-tiba runtuh lalu menimbusnya.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sebelum kejadian, Mohd. Johari yang berasal dari Kampung Guntung Dalam di sini dipercayai sedang menjalankan kerja-kerja melombong emas di sebuah tanah kerajaan di pinggir sebuah kebun getah bersama bapa tirinya, Mohd. Salberi Ismail, 60-an.

“Kejadian berlaku selepas hujan lebat yang dipercayai telah menyebabkan struktur tanah liat dan berpasir di kawasan tersebut menjadi lembut.

“Runtuhan berlaku menyebabkan pengadu (Mohd. Salberi) panik dan telah keluar dari kawasan perlombongan itu ke arah jalan (Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu) untuk meminta pertolongan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Afandi berkata, sepasukan anggota polis dan bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 5.20 petang.

Tambah beliau, sebuah jentolak terpaksa digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat Mohd. Johari memandangkan mangsa tertimbus agak dalam.

“Kedudukan mangsa di dalam runtuhan tanah berjaya dikenalpasti pada pukul 7 malam sebelum dia berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian,” katanya. – K! ONLINE