Translate

Saturday, August 1, 2026

Dua remaja disyaki ‘sentuh’ rakan perempuan 15 tahun diberkas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Dua remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan dakwaan merogol seorang remaja perempuan di Jerteh, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Rozaime Ab. Rahim berkata, penahanan itu berikutan aduan diterima mangsa yang berusia 15 tahun.

“Mangsa mendakwa telah diperkosa di sebuah rumah penginapan di Jerteh di sini pada pukul 6 petang, semalam. Dia kemudiannya telah dibawa ke Hospital Besut di sini untuk pemeriksaan,” katanya di sini, hari ini.

Mohd. Rozaime berkata, dua remaja lelaki terbabit kemudiannya telah diberkas tidak lama kemudian bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.

“Kesalahan jenayah seksual melibatkan golongan remaja amat dipandang serius. Golongan remaja dinasihatkan sentiasa utamakan keselamatan diri, jaga batas pergaulan dan elakkan diri daripada terlibat situasi yang mendedahkan diri dengan risiko jenayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Friday, July 31, 2026

Terengganu tawar lesen motosikal percuma

 

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri meneruskan program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) secara percuma buat kali ketiga kepada golongan belia di Terengganu bermula bulan depan.

 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, menerusi program itu, pihaknya menyasarkan 15,000 belia berusia 18 hingga 40 tahun melibatkan peruntukan RM4.56 juta. 

“Belia yang layak akan dibiayai kos lesen motosikal bernilai RM310 termasuk insurans,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan boling golek santai bersama pengamal media di sini kelmarin. 

Menurut beliau, kos itu merangkumi bayaran pendaftaran, ujian berkomputer, latihan dan ujian praktikal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Program LMTS itu dilaksanakan sejak 2019 dengan 40,000 belia Terengganu menerima manfaatnya. “Pada 2019, seramai 25,000 belia memperoleh lesen motosikal dan 15,000 orang pada 2020/21,” katanya.

 Belia Terengganu yang berpendapatan bawah RM1,500 sebulan boleh memohon LMTS menerusi portal https://ibantuan.terengganu.gov.my bermula 6 Mac sehingga 20 Mac ini.

Tasik Kenyir dilengkapi kemudahan jeti tambatan bot lebih sistematik

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Destinasi pelancongan terkenal, Tasik Kenyir terus diperkasa dengan kemudahan baharu, jeti tambatan bot yang bertujuan mengawal selia rumah bot di Pengkalan Lawit di sini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Ketengah (Ketengah), Datuk Rozi Mamat berkata, projek bernilai RM8.7 juta terbabit membolehkan 40 buah rumah bot Tasik Kenyir berlabuh bagi tujuan penyelenggaraan pada satu-satu masa.

“Setiap unit tambatan bot tersebut dilengkapi bekalan elektrik dan air selain kemudahan rumah sampah berpusat.

“Ia membolehkan lebih 80 pengusaha menyelenggara rumah bot mereka dengan lebih sistematik,” katanya selepas merasmikan Jeti Tambatan Bot
di Pengkalan Lawit di sini hari ini.

Rozi berkata, kemudahan jeti tambatan bot tersebut juga bagi mengurangkan kesesakan di Pengkalan Gawi yang merupakan jeti utama kemasukan pelancong ke Tasik Kenyir.

Beliau berkata, jeti tambatan bot tersebut turut menyediakan menyediakan 30 unit pontun untuk bot laju.

“Kemudahan sama juga dilengkapi 86 perak tempat meletak kenderaan, tandas awam, rumah pam, pos pengawal, pencawang elektrik dan laluan pejalan kaki sepanjang kira-kira 600 meter.

“Semoga kemudahan yang lebih moden, selamat dan tersusun ini memberi keselesaan kepada pengusaha rumah bot dan bot laju yang menjadi nadi kepada sektor pelancongan Tasik Kenyir,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kontraktor rugi RM254,000 diperdaya skim pinjaman palsu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang kontraktor binaan berputih mata bukan sahaja tidak mendapat pembiayaan dimohon, malah simpanannya berjumlah RM254,000 pula yang lesap diperdaya skim pinjaman tidak wujud.

Lelaki berusia awal 40-an yang menyedari tertipu tersebut telah membuat laporan berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 1.14 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, kontraktor tersebut tertarik dengan iklan tawaran pinjaman wang yang dilihatnya menerusi laman Facebook di Manir di sini pada 31 Mac lalu.

“Mangsa berhasrat untuk memohon pembiayaan sebanyak RM200,000 sebelum bertemu individu tidak dikenali mendakwa kononnya pegawai syarikat pinjaman wang terbabit di sebuah restoran di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Kuala Terengganu di sini.

“Sewaktu pertemuan itu, suspek mengemukakan dokumen kononnya perjanjian pinjaman wang bagi meyakinkan mangsa,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, kontraktor terbabit yang terperdaya mengikut arahan suspek membuat pembayaran kononnya untuk kelulusan permohonan pinjaman terbabit.

Beliau berkata, pindahan wang keseluruhan RM254,000 dilakukan menerusi 23 transaksi antara 24 Jun hingga Sabtu lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Nordin ‘benteng’ terakhir batik lukis tradisional

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang pengusaha kraf dari Kampung Tasik di sini terus komited memperjuangkan seni pembuatan batik lukis tradisio­nal Terengganu yang diusahakannya sejak lebih 40 tahun lalu.

Nordin Chik, 59, juga percaya bahawa dia merupakan satu-satunya pengusaha batik lukisan tangan yang masih aktif di ­daerah ini dan tekad untuk terus mempertahankan seni warisan Terengganu tersebut sehingga ke akhir hayatnya.

“Saya mula mempelajari seni pembuatan batik lukis tangan di Perbadanan Kemajuan Krafta­ngan Malaysia Cawangan Terengganu, Kuala Terengganu ketika berusia 19 tahun pada tahun 1985.

“Selepas tamat pengajian, saya terus menimba ilmu dan mencari pengalaman dengan beberapa pengusaha batik lukis tangan selama dua tahun,” kata­nya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tasik, semalam.

Menurut bapa kepada lapan orang anak itu, dia kemudiannya memberanikan diri untuk me­ngusahakan perniagaan batik lukis tangan di kampung halamannya pada lewat tahun 1980-an.

Sepanjang penglibatannya, beliau telah menghasilkan lebih 5,000 rekaan batik lukis tangan dan kesemua produk tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat seni fabrik di seluruh negara.

“Berbeza dengan batik cetak yang proses pembuatannya lebih cepat dan menjimatkan kos, seni batik lukis tangan memerlukan penelitian yang tinggi serta tenaga kudrat yang optimum.

“Biasanya, saya hanya mampu menyiapkan maksimum dua pasang batik lukis dalam sehari menggunakan lapan meter kain,” kata beliau.

Nordin menambah, kesemua rekaannya dihasilkan dengan corak yang berbeza berdasarkan daya imaginasi sendiri serta mengikut kehendak pelanggan.

Sehingga kini, corak berasaskan motif flora (bunga) kekal menjadi pilihan utama para pelanggan untuk dilakar pada kain batik tersebut.

“Saya menjual sepasang batik lukis tangan pada harga antara RM120 hingga RM250 bergantung pada jenis corak dan material kain yang digunakan.

“Memang tidak dinafikan batik lukis tangan lebih mahal berbanding batik cetak. Namun, selain nilai keunikan coraknya, kualiti kainnya juga mampu bertahan lama tanpa luntur warna­nya walaupun sudah menjangkau puluhan tahun,” katanya.

APMM gagalkan cubaan seludup masuk 2 juta rokok

 

KUALA TERENGGANU - Cubaan sebuah sindiket untuk menyeludup masuk dua juta batang rokok jenama terkenal berjaya digagalkan Maritim Mа laysia (APMM) di muara Sungal Setiu berhampiran Penarik, Setiu kelmarin.  

Dalam operasi pada 5.30 pagi itu, tiga anggota sindiket sanggup meninggalkan bekalan rokok bernilai hampir RM1.2 juta itu dan terjun ke tengah laut bagi mengelak diri daripada diberkas. 

Rokok seludup dalam kuantiti banyak tersebut dipercayal mahu dibawa masuk untuk pasaran Pantai Timur bagi memenuhi permintaan tinggi pada musim perayaan tidak lama lagi. 

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, aktiviti penyeludupan itu berjaya dikesan berikutan risikan selama beberapa hari. 

"APMM Terengganu telah membentuk dua kru yang masing-masing bersiap sedia di perairan dan daratan. "Pemantauan mendapati tiga suspek telah mudik ke muara Sungai Setiu menggunakan bot pancung sebelum memunggah masuk ke dalam sebuah lori yang diletakkan di tebing sungai itu," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini semalam. 

Mohd. Khairulanuar berkata, ketiga suspek tersebut segera melarikan diri ke arah laut dengan menggunakan bot pancung sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuаsa APMM. 

"Pemeriksaan di dalam bot pancung dan lori kemudiannya menjumpai timbunan kotak dibalut dalam plastik hitam yang mengandungi dua juta batang rokok disyaki diseludup," katanya.

Pendaki maut di puncak Bukit Maras

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seorang lelaki meninggal dunia selepas tiba-tiba rebah dipercayai akibat tekanan darah tinggi sewaktu berada di puncak Bukit Maras, di sini hari ini.

Mangsa, Nazli A. Hamid, 53, yang merupakan peminat aktiviti mendaki dikatakan tiba-tiba tidak sedarkan diri di puncak bukit itu pada pukul 6.48 petang.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Muhammad Al Fadil Mat Amin berkata, seramai enam anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kes tersebut.

“Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian. Mayat mangsa kemudiannya dibawa turun ke kaki bukit sebelum diserah kepada pihak polis,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor yang dihubungi mengesahkan kematian Nazli dipercayai akibat penyakit tekanan darah tinggi.

Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – KOSMO! ONLINE

Thursday, July 30, 2026

Op Lejang Terengganu berkas tujuh pekerja bengkel

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai tujuh pekerja bengkel membaiki kenderaan dan premis alat ganti kenderaan baharu dan terpakai sekitar negeri ini telah ditahan dalam Op Legang Khas yang dilancarkan selama enam hari sehingga kelmarin.

Kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 43 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kecurian kereta dan motosikal.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, pemeriksaan telah dilakukan terhadap 66 premis seluruh negeri ini sepanjang tempoh operasi bermula 19 Julai lalu.

“Operasi tersebut bertujuan memastikan premis-premis terbabit tidak terlibat dalam aktiviti membeli atau menjual alat ganti kenderaan curi.

“Tiada kenderaan curi ditemui namun beberapa alat ganti motosikal, komponen enjin dan topi keledar yang mencurigakan telah disita bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Khairi berkata, empat suspek telah ditahan selepas gagal memberi keterangan terhadap pemilikan alat ganti kenderaan terhadap di premis perniagaan mereka.

Beliau berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

“Tiga lagi suspek ditahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan mencuri motosikal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Buang bayi di pekarangan masjid

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Ahli kariah sebuah masjid digemparkan dengan penemuan bayi perempuan dipercayai dibuang di pekarangan rumah ibadat itu di Kuala Besut di sini hari ini.

Bayi yang masih bertali pusat itu dijumpai seorang ahli kariah yang mahu menunaikan solat subuh di masjid berkenaan pada pukul 5.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Rozaime Ab. Rahim berkata, siasatan awal mendapati bayi itu dimasukkan ke dalam beg kain sebelum diletakkan di pekarangan masjid.

“Polis percaya bayi itu baru dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam. Mangsa dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Besut di sini dan dilaporkan dalam keadaan sihat,” katanya ketika dihubungi Kosmo!  hari ini.

Mohd. Rozaime berkata, susulan penemuan itu, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di talian 09-6959999 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Luruan angin kuat, tekanan rendah punca banjir di Johor

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Luruan angin kuat dibawa dari Laut China Selatan sepanjang minggu lalu punca hujan lebat luar biasa selama 96 jam yang menyebabkan banjir besar di negeri-negeri selatan tanah air terutamanya di Johor. 

Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, luruan angin kuat itu telah membentuk tekanan rendah membawa kelembapan tinggi di negeri-negeri di selatan tanah air dan barat daya Sarawak. 

“Taburan hujan lebat luar biasa tersebut juga berkaitan dengan fenomena La Nina,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. 

Kosmo! melaporkan hujan lebat selama 96 jam sejak 28 Februari lalu telah menenggelamkan banyak kawasan di Johor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak sejak 1 Mac lalu. 

Beberapa warga emas di Segamat memberitahu, banjir yang melanda daerah tersebut baru-baru ini antara yang terburuk dan hampir menyamai bah besar tahun 1948. 

Jing Xiang berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia juga meramalkan luruan angin membawa hujan lebat tersebut telah berakhir kelmarin. 

Jelas beliau, walaupun jarang berlaku, banjir besar pada hujung Monsun Timur Laut bukanlah luar biasa dan ia pernah berlaku di Hulu Terengganu pada akhir Februari tahun lalu.

 “Musim tengkujuh hanya akan berakhir pada awal Mac bergantung kepada atmosfera bumi. “Selagi musim tengkujuh belum benar-benar berakhir, kita masih perlu berjaga-jaga tentang kemungkinan taburan hujan lebat yang membawa risiko banjir,” katanya.

Mangsa bot candat karam dilindungi Skim Lindung 24 jam Perkeso

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu tadbir Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang cedera dalam nahas bot karam sewaktu mencandat sotong di perairan Kuala Nerus dekat sini pada awal bulan ini layak menerima manfaat skim Lindung 24 Jam dilancarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) baru-baru ini.

Jurucakap Perkeso Terengganu berkata, Muhammad Farris Zakwan Mohd. Ibrahim, 33, yang berasal dari Kuala Lumpur menerima manfaat skim tersebut berjumlah keseluruhan RM1,368.

“Ia merangkumi faedah perubatan dan faedah hilang upaya sementara sebagai ganti pendapatan bagi tempoh cuti sakitnya pada 4 Julai hingga 21 Julai lalu (semalam).

“Pencarum (Muhammad Farris Zakwan) juga layak menerima rawatan fisioterapi berterusan bagi pemulihan tangan yang cedera akibat kemalangan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu Muhammad Farris Zakwan yang merupakan salah seorang daripada 10 pemancing mengikuti trip mencandat sotong di dalam bot karam tersebut hadir menerima manfaat tersebut di Pejabat Perkeso Terengganu di sini.

Kosmo! Ahad 5 Julai lalu melaporkan melaporkan bot milik Mohd. Awais Sa’ari, 40, karam sewaktu membawa 10 pemancing termasuk Muhammad Farris Zakwan untuk mencandat sotong di perairan Kuala Nerus dekat sini.

Insiden pada pukul 8.40 malam itu mengorbankan Ahmad Nasaruddin Mohd. Jalil, 37, yang bertugas sebagai kru bot sambilan.

Jurucakap Perkeso Terengganu berkata, kos rawatan fisioterapi berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh agensi tersebut. – KOSMO! ONLINE

Dua rakan didakwa rompak dua kedai runcit

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merompak dua kedai runcit berasingan di daerah Besut dekat sini melibatkan kerugian keseluruhan RM1,300 pada akhir bulan lalu dan awal bulan ini.

Kedua-dua tertuduh, Muhammad Aidil Adhar Ruzi, 24, dan Mohd. Noorhermie Mazuki, 35, membuat pengakuan bersalah sebaik kesemua pertuduhan terbabit dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.

Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka didakwa merompak sebuah kedai runcit dengan bersenjatakan sebilah parang di Kampung Pengkalan Nyireh, Besut pada pukul 12.24 tengah malam, 7 Julai lalu.

Muhammad Aidil Adhar dan Mohd. Noorhermie didakwa melarikan wang tunai RM800 milik pengusaha kedai runcit itu yang merupakan seorang wanita berusia 53 tahun.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan jika sakit kesalahan.

Mereka bersama seorang lagi yang masih bebas turut menghadapi satu lagi pertuduhan merompak sebuah kedai runcit lain di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut juga dengan bersenjatakan sebilah parang pada 1.54 pagi, 29 Jun lalu.

Muhammad Aidil Adhar dan Mohd. Noorhermie didakwa melarikan wang tunai RM500 milik pengusaha kedai runcit itu yang merupakan seorang wanita berusia 37 tahun.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sakit kesalahan. – KOSMO! ONLINE


Pelajar tingkatan empat maut, motosikal dirempuh Proton Wira

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penarik di sini maut selepas motosikal ditunggang dirempuh kereta Proton Wira yang terbabas di Jalan Kampung Mangkuk di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 8.50 malam itu, mangsa, Che Muhammad Alif Ikhwan Che Amat, 16, meninggal dunia akibat parah pada kepala dan beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Mohd. Zain berkata, ketika kejadian, remaja itu dikatakan dalam perjalanan ke Kampung Penarik.

“Sebaik tiba di lokasi itu, motosikal Honda AFS110 yang ditunggangi mangsa dirempuh kereta Proton Wira yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.

“Kereta dari arah Kampung Penarik itu dikatakan hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan,” katanya di sini hari ini.

Zahril Asri berkata, pegawai perubatan mengesahkan Che Muhammad Alif Ikhwan meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pemandu Proton Wira yang cedera turut dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Bayi menangis kelaparan susu ibu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN dan NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

DUNGUN – Suasana pilu menyelubungi majlis pengebumian mangsa pembunuhan kejam, arwah Rubiah Sabtu selepas ba­yinya yang berusia tiga bulan menangis ketika jenazah disolatkan dipercayai kerana kelaparan.

Ini berikutan, Nur Kaira Damia yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik itu sebelum ini menyusu badan ibunya.

Selepas kematian ibunya, Nur Kaira terpaksa menyesuaikan diri meminum susu formula.

Bekas ibu mentua mangsa, Wan Zaini Wan Abdullah, 60, berkata, arwah Rubiah seolah-olah tahu dia akan ‘pergi’ apabila kerap berpesan kepadanya supaya menjaga enam anaknya ha­sil perkahwinan terdahulu jika dia sudah tiada.

Arwah membuat pesanan itu setiap kali mereka bertemu sejak beberapa bulan lalu.

“Arwah beritahu hanya saya dan suami (Aziz Mustapa) tempat dia bergantung untuk menjaga anak-anaknya jika dia me­ninggal dunia.

“Sekarang baru saya faham pesanan arwah. Saya dan suami sudah sepakat untuk menjaga enam anaknya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Besi di sini semalam.

Jenazah Rubiah dikebumikan pukul 12 tengah hari semalam dan dihadiri 50 ahli keluarga dan sanak-saudara.

Bercerita lanjut, Wan Zaini memberitahu, walaupun arwah Rubiah sudah berpisah dengan anaknya lebih empat tahun lalu, namun dia sudah menganggap pengusaha kedai runcit itu se­perti anaknya sendiri.

Jelasnya, hubungan mereka masih baik walaupun arwah Rubiah sudah berkahwin lain de­ngan suspek kira-kira setahun lalu.

Wanita itu dan suaminya sepakat untuk membawa anak-anak arwah iaitu Nur Daniela Danissya, 11; Muhammad Adam Darwisy, 9; Muhammad Danial Naufal, 7 dan Muhammad Dani Lutfi, 5, untuk menetap bersama mereka di Tangga Batu, Melaka.

“Dua lagi anak arwah yang berusia 18 dan 15 tahun iaitu Muhammad Daniel dan Muhammad Danish Hakim pula kami serahkan kepada mereka sama ada mahu mengikut kami atau bapa mereka,” katanya.

Wan Zaini menambah, dia dan suaminya juga berhasrat mahu menjaga anak bongsu arwah hasil perkahwinan kedua sekiranya tiada ahli keluarga lain yang mahu menjaga bayi tersebut,” ­katanya.

Dalam pada itu, anak arwah, Mohamad Daniel memberitahu, dia tidak menyangka bapa tiri­nya tergamak membunuh ibunya kerana hubungan mereka dilihat amat baik.

“Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya punca ayah (suspek) bertindak sekejam itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek seorang tukang rumah berusia 32 tahun direman tujuh hari bermula semalam. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan termasuk bagi mengetahui motif kejadian.

Kosmo! semalam melaporkan seorang wanita ditemui mati de­ngan kesan kecederaan di muka di ruang tamu rumahnya di Kampung Besol, Bukit Besi dipercayai dibunuh suaminya.

Lelaki itu turut meracau mahu membunuh diri, namun berjaya ditenteramkan ahli keluarga sebelum serah diri di balai polis.

Solat hajat doa kesejahteraan Sultan Mizan di masjid, surau esok

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Semua masjid dan surau di negeri ini diarahkan untuk mengadakan solat hajat khas bagi mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam kenyataannya memohon kerjasama pengurusan masjid dan surau di seluruh negeri ini untuk melaksanakan solat hajat khas tersebut.

Menurutnya, pelaksanaan solat hajat tersebut bagi memohon Allah memberima kesihatan baik, kesejahteraan berpanjangan dan dipermudah urusan buat Sultan Mizan.

Solat hajat khas itu akan diadakan selepas solat Jumaat di semua masjid di Terengganu esok.

Bagi surau pula, solat hajat khas sama akan diadakan selepas solat isyak hari sama.

Sehubungan itu, JHEAT menyeru semua umat Islam di negeri tersebut agar sama-sama mendirikan solat hajat khas berjemaah terbabit.

Sebelum ini, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, telah dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu berkuat kuasa 15 April lalu.

Pelantikan tersebut berikutan Sultan Mizan dinasihatkan pegawai perubatan
untuk berehat daripada semua tugas rasmi.

Upacara pemasyhuran pelantikan Pemangku Raja Terengganu berlangsung di Istana Terengganu, Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

Wednesday, July 29, 2026

Dugaan berganda pembuat jebak

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Ujian menimpa seorang suri rumah apabila suami yang menjadi tulang belakang keluarga diuji dengan masalah kesihatan berterusan sejak setahun lalu.

 Nor Afida Akma Mohamad, 44, berkata, suaminya, Mohd. Nor Aziz, 46, yang membuat kerja perangkap burung atau jebak untuk menyara keluarga diserang strok di rumah mereka di Kampung Pantai Ali, Hulu Terengganu pada Jumaat lalu.

 “Serangan (strok) itu berlaku tiba-tiba pada waktu maghrib (Jumaat lalu) menyebabkan pergerakan suami menjadi lemah dengan bahagian muka kirinya herot. 

“Saya panik terus meminta pertolongan jiran dan ahli keluarga terdekat,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Nor Afida memberitahu, suaminya, Mohd. Nor yang merupakan bekas graduan Universiti Islam Antarangsa Malaysia kemudiannya dikejarkan ke Hosptal Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dengan ambulans. 

Ibu kepada tiga anak berusia lapan hingga 14 tahun itu memaklumkan sebelum ini, dua jari kaki suaminya telah dipotong akibat komplikasi diabetes kronik pada Mac tahun lalu. 

“Saya tidak menyangka kami diuji lagi dengan kesihatan suami dalam tempoh hampir setahun selepas dua jari kakinya dipotong, walau bagaimanapun kami reda dengan ujian ini.

 “Walaupun masih lemah dan pertuturannya tidak lancar, suami masih sempat mengingatkan saya tentang tempahan jebak yang masih belum dihantar kepada pelanggan,” kata wanita itu.

 Nor Afida menambah, suaminya rungsing kerana perlu berehat lama daripada membuat jebak kerana ia merupakan satu-satunya sumber pendapatan mereka sekeluarga. 

Wanita itu cuba menenangkan suaminya dan berjanji akan mengambil alih tanggungjawab menghasilkan jebak sehingga kesihatan pasangannya kembali pulih. 

“Kehidupan perlu diteruskan apatah lagi kelengkapan persekolahan dan persiapan raya anak-anak perlu disediakan. 

“Saya tidak pernah berhenti berdoa agar suami yang sedang menerima rawatan di HSNZ kembali sihat seperti sediakala,” katanya.

 Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Agrobank Mohd. Noor bernombor 2-00-6561- 00013992-8 atau menghubungi Nor Afida Akma di talian 011- 36599550

PRN N. Sembilan: Kerjasama BN, PN bukan wayang, kongsi dasar sama

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Pas menyangkal dakwaan kononnya kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hanya wayang politik semata-mata.

Sebaliknya, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang percaya penyatuan kali ini lebih erat kerana parti tersebut dan UMNO yang menjadi tunjang BN memperjuangkan dasar sama iaitu ketuanan Islam dan Melayu.

“(Sebelum ini) perselisihan (Pas dan UMNO) atas perkara cabang, dasar tiada khilaf. Pas berdasarkan Islam, UMNO berdasarkan Melayu.

“Melayu dan Islam tidak berpisah. Kita (Pas dan UMNO) berbalah pendekatan sahaja,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila di sini hari ini.

BN dan PN menjalin kerjasama politik dengan masing-masing bertanding 25 dan 11 kerusi dalam PRN Negeri Sembilan dijadual berlangsung 1 Ogos ini.

Abdul Hadi berkata, kerjasama BN dan PN sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan sejak hari penamaan calon seminggu lalu berjalan sangat baik.

Menurutnya, pemimpin kedua-dua parti gabungan telah berkempen bersama-sama malah beliau juga dijadual turun ke Negeri Sembilan pada minggu depan.

“Kita hendak pastikan orang Melayu Islam memerintah Negeri Sembilan. Undi calon Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem daripada BN dan PN.

“Orang bukan Islam jangan takut kerana agama dan politik tidak berpisah dalam Islam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Sultan Mizan zahir penghargaan rakyat doakan baginda

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih terhadap seluruh rakyat yang sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan baginda.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Terengganu, Datuk Mohd. Sophian Abu Bakar berkata, Sultan Mizan yang kini sedang menjalani rawatan susulan dalam keadaan sihat walafiat.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan (Mizan) berada dalam keadaan baik dan akan meneruskan rawatan susulan sebagaimana dijadualkan oleh pasukan perubatan baginda di luar negara.

“Baginda juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan baginda,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mohd. Sophian mendoakan Sultan Mizan dikurniakan kesihatan baik oleh Allah serta urusan baginda dipermudahkan.

Kosmo! Online kelmarin melaporkan, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memohon semua masjid dan surau di negeri ini mengadakan solat hajat khas bagi mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Sultan Terengganu, Sultan Mizan.

Pelaksanaan solat hajat tersebut bagi memohon Allah memberima kesihatan baik, kesejahteraan berpanjangan dan dipermudah urusan buat Sultan Mizan.

Solat hajat khas itu diadakan selepas solat Jumaat di semua masjid di Terengganu, semalam manakala bagi surau pula didirikan selepas solat Isyak.

Sebelum ini, Sultan Mizan telah dinasihatkan pegawai perubatan untuk berehat daripada semua tugas rasmi sejak 15 April lalu. – KOSMO! ONLINE

Kosmo! Online kelmarin melaporkan, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memohon semua masjid dan surau di negeri ini mengadakan solat hajat khas bagi mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Sultan Terengganu, Sultan Mizan.

Pelaksanaan solat hajat tersebut bagi memohon Allah memberima kesihatan baik, kesejahteraan berpanjangan dan dipermudah urusan buat Sultan Mizan.

Solat hajat khas itu diadakan selepas solat Jumaat di semua masjid di Terengganu, semalam manakala bagi surau pula didirikan selepas solat Isyak.

Sebelum ini, Sultan Mizan telah dinasihatkan pegawai perubatan untuk berehat daripada semua tugas rasmi sejak 15 April lalu. – KOSMO! ONLINE

Nelayan dikhuatiri lemas ketika uji bot

SETIU – Seorang nelayan dikhuatiri lemas ketika sedang menguji bot gentian kaca miliknya di Sungai Setiu berhampiran Jeti Kampung Baru Penarik di sini kelmarin. 

Bagaimanapun, bot mangsa, Mohamad Harun, 63, ditemui di kawasan pokok paya bakau di seberang sungai kira-kira 650 meter dari jeti berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Husin berkata, pihaknya menerima laporan daripada isteri mangsa, Kamriah Ali, 65, pada pukul 7 malam. 

Beliau berkata, isteri mangsa memaklumkan kepada pihak polis, suaminya itu tidak pulang ke rumah dan dikhuatiri lemas. 

“Saksi pula menyatakan mangsa sedang membuang air (kecil) dari dalam bot sebelum bot itu berpusing dan menuju ke seberang sungai. 

“Namun, saksi tak mengesyaki bot mangsa bermasalah dan terus pulang ke rumah memandang kan hari sudah hampir gelap,” katanya semalam. 

Sementara itu, Kamriah berkata, sebelum kejadian suaminya itu memberitahu ingin membaiki botnya yang mengalami kebocoran pada pukul 6.45 petang sebelum mengujinya. 

Ujarnya, Mahamad tidak pulang ke rumah hingga pukul 8 malam menyebabkannya berusaha mencarinya sebelum membuat laporan polis. 

“Kami sepatutnya bercuti di Kota Bharu semalam (kelmarin), namun membatalkan rancangan itu kerana suami mahu pergi memukat udang bersama seorang rakan,” ujarnya

Berkelah sambil makan durian di dusun serendah RM50

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Strategi seorang pengusaha durian memper­kenalkan pakej makan durian dalam dusun di Kampung Lubuk Batu di sini sejak bulan lalu mendapat sambutan memberangsangkan.

Mohd. Tarmizi Mamat, 39, berkata, setiap hari seawal pukul 9 pagi, dusun miliknya seluas 3.24 hektar dipenuhi pelanggan yang rata-ratanya mahu merasai pengalaman menikmati raja buah secara segar.

“Pakej makan durian ini bermula sejak 2019, namun sambutannya ada pasang surutnya. Namun musim kali ini yang paling meriah sejak tahun 2023.

“Ramai pelanggan yang berkunjung ke sini hingga lewat petang dan hampir satu tan durian telah terjual setiap hari,” katanya ketika ditemui di dusunnya semalam.

Lelaki itu berkata, walaupun kebanyakan buah yang dijual adalah durian kampung, namun ia tetap maris kerana pelanggan mahu merasai pengalaman memakan raja buah beramai-ramai dalam suasana dusun.

Pakej yang ditawarkan adalah serendah RM50 bagi selonggok enam hingga lapan biji durian mengikut saiz.

“Saya sediakan pangkin, pili air, tandas dan tempat letak kenderaan. Di dusun ini terdapat hampir 100 batang pokok. Pelanggan juga boleh membawa tikar,” katanya.

Tambahnya, pelanggan juga boleh menukar buah baharu secara percuma sekiranya durian yang dibeli rosak. Dia turut menyediakan cendol setiap hari, manakala hidangan nasi berlauk ikan singgang pula disediakan pada hujung minggu.

Katanya, pelanggan yang datang ke dusun bukan sahaja dari daerah ini, malah seluruh Terengganu, Johor dan Selangor.

Lelaki itu berhasrat untuk mengembangkan perniagaan bagi menarik lebih ramai pelanggan termasuk dari Lembah Klang selepas Laluan Rel Pantai Timur beroperasi tahun depan.