Translate

Sunday, August 31, 2025

Kita sudah merdeka, jangan jadi hamba hutang

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

HUJUNG minggu ini, kita akan meraikan Hari Kebangsaan dengan tema Malaysia Madani: Rakyat Disantuni. Ia simbolik kepada negara tercinta yang diasaskan pada 1957 dan telah mencapai kemerdekaan sejak 68 tahun. 

Sambutan bulan kemerdekaan yang kebiasaannya diraikan sehingga Hari Malaysia pada 16 September depan ini wajar dimanfaatkan rakyat negara ini untuk membentuk jiwa yang merdeka. 

Membina jati diri menjadi insan merdeka tidak cukup sekadar mengibar Jalur Gemilang, menyanyikan lagu-lagu patriotik atau menonton perbarisan Hari Kebangsaan semata-mata, tetapi memerlukan kesedaran diri untuk  berubah secara positif. 

Bebaskan diri daripda menjadi hamba penjajahan moden termasuk bebanan hutang. Ketua Program Sarjana Muda Kewangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Siti Nurain Muhmad mengajak rakyat negara ini berazam meningkatkan literasi kewangan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 kali ini. 

 “Sudah masanya, kita mengambil inisiatif menguasai asas pengurusan kewangan seperti penyediaan bajet dan simpanan serta pengurusan hutang. “Pengetahuan ini membantu rakyat Malaysia meningkatkan kemampuan untuk menyimpan dan melabur sekaligus mem bina masa depan yang kukuh,” katanya. 

 Siti Nurain berkata, tahap literasi kewangan rakyat negara ini terutama dalam kalangan belia masih bertahap rendah. Beliau berkata, ia dibuktikan apabila Laporan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) mendapati hanya 36 peratus rakyat negara ini memiliki tahap celik kewangan yang memadai. 

 “Keterbatasan literasi kewangan tersebut memberi kesan terhadap kadar hutang isi rumah negara ini. “Laporan Tahunan Bank Negara 2024 mendapati kadar hutang isi rumah negara pada masa kini berada pada tahap 82.4 peratus, antara tertinggi di Asia,” katanya. 

 Siti Nurain berkata, literasi kewangan rendah menyebabkan ramai golongan belia tempatan mudah terpengaruh dengan budaya konsumerisme dan Fear of Missing Out (FOMO). 

 Katanya, kedua-dua trend terbabit mendorong golongan tersebut terlalu mengutamakan keinginan mengikut gaya hidup mewah termasuk gajet terkini tanpa mengambil kira kemampuan sebenar. 

 “Ramai memanfaatkan kemudahan Beli Dahulu, Bayar Kemudian (BNPL) secara berlebihan tanpa memikirkan implikasi jangka panjang.

 “Ia menjadi antara punca ramai belia terbabit kemudiannya dibebani hutang secara berlebihan,” katanya. 

 Siti Nurain berkata, generasi yang terjerut dengan beban hutang dibimbangi terhad kemampuannya untuk berdikari dan berkembang bersama-sama membina negara. 

 Sehubungan itu, beliau menggesa sambutan Hari Kebangsaan ke-68 ini menjadi titik mula untuk rakyat negara ini berubah bagi mengelakkan diri terus terpenjara dengan tabiat boros yang merugikan. 

 “Literasi kewangan yang rendah dibimbangi bukan sahaja menggugat kesejahteraan individu dan keluarga, malah boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kestabilan ekonomi negara.

 “Oleh itu, kita perlu bebas daripada jerat hutang yang boleh merampas impian masa depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment