Translate

Thursday, October 7, 2010

Nelayan asing didenda RM200,000


MANJUNG - Mahkamah Majistret Seri Manjung menjatuhi hukuman denda RM200,000 atau penjara enam bulan terhadap seorang tekong sebuah bot nelayan Indonesia, Khairul Saleh, 53, setelah dia didapati bersalah menceroboh perairan negara dekat Pulau Jarak dekat sini pada 27 September lalu.

Majistret Nur Shahidah Abdul Rahim turut memerintahkan tiga awak-awak bot Bintang Kejora yang berpengkalan di Medan, Indonesia itu iaitu Udin Asron, 20, Amir Mat Isa, 37 dan
Juar Baharom, 30, dihukum denda RM20,000 atau penjara enam bulan.

Semua tertuduh yang didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan kebenaran permit menangkap ikan yang sah mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan Pegawai Pendakwa, Leftenan Maritim Mohd. Faizal Ma rzuki.

Berdasarkan fakta kes, Khairul dan tiga tertuduh lain ditahan oleh kapal Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM), KM Marlin ketika sedang memasang rawai untuk menangkap ikan di perairan negara iaitu 18 batu nautika dari barat Pulau Jarak pada 2.08 petang, 27 September lalu.

Sehingga petang semalam, kesemua nelayan terbabit gagal melunaskan bayaran denda tersebut dan ditahan di Penjara Tapah dekat sini.

Kem Kesihatan untuk penghuni rumah kebajikan


TANGGUNGJAWAB. Syarikat perubatan alternatif, Ayur Centre Sdn. Bhd. (Ayur Centre) menganjurkan kem kesihatan perubatan ayurveda (rawatan berasaskan herba dan mineral) kepada penghuni Pertubuhan Jagaan Kanak-Kanak Cacat Setia, Taman Grand Silibin, Ipoh baru-baru ini.

Pengarah Eksekutifnya, Siew Yong Gnanalingam berkata, ia melibatkan 44 penghuni rumah kebajikan terbabit yang rata-ratanya terdiri daripada penghidap sindrom down.

"Kanak-kanak kurang bernasib baik ini akan menerima rawatan ayurveda secara percuma. Program ini merupakan salah satu program tanggungjawab sosial sempena ulang tahun Ayur Centre ke-10 baru-baru ini," katanya.

Kem kesihatan tersebut dirasmikan oleh Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

30 pelanggan leka main judi ditangkap

IPOH - Seramai 30 orang pelanggan termasuk warga emas tergamam di cekup polis ketika leka bertaruh di beberapa premis mesin perjudian haram di sekitar Langkap dan Teluk Intan kira-kira 100 kilometer (km) dari sini pada Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, semua lelaki berusia antara 26 hingga 54 tahun itu ditahan dalam Ops. Dadu yang dilancarkan selama satu jam 15 minit berakhir 7 malam.

“Hasil maklumat orang awam, sepasukan polis terdiri 31 anggota termasuk enam pegawai telah menyerbu empat premis mesin perjudian haram berkomputer di sekitar Langkap dan Teluk Intan,” katanya kepada pemberita semalam.

Dzuraidi berkata, empat lelaki yang dipercayai penjaga pusat mesin perjudian haram berkomputer terbabit turut diberkas dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak 110 buah komputer dan beberapa peralatan elektronik lain yang dipercayai digunakan untuk menjalankan perjudian haram itu juga telah dirampas.

“Polis juga telah meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar memutuskan bekalan elektrik di empat premis terbabit bagi memastikan kegiatan perjudian haram itu tidak ber ulang.

“Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 4 B (a) Akta Rumah Judi Terbuka,” katanya.