Translate

Tuesday, June 2, 2015

Operasi jejak peniaga tamak


Oleh MOHD. AZLI ADLAN


PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan melancarkan operasi besar-besaran bagi menjejak peniaga menaikkan harga barangan yang sebelum ini dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di seluruh negara bermula hari ini.
Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Alias Ahmad berkata, operasi itu melibatkan pemeriksaan ke atas 557 barang merangkumi makanan, pakaian, barangan elektrik dan perabot yang sepatutnya mengalami penurunan harga berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April lalu.
“Mulai esok (hari ini) tumpuan penguatkuasaan lebih fokus terhadap peniaga yang tetap mengenakan enam peratus bayaran GST tanpa melupuskan caj SST sebanyak 10 peratus.
“Kita hendak semak sama ada mereka telah menurun­kan harga barangan tersebut atau sebaliknya,” katanya pada sidang akhbar mengenai GST bersama Pengarah Bahagian GST, Kastam Diraja Malaysia, Datuk T. Subromaniam di sini semalam.


Alias berkata, operasi berkenaan turut melibatkan pemeriksaan 22 produk yang dikelaskan dalam kategori sifar peratus GST berbanding dikenakan lima peratus SST sebelum ini.

Menurut beliau, semua barangan terbabit sepatutnya mengalami penurunan harga antara empat hingga lima peratus setelah ditolak daripada caj SST yang dikenakan sebelum ini.

"Senarai barangan itu telah diedarkan dan kita telah mengarahkan pasukan penguat kuasa di peringkat negeri agar mengadakan pemeriksaan di premis-premis seperti kedai runcit, pasar raya, pasar raya besar mulai esok (hari ini).

"Hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua bagi individu manakala bagi kesalahan melibatkan syarikat pula, denda maksimum RM500,000 boleh dikenakan jika sabit kesalahan," katanya.

Monday, June 1, 2015

Pemaju harap statistik perlu lebih telus


KUALA LUMPUR - Syarikat pemaju perumahan menyarankan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) mengambil kira jumlah sebenar permohonan yang ditolak pada peringkat awal bagi memberi gambaran sebenar statistik penolakan pinjaman perumahan oleh bank di Malaysia.

Pengarah Urusan IJM Land, Edward Chong Sin Kiat berkata, walaupun beliau tidak mempertikaikan statistik ABM bahawa terdapat penurunan jumlah permohonan yang ditolak pada tahun lalu, namun statistik tersebut akan lebih telus jika ABM turut mengambil kira permohonan dari peringkat pertama.

"Kadar permohonan yang bank tolak secara terus mungkin tidak banyak jika telah melalui beberapa peringkat berbanding jika dikira pemohon mula-mula berurusan dengan pihak bank.

"Selain itu, sekiranya pihak bank memotong kelulusan peratusan pinjaman rumah contohnya daripada 90 peratus kepada 70 peratus, ia juga harus dikira sebagai satu penolakan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Sin Kiat berkata, selain itu, polisi yang menetapkan pengiraan mereka yang layak memohon pinjaman berdasarkan pendapatan bersih ditolak pelbagai komitmen seperti bayaran bulanan kereta dan kad kredit sudah pasti menjadikan pemeriksaan kredit kini jadi lebih ketat.

Bank Negara Malaysia pada tahun 2012 mengetatkan syarat pinjaman yang memerlukan bank komersial menyemak pendapatan bersih dan bukannya pendapatan kasar pemohon sebelum meluluskan pinjaman bagi memastikan hutang isi rumah dapat dikawal dengan baik.

Sementara itu, Pengerusi UDA Holding Berhad, Datuk Johari Abdul Ghani pula berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan tahap pemeriksaan kredit oleh bank ke atas bakal pembeli.

Bagaimanapun, beliau mengakui fakta harga rumah mahal mungkin menyukarkan orang ramai yang mahu membeli rumah tersebut berbanding mereka yang mahu mendapatkan pinjaman daripada bank untuk membeli rumah mampu milik.

Operasi 557 barangan SST bermula esok - KPDNKK


PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengadakan operasi besar-besaran bermula esok bagi memastikan 557 barangan yang sebelum ini dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diturunkan harga.
Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Alias Ahmad berkata, operasi penguatkuasaan itu akan dilakukan secara serentak di seluruh negara.
Beliau berkata, sepatutnya barangan yang dikenakan SST sebanyak 10 peratus dijual pada harga lebih rendah kerana Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mengenakan caj lebih rendah iaitu hanya enam peratus.
"Namun kami terima banyak aduan pengguna tentang kenaikan harga sesetengah barangan terbabit.
"Operasi penguatkuasaan bertujuan memastikan punca (kenaikan) sekali gus memastikan pematuhan," katanya pada sidang akhbar GST di Kementerian Kewangan di sini hari ini. - KOSMO!