Translate

Sunday, March 15, 2009

Emelda kini tunangan Adlin

BERTUNANG. Selepas empat tahun menganyam cinta, pelakon Emelda Rosmila semalam sah menjadi tunangan Adlin Aman Ramli.

Tambah manis apabila mereka ditunangkan pada hari ulang tahun kelahiran Emelda yang ke-29 di rumah pusaka milik keluarganya yang sudah setahun ditinggalkan di Kampung Melayu, Batu 8, Ulu Kinta, Ipoh.

Selain bertukar hantaran lima belas dulang berbalas tujuh, Emelda yang anggun berbaju kurung moden berwarna putih disarung cincin pertunangan oleh ibu saudara Adlin, Jumaiyah Sidek di atas pelamin indah bertema putih dan hitam.

Pasangan tersebut sepakat untuk melangsungkan pernikahan pada hari ulang tahun kelahiran Adlin ke-37 pada 23 Mei ini dengan mas kahwin RM1,001 dan wang hantaran RM30,000.

Turut hadir pada majlis pertunangan mereka ialah ibu Adlin, pelakon veteran, Ruminah Sidek, kakak Emelda, pelakon Emylia Rosnaida, produser filem, Raja Azmi Raja Sulaiman dan sanak keluarga terdekat.

MBI arah roboh segera plak PR

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Tidak sampai 24 jam selepas plak peringatan yang dibina parti Pakatan Rakyat ( PR ) di bawah pokok Jemerlang yang menjadi lokasi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 3 Mac lalu dirosakkan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pula mengeluarkan arahan agar ia segera dirobohkan.

Menurut notis yang dikeluarkan Pegawai Undang-Undang MBI, Syahrul Azrin Ghazali, plak peringatan terbabit yang berada di rizab jalan di Persiaran Istana di sini itu telah didirikan tanpa kebenaran pihaknya.

Syahrul Azrin berkata, pembinaan plak berkenaan bercanggah dengan Seksyen 46 (1) (a) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan sehubungan itu pihak bertanggungjawab dikehendaki untuk meruntuhkan struktur terbabit dalam tempoh 24 jam.

"Sekiranya arahan ini tidak dipatuhi, struktur plak berkenaan akan diruntuhkan MBI dan segala kos dan belanja memusnahkannya akan ditanggung oleh pihak yang membinanya," katanya dalam notis beramaran yang dikeluarkan lewat petang kelmarin.

Akhbar semalam melaporkan plak peringatan terbabit dipecahkan pihak tertentu tidak sampai lima hari selepas dipacakkan.

Sebahagian besar plak yang dibina daripada batu marmar berwarna hitam itu pecah terutama bahagian tepi dan bertaburan di atas tanah.

Dalam pada itu, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming dalam reaksi balasnya bukan sahaja enggan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu malah masih mahu meneruskan hasrat untuk membina plak baru yang lebih besar dan cantik bagi menggantikan tugu yang dipecahkan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis itu berkata, plak terbabit akan mengandungi empat bahasa iaitu bahasa Inggeris, Tamil, Cina dan Melayu.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis berhampiran mendapati plak itu dimusnahkan oleh seorang individu dengan benda keras dipercayai tukul besi pada kira-kira 1.30 pagi semalam (kelmarin).

"Bagaimanapun, imej individu tersebut kabur kerana agak jauh dengan CCTV dan lokasi itu pula agak gelap. Begitupun kami tetap akan membuat laporan polis mengenai kes itu pada Isnin ini," katanya pada sidang media di Wisma DAP Perak di sini semalam.

Tinjauan Kosmo! Ahad semalam pula mendapati keadaan plak peringatan semakin teruk apabila ia disimbah pula dengan cecair tar.

Friday, March 6, 2009

Sidang DUN pokok: Polis terima 31 laporan

IPOH - Polis Perak mengesahkan menerima 31 laporan mengenai perhimpunan haram yang terjadi berikutan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 'tergempar' di bawah pokok beringin berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada 3 Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, 14 laporan itu disiasat di bawah Kanun Keseksaan, lima di bawah Akta Hasutan dan 12 kerana mengedarkan risalah yang berunsur hasutan.

"Semuanya sedang disiasat namun pendirian pihak polis jelas, ia merupakan perhimpunan haram dan sesiapa yang menghadirinya bakal dikenakan tindakan undang-undang.

"Pihak polis juga telah mengenal pasti kebanyakan peserta perhimpunan haram itu. Sebagai permulaan pihak polis mengemukakan enam foto suspek yang disyaki terlibat," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.

Sebelum itu, beliau menyaksikan upacara serah tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak daripada pemangku jawatan itu, Asisten Komisioner Zulkifli Hassan dengan Pemangku Senior Asisten Komisioner II, Mohd. Dzuraidi Ibrahim Zulkifli.

Zulkifli meminta individu terbabit memberi keterangan di balai polis berhampiran dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Beliau juga mengesahkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Perak hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kelmarin untuk memberi keterangan pembabitan mereka dalam perhimpunan haram terbabit.

Sementara itu, semua anggota Dewan Undangan Negeri Perak daripada pakatan pembangkang yang menghadiri 'persidangan tergempar' dewan itu akan dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan.