Translate

Wednesday, December 8, 2021

Menularkan rumah dipecah masuk tetapi tidak lapor polis

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu menegur sikap seorang lelaki yang memuat naik status rumahnya dipecah masuk di media sosial tetapi tidak membuat laporan rasmi berhubung kes jenayah itu kepada pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, tambah dikesalkan, dakwaan lelaki kononnya tujuh lagi kediaman kawasan perumahannya di Kampung Bukit Besar di sini turut dipecah masuk didapati tidak benar.

Beliau berkata, hasil semakan pihaknya, tiada sebarang kes pecah rumah pernah dilaporkan di Kampung Bukit Besar dalam tempoh tiga bulan kebelakangan.

"Pengadu juga tidak pernah membuat laporan berhubung rumahnya dipecah masuk kepada pihak polis.

“Dia hanya membuat laporan rasmi selepas dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung status Facebook yang dimuat naiknya pada 3 Disember lalu,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Marzukhi berkata, kenyataan yang dimuat naik lelaki tersebut telah menimbulkan keresahan dan kegusaran dalam kalangan penduduk Kampung Bukit Besar.

Sebelum ini, lelaki berkenaan yang juga seorang peniaga telah memuat naik status mendakwa rumahnya telah dipecah masuk menyebabkan dia kehilangan barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM5,000.

Begitupun, status yang dimuat naik oleh lelaki tersebut pada Jumaat lalu itu didapati telah dipadam tidak lama kemudian. – K! ONLINE

Tuesday, December 7, 2021

Misi APMM bantu penduduk Pulau Redang diserang sawan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Maritim Malaysia (APMM) melakukan misi kecemasan membantu membawa keluar seorang penduduk Pulau Redang di sini yang sakit bagi mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu semalam.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, lelaki warga emas berusia 78 tahun itu telah diserang sawan dan memerlukan rawatan segera di HSNZ.

Beliau berkata, Pejabat Maritim Terengganu telah menerima maklumat berhubung permohonan bantuan perubatan tersebut daripada Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Kuantan pada pukul 2 petang.

“Kapal Maritim (KM) Redang yang mengadakan rondaan pemantauan di sekitar Pulau Redang telah diarahkan bagi melakukan misi bantuan itu.

“Aset APMM tersebut tiba di Jeti Pulau Redang pada pukul 4 petang sebelum pesakit epilepsi (sawan) dibawa keluar untuk mendapat rawatan di HSNZ,” katanya di sini hari ini.

Pulau Redang hanya boleh diakses menerusi jalan laut namun perjalanan menerusi bot amat berisiko berikutan ombak tinggi dan bergelora pada musim tengkujuh ini.

Muhammad Suffi berkata, perjalanan menghantar lelaki warga emas terbabit untuk mendapatkan rawatan memakan masa dua jam. – K! ONLINE

Budak lelaki lemas jatuh paya

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Gara-gara mahu mengambil sebiji bola, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun mati lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah paya di Kampung Gong Beris, Pulau Kerengga di sini semalam.

Mayat Muhammad Syafiq Abdullah ditemukan terapung di kawasan paya tersebut pada pukul 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, kehilangan kanak-kanak lelaki itu disedari oleh ibunya, Siti Maznah Abdul Rahman, 34, pada pukul 6 petang semalam.

“Pada mulanya ibunya menyangka budak lelaki itu bermain di luar rumah seperti kebiasaan tetapi dia risau apabila mangsa tidak juga pulang ke rumah pada pukul 8 malam.

“Wanita itu kemudiannya memaklumkan kehilangan tersebut kepada adik lelakinya sebelum operasi mencari digerakkan dengan bantuan penduduk kampung,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, mayat Muhammad Syafiq yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik ditemukan terapung dalam keadaan hanya berseluar pendek biru tanpa berbaju di kawasan paya terbabit. – K! ONLINE