Translate

Friday, September 7, 2012

Pelesit rempit beraya sebelum berlumba

IPOH - Gaya macam seperti hendak beraya tetapi sebenarnya merempit. Jika pelesit  rempit  menguasai Lebuh  Raya  Besraya di Selangor, masalah yang sama juga berlaku di Ipoh.

Perangai segelintir remaja yang menjadikan Lebuh  Meru   Raya , Bandar  Meru   Raya  di sini sebagai litar perlumbaan semakin menjadi-jadi hampir setiap malam sejak awal Ramadan lalu.

Tinjauan Kosmo! mendapati sekumpulan pelesit  rempit  yang sebahagian besar dipercayai pelajar sekolah menunggang laju motosikal masing-masing di laluan yang juga susur keluar Lebuh  Raya  Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Jelapang di sini tersebut.

 Biarpun ada di antara mereka berpakaian kain pelekat dan berkopiah, ia tidak menjadi halangan untuk melakukan aksi-aksi bahaya seperti Superman, wheelie dan wikang.

Hampir setiap malam, pelesit  rempit  berkenaan mula membanjiri Lebuh  Meru   Raya  yang sepanjang lima kilometer itu antara pukul 9 malam hingga 11 malam.

Seorang penduduk, Mohd. Hasrul Ishak, 47, berkata, berdasarkan pemerhatiannya, laluan utama Bandar  Meru   Raya  tersebut mula menjadi sasaran pelesit  rempit  sejak awal Ramadan lagi.

"Saya syak remaja ini datang dari beberapa taman perumahan berdekatan. Bunyi bising daripada enjin motosikal mereka mengganggu penduduk terutama jemaah yang bersolat berjemaah di surau berhampiran," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Rosnah Harun, 45, pula mendesak pihak berkuasa termasuk polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan mengambil tindakan sebelum perkara buruk berlaku termasuk kemalangan maut.

"Lebuh  Meru   Raya  merupakan laluan yang sibuk dengan kenderaan berat yang mahu memasuki Lebuh  Raya  Utara-Selatan.

"Saya harap kita tak perlu tunggu ada nyawa melayang baru hendak mengambil tindakan mengatasinya," katanya.

Saturday, September 1, 2012

Pertahankan apa yang dimiliki

 KUALA LUMPUR - Segenap lapisan masyarakat menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-55 negara semalam bukan sahaja dalam suasana aman bahkan dapat pula menjalani kehidupan yang jauh lebih selesa dan makmur berbanding lima dekad lalu.

Lebih menarik, mereka menterjemah perasaan syukur itu dengan turun padang untuk berhimpun bersama pemimpin bagi meraikan kemerdekaan yang sangat berharga itu.

Kira-kira 100,000 orang membanjiri Dataran Merdeka di sini pada sebelah pagi untuk menyaksikan perarakan dan persembahan lebih 14,000 peserta bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Keadaan sama turut berlaku di semua negeri apabila rakyat diketuai Menteri Besar dan Yang Dipertua Negeri masing-masing turut mengadakan perarakan kemerdekaan yang tersendiri.

Perhimpunan mega rakyat tidak berhenti setakat itu apabila pada sebelah malam, kira-kira 150,000 memenuhi setiap inci Stadium Nasional Bukit Jalil di sini sempena Himpunan Merdeka 55 Tahun: Janji Ditepati.

Sehubungan itu, Najib dalam ucapannya mengajak rakyat Malaysia terus memperkukuh benteng perpaduan dalam mempertahan kemerdekaan negara yang dikecapi dan mahu setiap individu bersama-sama memacu negara ke arah mercu kejayaan lebih unggul.

Perdana Menteri juga menyeru rakyat untuk bersatu dan berusaha dengan kepimpinan negara bagi menjayakan agenda transformasi yang telah dan akan dilaksanakan.

Beliau berkata, setelah 55 tahun merdeka, Malaysia kini boleh dianggap sebagai sebuah negara yang berjaya dan semakin hari semakin kaya, makmur serta kuat.

"Beringatlah bahawa sesungguhnya kemerdekaan itu hanya mengetuk pintu setiap pertiwi sekali saja.
"Marilah berganding berjuang pertahan kemerdekaan ini dengan barisan yang rapat lagi kukuh di setiap penjuru dan setiap ketika.

"Lebih rapat lagi ketika pihak seteru dan pembangkang cuba memporak-perandakan negara kita," katanya.
Terdahulu, pada sebelah pagi, orang ramai berhimpun di Dataran Merdeka untuk menyaksikan perarakan 14,464 peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Perarakan tersebut disifatkan oleh Najib sebagai bukti bahawa rakyat mempunyai semangat kecintaan dan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada negara.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Sambutan turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun.

Antara acara menarik yang memberi kelainan ialah tarian flash mob dan persembahan koir daripada 135 sukarelawan 1M4U.

Perarakan kali ini disertai oleh 96 kenderaan terdiri kereta mewah, bas dan teksi, formasi 13 buah pesawat udara, perarakan 29 kontijen pelbagai organisasi dan pakian seragam serta tujuh pasukan pancaragam.

  Sementara itu di Melaka, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyambut kemerdekaan di Dataran Pahlawan dengan memotong kek sepanjang 16.8 meter bagi meraikan seramai 358 bayi yang lahir selepas detik 12 tengah malam semalam.

Di Kuching, Sarawak,Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyifatkan ratu terjun negara, Pandelela  Rinong Pamg sebagai simbol kemerdekaan negara berikutan kejayaan meraih gangsa dalam Sukan Olimpik London bulan lalu.

Di Kota Kinabalu, Sabah, persembahan ‘Jiwa Merdeka’  dipertontonkan oleh 750 belia berbilang kaum dalam me nunjukkan ekspresi jiwa muda itu sendiri bagi memahami  pengertian merdeka.

Di Kuantan, Pahang, sebanyak 91 kontinjen menyertai perbarisan  termasuk Polis Diraja Malaysia,  Jabatan Bomba dan Pe nyelamat, Jabatan Pelajaran serta gabungan institusi pengajian tinggi.

Di Kluang, Johor pula, sambutan kemerdekaan dimeriahkan dengan perarakan yang disertai 85 kontijen dengan melibatkan 1,016 peserta.

Di Seremban, Negeri Sembilan, sebanyak 100 kontinjen dengan 8,000 orang yang me  wakili jabatan dan agensi kerajaan dan swasta mengambil bahagian dalam sambutan kemerdekaan.

Keadaan turut meriah di Ipoh, Perak apabila kira-kira 10,000 orang di perkarangan Dewan Ban daran seawal pukul  7 pagi untuk menyaksikan sambutan  Hari Kemerdekaan.

Hias rumah sempena merdeka

 IPOH - Sepasang suami isteri menzahirkan semangat patriotik mereka apabila menghiasi pekarangan rumah mereka dengan dekorasi bertemakan Hari Kemerdekaan ke-55 di Medan  Klebang   Restu , Chemor di sini.

Norliya Ibrahim, 57, berkata, dekorasi yang bertemakan 'Janji Ditepati' itu mengandungi susunan Jalur Gemilang, replika pesawat dan rumah tradisional Melayu serta pokok bonsai.

Katanya, sudah menjadi tradisi dia dan suami, Mohd. Aini Odin, 62, menghias pekarangan rumah dengan dekorasi kemerdekaan setiap kali sambutan sejak lima tahun lalu.

"Dekorasi ini digubah dengan menggunakan barangan terpakai mengikut kreativiti kami berdasarkan tema Hari Kemerdekaan tahun berkenaan," katanya ketika ditemui semalam.

Norliya berkata, dia dan suami mengambil masa enam jam untuk menyiapkan dekorasi terbabit yang dilakukannya pada malam 18 Ogos lalu.

Menurut ibu kepada empat anak berusia 22 hingga 32 tahun itu, mereka bercadang untuk mengekalkan dekorasi berkenaan sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan.

"Ini cara saya dan suami yang merupakan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia menunjukkan rasa cinta terhadap tanah air.

"Saya harap ia menjadi contoh kepada generasi muda kerana kemerdekaan bukan mudah dicapai dan perlu dipertahankan sampai bila-bila," katanya.

Jelasnya, dekorasi Hari Kemerdekaan rumahnya pernah mendapat pengiktirafan pada tahun 2008 apabila muncul pemenang utama Program Semarak Perpaduan dalam kategori Keceriaan dan Kebersihan Kediaman anjuran Jabatan Penerangan Perak.