Translate

Friday, December 13, 2013

13 anggota polis wanita jalani kursus Ops Cantas

TANGKAS. Seramai 13 anggota polis wanita termasuk tiga pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menjalani kursus Ops Cantas Khas Wanita di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh, Perak baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, kursus seminggu itu bertujuan memantapkan kemahiran anggota pasukan tersebut bagi mengendalikan operasi pencegahan jenayah berat.
"Pasukan Ops Cantas Khas Wanita Selangor tersebut bakal ditugaskan melakukan tugas-tugas operasi yang selama ini dipikul anggota lelaki," katanya ketika ditemui di pusat latihan itu.

Monday, December 2, 2013

Pembaca gembira tarikh akhir peraduan Kosmo! dilanjutkan

IPOH - Langkah melanjutkan tarikh dua peraduan Kosmo! selama lima hari sehingga 5 Disember ini ternyata menggembirakan ramai pembaca setia akhbar kompak tersebut.

Seorang pembaca, Firdaus Ahmad Termizi, 29, dari Silibin di sini berkata, beliau akan menggunakan peluang tersebut untuk menghantar borang penyertaan Peraduan Cari 9 Kelainan Kosmo! sebanyak mungkin.

"Dengan pelanjutan tarikh akhir penerimaan borang peraduan sehingga 10 Disember ini membolehkan saya menghantar lebih banyak penyertaan peraduan bagi meningkatkan peluang memenangi ganjaran yang ditawarkan,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Nor Helmi Mohd Nor, 29, dari Tanjung Rambutan dekat sini juga melahirkan rasa gembira dengan tindakan Kosmo! itu yang membuka peluang kepadanya menambah bilangan penyertaan.

“Di samping pembaca setia Kosmo! sejak dahulu, saya juga kaki bola. Penyertaan dalam Peraduan Kaki Bola Kosmo! ini bagaikan sambil menyelam minum air.

“Selain membaca berita dan rencana yang penuh informasi, mana tahu berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM10,000 dengan hanya berbelanja RM1 setiap hari,” katanya.

Eksekutif Pengurusan Jenama Kosmo!, Mohd. Fikri Hamdan berkata, kedua-dua peraduan tersebut yang sepatutnya berakhir 30 November ini dilanjutkan selama lima hari lagi berikutan permintaan tinggi daripada pembaca setia Kosmo!.

Dalam Peraduan Cari 9 Kelainan Kosmo!, peserta dikehendaki mencari sembilan perbezaan menerusi lima siri gambar yang berbeza setiap hari.

Bagi Peraduan Kaki Bola Kosmo! pula, peserta perlu meneka kedudukan bola dengan tepat pada setiap lima siri gambar yang berlainan setiap hari.

Hadiah utama bagi kedua-dua peraduan tersebut ialah wang tunai RM10,000, tempat kedua RM5,000 dan tempat ketiga RM3,000 selain hadiah sagu hati berupa Galaxy Note 3 + Gear.

Maklumat lanjut mengenai kedua-dua peraduan itu boleh diperolehi dengan menghubungi Unit Pengurusan Jenama Kosmo! di talian 03-92324429 dan 03-92324430 atau kunjungi Facebook rasmi Kosmo!.

Cardoso pikat panel penilai PAFA

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PEMAIN kelahiran Brazil, Anderson Rodrigues Cardoso semakin hampir untuk menyertai Perak selepas berjaya mempamerkan prestasi memberangsang sejak diserapkan sebagai pemain percubaan pada 27 November lalu.

Ketua jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim berkata, kemampuan dan kelincahan bekas pemain kelab Brazil, EC Taubate setiap kali berada di depan pintu gol telah menarik minat panel penilaian Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang diketuai beliau.

“Setakat ini, dia paling menonjol berbanding enam penyerang import lain yang turut mencuba nasib untuk menyertai pasukan.

"Dia berjaya meledak dua gol dalam kedua-dua penampilannya bersama skuad Perak pada perlawanan ujian menentang Super Star FC dan Melaka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Ipoh semalam.

Selepas menewaskan Super Star FC 2-0 pada 27 November lalu, Perak diikat Melaka 1-1 dalam perlawanan ujian kelima yang berlangsung di Stadium Kubu, Melaka pada kelmarin.

Begitupun, Abu Bakar menjelaskan, pengurusan PAFA masih melakukan penilaian sebelum memuktamadkan kontrak dengan pemain Brazil yang berusia 27 tahun tersebut.

Beliau memberitahu, selain Cardoso, PAFA turut mempertimbangkan seorang penyerang import dari Columbia yang dijangka tiba pada hari ini.

“Pemain bermain lewat 20-an yang beraksi Liga Peru tersebut telah dicadangkan oleh Ketua Jurulatih Akademi Bolasepak PAFA, Marshall Soper.

“Dia akan dinilai dalam masa terdekat. Sekiranya menepati kriteria dikehendaki, saya akan mencadangkan pengurusan untuk mengambil Cardoso dan pemain tersebut,” katanya.

Abu Bakar berkata, pemilihan pemain import terakhir tersebut akan melengkapkan skuad Seladang yang turut dibarisi kapten bawah 23 tahun Myanmar, Kyaw Zayar Win, 22 dan Martin Kafando, 25, dari Burkina Faso.